TUMPAT: Kerajaan berhasrat meninggikan 
jalan alternatif Kasban - Rantau Panjang di sini bagi mengelak limpahan 
air Sungai Golok daripada membanjiri beberapa perkampungan sekitar 
sempadan Malaysia - Thailand di kawasan berkenaan.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Noor Zahidi 
Omar berkata, cadangan tersebut masih lagi dalam peringkat kajian 
terperinci bagi melihat kesannya.
Beliau berkata, kerajaan sedang menyiapkan reka bentuk untuk 
meninggikan beberapa kawasan di sepanjang jalan tersebut yang dipercayai
 masih berada di paras rendah bagi mengelak limpahan air Sungai Golok 
setiap kali musim tengkujuh tiba.
"Selain bertindak sebagai batas tebatan banjir, jalan yang 
ditinggikan juga boleh berfungsi sebagai jalan keselamatan," katanya 
kepada pemberita selepas meninjau tujuh kampung yang sering dinaiki air 
ketika musim banjir, di sini semalam.
Antara kampung tersebut adalah Kampung Bendang Pak Yong, Kampung 
Kubang Sawa, Kampung Kuala Jambu, Kampung Teluk Jering, Kampung Kajang 
Sebidang dan Kampung Simpangan.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Tentera Malaysia berkata, sepasukan
 pegawai dan anggota daripada Batalion 2 Rejimen Sempadan telah 
ditugaskan untuk membantu pihak berkuasa dalam menguruskan perkara 
berkaitan banjir.
"Kita ada kekuatan yang cukup ditugaskan untuk menjaga, mengurus dan 
memberi bantuan kepada pihak berkuasa awam untuk jajahan Tumpat sebagai 
persediaan awal untuk menghadapi banjir ketika ini.
"Mengenai kawalan keselamatan pula, kita ada beberapa trup lain yang 
turut ditugaskan bersama Rejimen Sempadan untuk mengawal sempadan 
Malaysia-Thailand di negeri ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan