Sabri Yunus |
PETALING JAYA: Pelawak Sabri Yunus tidak berniat untuk cuba mencabar atau mengatasi lakonan pelakon utama Rosnan Rahman yang memeggang watak sebagai Pak Yong dalam pementasan teater Kesaktian Anak Raja Gondang.
Sabri yang memegang watak Peran Muda, berkata, dia hanya cuba menghidupkan watak yang diberikan kepadanya dengan memberi yang terbaik.
"Mak Yong berbeza dengan teater lain dan saya sendiri masih belajar dan mendalami ilmu Mak Yong, setiap malam saya sentiasa memikirkan bagaimana untuk memasukkan diri dalam teater ini.
"Saya tidak berniat untuk mencabar atau membuli pelakon utama iaitu Pak Yong namun saya sebenarnya ingin mencabar diri saya sendiri agar membawakan watak tersebut dengan baik," katanya kepada mStar Online.
Tambah Sabri, sebagai pelakon, dia sentiasa mahu mencuba pelbagai jenis watak dan lakonan terutamanya genre tradisional seperti Mak Yong.
"Mak Yong adalah satu seni yang sudah agak lama dan ia sangat mencabar kerana setiap watak tidak boleh diadlib sesuka hati, pada saya ia unik dan perlu dipelajari lebih mendalam jika mahu benar-benar menjiwainya," katanya.
Pada pementasan teater tersebut, Sabri dilihat seperti cuba menguji lakonan Pak Yong dengan pertuturan beberapa perkataan daripada dialek Kelantan yang agak sukar difahami pelakon itu.
Sementara itu, Rosnan berkata, tindakan Sabri itu merupakan cabaran kepadanya dalam melakonkan watak tersebut.
Rosnan membawa watak utama sebagai Pak Yong |
"Ya... ada kejutan-kejutan yang diberikan oleh Sabri terutamanya perkataan Kelantan yang saya sendiri tidak tahu maknanya kerana saya bukan berasal daripada negeri itu.
"Namun itu adalah bagus kerana dalam Mak Yong tiada sebarang skrip dan ia perlu kebijaksanaan kita sendiri untuk membalas reasi tersebut agar tidak nampak janggal di hadapan penonton," katanya.
Teater ini membariskan pelakon terkenal tanah air yang terdiri daripada Rosnan Rahman, Vanida Imran, Datin Sofea Jane, Sabri Yunus dan Isey Fazlisham. Pementasan bermula pada 29 November hingga 1 Disember ini di Panggung Sari, Istana Budaya.
Sumber: mStar Online | 1 Dis. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan