KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan 
(PKINK) menyerahkan tanah miliknya seluas 10 hektar kepada sebuah 
syarikat untuk dibangunkan di bawah projek 'Bachok Perdana' yang 
membabitkan kos sebanyak RM348 juta.
Tanah yang terletak di kawasan Pantai Irama, Bachok itu akan 
dibangunkan dengan pelbagai projek mega oleh Markz Industri Sdn. Bhd. 
(MISB).
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, perbadanan
 itu akan mendapat pulangan sebanyak RM8.7 juta hasil daripada projek 
tersebut.
"Pulangan ini akan diberi secara tunai dan selepas itu kita akan 
mendapat 10 peratus daripada keuntungan daripada keseluruhan jualan 
premis di kawasan Bachok Perdana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani 
Perjanjian Pembangunan Hartanah PT 18 dan PT 19, Mukim Perupok Bachok di
 sini semalam.
Yang turut hadir, Presiden MISB, Marzuki Zain serta dua pengarahnya, Mahathir Marzuki dan Danial Marzuki.
Mohd. Amar berkata, projek yang menggunakan sistem kawalan kawasan 
berpagar itu akan dilaksanakan dalam dua fasa untuk tempoh terdekat ini.
Katanya, fasa pertama melibatkan pembinaan perumahan eksklusif dan 
kondominium manakala fasa kedua pula meliputi pembinaan hotel bertaraf 
empat bintang.
"Projek fasa pertama akan bermula dalam tempoh terdekat dan dijangka 
siap dalam masa dua hingga tiga tahun. Untuk kedua-dua fasa ini, kesemua
 projek dijangka siap sepenuhnya pada 2019," katanya.
Antara komponen projek yang akan dibangunkan di atas tanah tersebut 
adalah empat blok apartmen kediaman sebanyak 272 unit, 16 unit 
penthouse, 32 unit vila berkembar dan sebuah hotel bertaraf empat 
bintang mengandungi 250 bilik.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kerajaan negeri 
telah meluluskan kawasan untuk projek pembinaan kilang simen di Gua 
Musang.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 30 Disember 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan