![]()  | 
| Beberapa orang penduduk kampung melihat kerja-kerja baik pulih tebing Sungai Melor, Kota Bharu, Kelantan, semalam. | 
KOTA BHARU: Lebih 500 penduduk di Kampung Sri Kulim, Melor 
dekat sini menarik nafas lega apabila kerja-kerja baik pulih tebing 
Sungai Melor di kampung itu sedang giat dilaksanakan bagi mengelak 
kejadian hakisan tanah.
Kebimbangan mereka berakhir setelah menerima peruntukan sebanyak 
RM500,000 daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi kerja-kerja 
menstabilkan tebing termasuk membina benteng serta melebarkan sungai 
berkenaan.
Seorang penduduk, Ismail Besar, 72, berkata, kerja-kerja baik 
pulih dijalankan sejak beberapa bulan lalu dan ia melegakan penduduk 
setempat memandangkan masalah hakisan yang sering berlaku terutama pada 
musim banjir.
"Selain membina benteng, sungai turut digali dan dilebarkan 
menjadikan kami sebagai penduduk tidak terlalu bimbang sekiranya berlaku
 banjir nanti.
"Keadaan ini memberi keselesaan kepada penduduk di sini memandangkan 
sebelum ini ada dalam kalangan kami pernah terjatuh ke dalam runtuhan 
tebing pada waktu malam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Mahmud Mohd. Nor, 49, berkata, penantian selama hampir lima tahun kini sudah berakhir.
"Saya sudah dapat menarik nafas lega setelah kerja-kerja baik pulih 
ini dilakukan memandangkan ini adalah jalan alternatif bagi penduduk 
setempat untuk ke jalan utama Kota Bharu-Pasir Puteh. 
"Ini memberi keselesaan kepada kami dan tidak lagi mengundang bahaya kepada pengguna jalan di tebing sungai berkenaan," katanya.
Seorang penduduk, Mohamed Aminuddin Abdul Rahman, 60, turut mencadangkan kawasan berkenaan dapat dijadikan tempat rekreasi kepada masyarakat setempat.
"Selain dijadikan tempat rekreasi, penduduk juga boleh menjana 
pendapatan sampingan dengan membuka gerai makanan dan minuman di 
sepanjang Sungai Melor.
"Kawasan ini sememangnya menjadi tumpuan orang ramai untuk memancing 
dan saya berharap kewujudan taman rekreasi di sini akan memberi peluang 
untuk kami beriadah," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 17 Dis. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan