Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 1 Disember 2013

Kelantan tidak bercadang naikkan gaji Adun

Ahmad (berdiri, kanan) memberikan kata-kata semangat kepada kanak-kanak yang menunggu giliran untuk dikhatankan di Pejabat DUN Pasir Pekan di Kampung Morat, Tumpat, semalam.
TUMPAT: Kerajaan Kelantan tidak bercadang untuk menaikkan gaji Menteri Besar, Speaker, Exco dan Adun seperti yang bakal dilaksanakan di Selangor dan Pulau Pinang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, gaji yang diterima di Kelantan sudah memadai, memandangkan tahun 2009 kerajaan Kelantan sudah membuat pindaan, menaikkan 20 peratus.

“Kita berpendapat sudah memadai dengan apa yang ada sekarang ini. Setakat ini kerajaan tidak bercadang melihat kenaikan gaji baharu,” katanya.
Ahmad berkata demikian selepas Majlis Khatan Perdana di pejabat Dun Pasir Pekan, Kampung Morak, semalam.

Pada 2009 Dun Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tambahan bagi membolehkan gaji bulanan wakil rakyat Kelantan dinaikkan.

Pendapatan Menteri Besar dinaikkan daripada RM10,200 kepada RM12,800, Timbalan Menteri Besar RM6,600 kepada RM8,800, Speaker RM5,400 kepada RM5,600 dan Adun RM3,600 kepada RM4,600 selepas kali terakhir dinaikkan pada tahun 2004.

Berhubung isu kenaikan elaun wakil rakyat itu, Ahmad berkata, setakat ini tidak ada permintaan daripada Kumpulan Penyokong Kelab Kerajaan (BBC) Kelantan mahu pun wakil rakyat itu sendiri meminta dinaikkan gaji tersebut.

“Bagaimana pun, kerajaan negeri sentiasa melihat kebajikan Adun melalui beberapa program tertentu seperti Skim Gerbang Az-ziwaj. Mereka boleh berinteraksi dengan masyarakat melalui program kerajaan itu,” katanya.

Mengenai kenaikan gaji wakil rakyat Selangor yang tinggi, Ahmad berkata, kenaikan gaji itu bersandarkan kewangan negeri masing-masing.

“Selangor ada kewangan besar, ada industri dan kerajaan tempatan yang kukuh, sebab itu mereka boleh naikkan gaji wakil rakyat mereka,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 1 Dis. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan