KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan 
mengesahkan tiada sebarang wabak penyakit dilaporkan sepanjang kejadian 
banjir yang berlaku baru-baru ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir (gambar) berkata,
 pihaknya telah menubuhkan pasukan perubatan khas untuk memeriksa dan 
merawat mangsa banjir di pusat pemindahan.
"Pusat pemindahan banjir kini dipantau oleh pasukan perubatan dari Jabatan Kesihatan Negeri. "Mereka juga diminta memantau tahap kesihatan mangsa banjir di 
samping memberi nasihat mengenai pemakanan bagi memastikan tiada 
penyakit berjangkit dalam kalangan mangsa banjir," katanya ketika 
dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Gelombang pertama banjir yang melanda negeri ini baru-baru ini 
menyaksikan lebih 2,000 mangsa dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan 
dan kini persiapan dibuat oleh pelbagai pihak bagi menghadapi 
kemungkinan gelombang kedua.
Mengulas lanjut, Dr. Ahmad Razin berkata, pasukan perubatan terbabit 
akan memastikan aktiviti pencegahan kesihatan bagi kawalan vektor, 
kualiti air minuman dan kawalan kualiti makanan telah dijalankan di 
setiap pusat pemindahan.
Katanya, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan tahap kebersihan dalam aspek penyediaan makanan di pusat-pusat pemindahan.
Selain itu katanya, pasukan perubatan turut diwajibkan membuat 
rondaan di semua pusat pemindahan bagi memastikan tidak ada sebarang 
penularan penyakit berjangkit.
"Bekalan ubat juga adalah mencukupi di setiap pusat pemindahan banjir
 bagi kes-kes ringan seperti demam, batuk, selesema dan penyakit kulit,"
 katanya.
Dalam pada itu, Dr. Ahmad Razin berkata, orang ramai dinasihatkan 
supaya membersihkan rumah masing-masing bagi memastikan kediaman mereka 
bebas daripada takungan air untuk mengelak pembiakan nyamuk aedes.
Katanya, masyarakat setempat juga digalakkan bergotong-royong 
membersihkan kawasan sekitar bagi mengelak perkara yang sama berlaku.
"Orang ramai yang menghidap demam, batuk-batuk atau simptom seperti 
cirit-birit dan muntah-muntah seeloknya segera mendapatkan rawatan bagi 
mencegah sebarang jangkitan kuman semasa musim banjir ini," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan