Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 18 Disember 2013

Pelaburan ECER lepasi paras RM55 bilion

Najib Tun Razak turut hadir pada majlis pengumuman pelaburan bagi Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur ECER di pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Majlis turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian pelaburan yang telah ditandatangani oleh Jebasingam Issace John dengan wakil dari 14 buah syarikat. - BERNAMA
PUTRAJAYA: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) semakin menghampiri sasaran pelaburan RM110 bilion menjelang 2020 apabila menerima suntikan RM10.08 bilion melalui 12 projek baharu dalam pelbagai bidang.

Pemeteraian 12 projek pelaburan itu hari ini menjadikan ECER berjaya menutup tirai 2013 dengan pelaburan berjumlah RM55.8 bilion sejak pembentukan wilayah itu pada 2007. Sebanyak 55,000 peluang pekerjaan dijangka dapat diwujudkan melalui pelaburan bernilai RM55.8 bilion tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyaksikan pertukaran dokumen komitmen pelaburan antara Ketua Pegawai Eksekutif ECER, Datuk Jebasingam Issace John dengan 12 pelabur baharu itu.

Jebasingam berkata, prestasi ECER secara keseluruhannya adalah kukuh dengan wilayah ekonomi itu dijangka mencapai sasaran pelaburan RM110 bilion lebih awal iaitu sebelum 2020.

''Kita telah mencapai lebih 50 peratus daripada sasaran RM110 bilion yang ditetapkan pada 2020 dan sasaran pelaburan itu dijangka dicapai setahun atau dua tahun lebih awal.

''Kejadian banjir di Pantai Timur baru-baru ini tidak menjejaskan prestasi pelaburan kerana kawasan industri di ECER terletak di luar kawasan banjir," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pertukaran dokumen pelaburan antara ECER dengan pelabur di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Daripada 12 projek baharu bernilai RM10.08 bilion yang diumumkan, Pahang mencatatkan nilai pelaburan bernilai RM5.61 bilion, Kelantan (RM2.96 bilion) dan Terengganu (RM1.51 bilion).

Tiga daripada pelabur terlibat merupakan syarikat penerima dana mudah cara Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju). Berikut merupakan 12 projek pelaburan ECER yang diumumkan hari ini.

  • Pembangunan taman tema dan pelancongan bersepadu bernilai RM5 bilion oleh Genting Berhad di Pahang.
  • Pembinaan hotel empat bintang berkonsepkan pertanian dan eko pelancongan bernilai RM68.2 juta oleh Farm Resort Sdn. Bhd. di Gambang, Pahang.
  • Pembinaan hotel lima bintang oleh Boustead Hotels & Resorts Sdn Bhd. bernilai RM200 juta di Cherating, Pahang.
  • Projek pembangunan campuran di Kuala Terengganu bernilai RM1.5 bilion oleh Beta Assets Sdn. Bhd.
  • Pengwujudan kemudahan penyelenggaraan dan baik pulih kapal terbang bernilai RM280 juta oleh Admal Aviation Sdn. Bhd. di Kuala Terengganu.
  • Pembinaan loji pembuatan simen bersepadu bernilai RM1.2 bilion oleh Biz Markz Cement Industries Sdn. Bhd. di Gua Musang, Kelantan.
  • Pembinaan loji pembuatan simen bersepadu bernilai RM1.2 bilion oleh ASN Cement di Gua Musang, Kelantan.
  • Pembinaan hotel lima bintang bernilai RM300 juta oleh Syarikat Usahasama Seri Cemerlang di Kota Bharu, Kelantan.
  • Projek kolej universiti swasta bernilai RM250 juta oleh Ilmu dan Hikmah Sdn. Bhd. di Bachok dan Kota Bharu, Kelantan.
  • Projek Pembuatan barang mainan pendidikan untuk kanak-kanak bernilai RM37.08 juta oleh Kidz Fun Manufacturing & Marketing Sdn. Bhd. di Kuantan, Pahang. (penerima dana mudah cara Teraju)
  • Pembuatan panel solar bernilai RM36 juta oleh Synergy Generated Sdn. Bhd. di Setiu, Terengganu. (penerima dana mudah cara Teraju)
  • Pembangunan kondominium untuk pelajar universiti bernilai RM6.67 juta oleh AUEI Teras Holdings Sdn Bhd. (penerima dana mudah cara Teraju)
Sumber: Utusan Malaysia | Bisnes | 16 Dis. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan