Imbas kembali: Pasukan Kelantan menjulang Piala FA menewaskan JDT pada 29 Jun lalu. |
JUARA Piala Malaysia, Pahang bakal menerima dugaan pertama apabila menerima undian sukar sepanjang saingan Piala FA musim depan.
Pada majlis undian Liga Malaysia (Liga M) 2014 yang diadakan di hotel terkemuka, Shah Alam semalam, Pahang yang akan dibimbing Ronald Smith bakal berdepan juara Piala FA 2004, Perak seawal pusingan pertama pada 21 Januari depan.
Jika berjaya melepasi cabaran Seladang, Pahang masih belum boleh menarik nafas lega, lantaran pasukan negara jiran, Lion XII FC dijangka menunggu mereka di pusingan kedua memandangkan skuad Singa itu dilihat tidak berdepan masalah memadam cabaran KL DRB Hicom FC pada pusingan pertama.
Paling menarik, dugaan Pahang juga tidak berhenti di situ kerana PDRM yang berbelanja besar untuk mengharungi musim depan dan bakal dibimbing Dollah Salleh dijangka berpeluang cerah menanti mereka di suku akhir apabila sekadar diundi menentang Kuala Lumpur SPA pada pusingan pertama, selain diramal tidak berdepan masalah membenam pemenang antara Sabah Cebagoo FC dan Pulau Pinang PBAPP FC pada pusingan kedua.
Sementara itu, juara dan naib juara Piala FA musim ini iaitu Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT) mendapat 'bye' pada pusingan pertama.
Jika menang, Kelantan turut dijangka tidak berdepan masalah sekurang-kurangnya layak ke suku akhir setelah diramal tidak berdepan masalah untuk mengatasi pemenang antara Sabah dan Pahang Kuantan FA di pusingan kedua manakala JDT akan bertemu T-Team atau UiTM FC yang akan berentap pada pusingan pertama.
Juara Liga Perdana musim ini, Sarawak juga berdepan tugas getir apabila bakal berdepan Pulau Pinang yang mendapat sentuhan bekas jurulatih Felda United K Devan pada pusingan pertama.
Jika menang, mereka bakal membuat perhitungan dengan juara lima kali Piala FA, Selangor yang turut dilihat tidak berdepan masalah menewaskan pasukan pendatang baru, Harimau Muda C di pusingan pertama.
Sime Darby yang muncul naib juara Piala FA 2012 turut meniti laluan berliku selepas diundi menentang pasukan Angkatan Tentera Malaysia.
Pusingan kedua bakal dilangsungkan pada 4 Februari tahun depan, manakala aksi suku akhir bakal diadakan pada 11 dan 18 Mac.
Saingan separuh akhir pula akan dilangsungkan pada 13 dan 20 Mei depan, manakala aksi final bakal berlangsung pada 7 Jun.
Sumber: Sinar Harian | Ultras | 30 Nov. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan