Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 31 Disember 2013

Kepentingan urus kumbahan

TIDAK keterlaluan jika dikatakan masih ramai yang kurang maklumat mengenai kepentingan pengurusan kumbahan dalam kehidupan mereka, walaupun terdapat agensi khusus dipertanggungjawabkan untuk membantu menyelesaikan perkara itu.

Sinar Harian cuba merungkai peranan dimainkan Majaari Services Sdn Bhd, salah satu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), dalam membantu menguruskan sistem kumbahan di negeri ini, sekali gus membolehkan masyarakat menjalani kehidupan lebih sihat.

Ikuti temu bual wartawan, SAPINAH AB GHANI bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan,Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood (gambar) dalam merungkai usaha dan langkah dilakukan pihak berkenaan demi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peri pentingnya sistem kumbahan.


SINAR HARIAN: Boleh Datuk jelaskan apakah dimaksudkan dengan pengurusan kumbahan?

ABDUL FATTAH: Pengurusan kumbahan ialah cara bagaimana kita menjaga sistem kumbahan dengan pelbagai kaedah, dan salah satunya melalui sedut dan lupus, di mana sisa kumbahan dari premis akan disedut dan dilupuskan di tapak pelupusan yang dibenarkan.

Selain itu, ia juga boleh dilakukan dengan menggunakan loji rawatan kumbahan, di mana sisa kumbahan akan dirawat menggunakan sistem AVC yang terletak di Taman Desa Kemumin, Pengkalan Chepa. Sistem pembetungan bersambung ke loji rawatan kumbahan wajib dibina untuk pembangunan yang mempunyai penduduk setara melebihi 150PE dan berfungsi untuk mengolah air kumbahan sebelum dialirkan ke sungai. Antara loji rawatan kumbahan termasuk Extended Aeration (EA),Hi-kleen (HK), RBC, dan SBR. Ini bagi mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.


SINAR HARIAN: Apakah langkah diambil kerajaan negeri bagi memastikan pengurusan sistem kumbahan dilaksanakan dengan mampan di negeri ini?

ABDUL FATTAH: Pada akhir 2007, kerajaan negeri menubuhkan syarikat pembetungan negeri, Majaari Services Sdn Bhd bagi ambil alih tanggungjawab pengurusan pembetungan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). Penubuhan ini selaras dengan dua akta baru diwartakan di bawah seliaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) iaitu, Akta 654-Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006, Akta 655- Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Selepas akta ini dikuatkuasakan, hanya pihak yang mempunyai permit daripada SPAN sahaja yang boleh melakukan sedutan enap cemar.


SINAR HARIAN: Apakah pula peranan dilaksanakan Majaari Services Sdn Bhd?

ABDUL FATTAH: Antara peranan dimainkan Majaari ialah pengosongan tangki septik dengan mengambil alih tugas PBT. Caj perkhidmatan dikenakan munasabah dan berpatutan. Ia juga bertindak sebagai Agensi Perakuan yang bertanggungjawab sedia perkhidmatan memproses dan memperakukan kelulusan pelan sistem pembetungan, loji rawatan kumbahan, stesen pam, rangkaian pembetungan, sambungan paip dan tangki septik. Selain itu, Majaari turut berperanan menyelenggarakan loji rawatan kumbahan dan loji persendirian serta rangkaian paip di seluruh negeri secara profesional dengan pasukan yang terlatih dan berkemahiran. Dalam pada itu, Majaari turut membersihkan sumbatan paip pembetungan awam, rumah persendirian, rumah kedai atau komersial, kilang serta rumah ibadat.


SINAR HARIAN: Boleh Datuk jelaskan fungsi Majaari Services sebagai Agensi Perakuan Pembentungan (APP)?

ABDUL FATTAH: Untuk makluman umum, Majaari telah dilantik sebagai APP oleh SPAN untuk memberikan perkhidmatan memproses dan memperakukan kelulusan pelan sistem pembetungan, loji rawatan kumbahan, stesen pam, rangkaian pembetungan, sambungan paip dan tangki septik. Oleh itu, semua pelan pembangunan baru perlu diserahkan kepada Majaari untuk disemak dan diperakukan kelulusan bagi pihak SPAN.


SINAR HARIAN: Apakah langkah telah dan akan diambil untuk memberi lebih kesedaran kepada umum pentingnya pengosongan tangki septik ini?

ABDUL FATTAH: Pengurusan Majaari telah menyusun beberapa aktiviti khusus untuk tujuan ini, antaranya mengadakan sesi penerangan untuk meningkatkan kesedaran berkaitan tangki septik (taklimat) di agensi kerajaan, swasta serta di taman perumahan. Selain itu, Majaari juga menubuhkan skuad gempur dengan menjelajah tempat tumpuan orang ramai seperti pasar tani dan membuka gerai di pasar raya terpilih.

Kempen khas seperti 'Pakat Cakno Kumbahan Kito', selain hari bersama pelanggan turut diadakan kerana yakin ia juga mempunyai sumbangan dalam meningkatkan tahap kesedaran masyarakat secara tidak langsung.Kesedaran masyarakat di kampung juga menunjukkan perkembangan baik apabila tidak ada lagi situasi membuang air di dalam semak dan  tempat tersorok, sebaliknya menggunakan kemudahan tandas.

Bagaimanapun untuk mendedahkan tahap kesedaran secara lebih terperinci memerlukan kajian menyeluruh.


SINAR HARIAN: Boleh Datuk jelaskan apakah kesan buruk terutama dalam aspek kesihatan rakyat jika sisa kumbahan tidak diuruskan dengan baik?

ABDUL FATTAH: Tangki septik perlu dikosongkan sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun sekali, dan jika gagal dilakukan secara berjadual, ia akan menyebabkan sisa kumbahan mengalir ke dalam sistem pengairan kita dan mengakibatkan kehidupan air di dalam sungai dan laut terjejas.

Ia akan membahayakan kesihatan orang ramai kerana kumbahan mentah mengandungi bacteria Campylobacter, Crytosporidium Parvum yang boleh menyebabkan penyakit berjangkit bawaan air seperti taun, demam kepialu dan hepatitis A.

Kegagalan menyelenggarakan atau mengosongkan tangki septik akan menyumbang kepada pencemaran alam sekitar terutamanya terhadap sumber air, di mana lebih kurang 50 peratus penduduk negeri ini menggunakan sumber air bawah tanah sebagai sumber kegunaan harian. Oleh itu, dinasihatkan kepada semua pengguna untuk mengambil tindakan segera mengosongkan tangki septik (sekiranya telah mencapai tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga) bagi memastikan sumber air diguna sentiasa bersih.


SINAR HARIAN: Apakah harapan Datuk dengan pelancaran kempen 'Cakno Kumbahan Kito' hari ini?

ABDUL FATTAH: Harapan saya, pelancaran kempen ini akan memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan menjaga dan mengurus sistem kumbahan.

Kempen ini juga sebagai langkah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai agar mengosongkan tangki septik mereka secara berkala selaras dengan saranan SPAN, sekali gus meningkatkan kualiti alam sekitar, memelihara kebersihan atau kualiti air sungai dan air bawah tanah yang menjadi sumber minuman di negeri ini, jadi marilah kita sama-sama ‘Pakat Cakno Kumbahan Kito’.

Tidak dinafikan ramai yang kurang maklumat dan sedar dengan kepentingan menjaga serta menguruskan sistem kumbahan ini, sehinggalah berlaku sesuatu yang mengganggu aktiviti harian mereka.

Jadi kita harap, kewujudan Majaari untuk mengawal selia kumbahan akan dapat memberi satu input berguna kepada masyarakat supaya mereka lebih bijak dan terbuka, kita tidak mahu tindakan hanya dibuat selepas menerima akibat.

Pepatah mengatakan mencegah lebih baik dari mengubati, jadi saya harap kesedaran ini dapat ditingkatkan dan kempen hari ini antara usaha yang dilakukan untuk membawa masyarakat kepada kesedaran awal.

Beberapa rangsangan dilakukan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk melalui cabutan bertuah dan sesi penerangan di jabatan serta agensi, Majaari sentiasa optimis dan akan berusaha membantu masyarakat celik terhadap kepentingan pengurusan kumbahan.


SINAR HARIAN: Apakah halangan atau kekangan yang dihadapi Majaari, selain kesedaran masyarakat terhadap pengurusan kumbahan itu sendiri?

ABDUL FATTAH: Secara normalnya, apabila sesuatu perubahan dilakukan, ia akan memerlukan satu kos, sedangkan peruntukan ini tidak mahu ditampung pihak berkenaan termasuk pemaju dan pembeli. Sedangkan di sesetengah negeri, taman perumahan yang dibangunkan disertakan dengan sistem pengurusan kumbahan berpusat dan kos pembinaannya dikongsi secara bersama.

Manakala, akta yang kita ada menetapkan setiap 60 rumah memerlukan sistem kumbahan berpusat, sedangkan di sesetengah kawasan ia dilihat membebankan rakyat, kalau masyarakat sedar dan faham mereka akan sanggup menanggung kos ini secara berkongsi dan kita tidak ada halangan untuk menjayakannya.

Bagi saya sudah sampai masanya kita mempunyai sistem secara berpusat, kerana ia lebih mudah diuruskan selain untuk kemudahan masa depan, sebab kebanyakan keluarga masa kini mempunyai kerjaya dan kekurangan masa untuk mengawal selia perkara-perkara umum seperti ini.


SINAR HARIAN: Jika di dalam institusi keluarga, siapakah yang diharapkan dapat membantu kerajaan dalam memberi kesedaran kepada isi rumah?

ABDUL FATTAH: Dalam aspek kekeluargaan, kita mengharapkan peranan ibu untuk membantu menyedarkan suami dan anak mereka, pengaruh kaum ibu ini kuat dan kita yakin mereka mempunyai pendekatan dan inisiatif tersendiri dalam mempengaruhi orang tersayang.

Jadi kita mengharapkan bantuan kaum ibu dan tidak hanya menyerahkan perkara ini kepada Majaari dan kerajaan semata-mata untuk melakukannya.

Sumber: Sinar Harian | 31 Disember 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan