KOTA BHARU: Suatu ketika dahulu Pantai Cahaya Bulan yang 
terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar ini merupakan sebuah 
destinasi terkenal yang menjadi tumpuan ramai bukan sahaja rakyat 
tempatan, malah pelancong asing juga singgah untuk beriadah.
Pantai Cahaya Bulan juga merupakan antara pantai terindah di negara 
ini dengan pasir serta air yang jernih kebiruan-biruan di samping 
deretan pokok ru dan kelapa, menambah seri pantai tersebut.
Pantai berkenaan yang dahulunya terkenal dengan nama Pantai Cinta 
Berahi juga lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti pilihan hotel dan 
calet yang banyak, kawasan perkhemahan, deretan medan selera dengan 
pelbagai makanan disediakan dan lain-lain lagi.
Malah, di sepanjang 10 kilometer perjalanan dari Kota Bharu menuju ke
 pantai berkenaan seolah-olah pengunjung melalui sebuah pekan Melayu 
tradisional kerana sepanjang kiri dan kanan jalan itu merupakan kawasan 
kraf tangan yang sentiasa aktif dengan aktiviti seperti percetakan 
batik, menenun songket dan membuat layang-layang. 
Selain itu, terdapat juga deretan gerai di tepi jalan yang menjual 
pelbagai makanan termasuk kuih tradisional masyarakat Kelantan, namun 
jagung rebus yang paling popular.
Justeru, tidak hairanlah satu masa dahulu Pantai Cahaya Bulan menjadi
 lokasi perkelahan popular yang menjadi pilihan keluarga khususnya di 
hujung minggu untuk ibu bapa membawa anak-anak bersantai merasai sendiri
 kecantikan dan kesempurnaan pantai tersebut.
Namun, senario pada hari ini cukup berbeza, PCB sudah tidak seperti 
dahulu, segala keindahan dan aura pantai tersebut sudah hilang dengan 
ribuan pelancong yang dahulu datang kini mula menjauh meninggalkan 
pantai yang pernah popular itu seolah-olah kawasan tersebut hanya 
tinggal nama dalam lipatan sejarah pelancongan negara.
Segalanya mula berubah selepas berlakunya hakisan serius di pantai 
berkenaan sejak 2004 yang semakin hari semakin membimbangkan di mana 
dapat disaksikan pesisiran pantai sepanjang 1.2 kilometer itu hanya 
dipenuhi benteng daripada batu dan konkrit bagi mengawal hentaman ombak 
ke pantai.
Tiada lagi ruang bagi pengunjung untuk bersantai di kawasan pesisir pantai berkenaan. Di sepanjang pantai itu kini hanya dipenuhi batu yang dijadikan 
tembok untuk mengelak hakisan dan dikatakan akan ditinggikan tahun demi 
tahun sehingga menjejaskan pengunjung melihat keindahan laut.
Seorang pengunjung, Zakina Ibrahim, 40, berkata, Pantai Cahaya Bulan 
sekarang sudah tidak sama seperti dahulu, segalanya berubah selepas 
keindahan pantai berkenaan mula ditelan hakisan yang berlaku sejak 
sembilan tahun lalu dan keadaan kini bertambah buruk.
Katanya, pesisir pantai yang dahulunya menjadi laluan dan kawasan 
untuk beriadah kini sudah tidak dapat dilalui kerana sudah dipenuhi batu
 yang dijadikan tembok bagi menghalang ombak dan hakisan daripada terus 
merebak.
Sudah banyak perubahan berlaku di Pantai Cahaya Bulan ini. Dahulu 
saya selalu datang bersama keluarga dan gembira melihat anak-anak 
bermain. Sekarang saya hanya datang apabila ingin singgah di rumah ibu 
mentua yang terletak berhampiran.
Sekiranya dahulu sejuk sahaja mata memandang melihat 1001 keindahan 
pantai yang pernah dikunjungi oleh Ratu Elizabeth, kini pandangan hanya 
tertumpu kepada kerja-kerja bagi mengawal hakisan. Keadaan itu sangat 
menyedihkan," katanya.
Tambahnya, amat menyedihkan melihat kawasan pelancongan nombor satu 
di Kelantan satu ketika dahulu, kini sudah tidak lagi dikunjungi, hanya 
segelintir sahaja yang dilihat singgah, itu pun sekadar ingin menjamu 
selera di medan makan di situ.
Sebenarnya masih belum terlambat untuk kembali menyerikan pantai 
tersebut sekiranya kerajaan negeri bijak memainkan peranan dengan 
mengambil langkah berkesan dalam menyelesaikan masalah ini. Bukan hanya sekadar melihat keadaan bertambah buruk yang akhirnya 
bakal menyebabkan Pantai Cahaya Bulan menjadi ibarat padang jarak 
padang tekukur seperti mana yang berlaku di Pantai Sabak yang hampir 
musnah akibat hakisan," katanya.
Seorang penduduk, Roslizawati Mat Rias, 26, berkata, dia sudah 15 
tahun tinggal di sini dan membesar dengan melihat perubahan demi 
perubahan yang berlaku di pantai itu. Hari ini kita dapat lihat di pesisir pantai dipenuhi batu yang 
semakin tinggi sehingga menyebabkan orang ramai sukar untuk melihat 
laut. Kalau hendak melihat laut harus memanjat batu-batu itu," katanya.
Sementara itu, seorang pekerja membina benteng penahan ombak di 
pantai berkenaan, Ghazali Embong, berkata, pantai itu akan ditambak 
sehingga ke Kuala Pak Amad iaitu kira-kira sepanjang empat kilometer.
Katanya, benteng penahan ombak itu dibina setinggi 3.8 meter dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai tahun depan.
Dahulu kita bina tembok di pantai ini sahaja, sekarang dibina dari 
pantai ini sehingga Kuala Pak Amat. Tembok ini penting dibina, kalau 
tidak hakisan akan semakin teruk," jelasnya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 16 Dis. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan