SHAH ALAM: Finalis Piala Malaysia, Kelantan berjaya membolot 
lima daripada 13 anugerah yang dipertandingkan pada Majlis Anugerah Bola
 Sepak Kebangsaan 100PLUS-Astro Arena dan Persatuan Bola Sepak Malaysia 
(FAM) 2013.
Kapten skuad 'The Red Warriors', Mohd Badhri Radzi dipilih sebagai 
Pemain Tengah Terbaik selain merangkul anugerah Pemain Paling Bernilai.
Sementara teman-teman sepasukannya iaitu Mohd Norfarhan Muhammad 
meraih anugerah Penyerang Terbaik dan Khairul Fahmi Che Mat pula 
anugerah Penjaga Gol Terbaik dan pasukan itu juga turut menerima 
anugerah Kelab Penyokong Terbaik.
Bagi Khairul Fahmi, yang juga penjaga gol kebangsaan, anugerah tersebut dimenanginya empat tahun berturut-turut sejak 2010.
Sementara itu, pemain tengah Sarawak, Junior Edstal dan pertahanan 
pasukan Lions XII dari Singapura, Baihakki Khaizan masing-masing dipilih
 selaku Pemain Harapan dan Pertahanan Terbaik.
Penyerang Angkatan Tentera Malaysia, Marlon Alex James pula 
mengekalkan anugerah Pemain Asing Terbaik untuk tahun kedua 
berturut-turut selepas memenanginya pada musim lepas.
Naib juara Liga Perdana 2013, Sime Darby FC pula mengekalkan anugerah
 Kelab Bola Sepak Terbaik untuk kali kedua selepas meraihnya pada 2012 
manakala Terengganu menggondol anugerah Persatuan Negeri Terbaik.
Dollah Salleh yang membantu Pahang menamatkan kemarau selama 21 tahun
 untuk bergelar juara Piala Malaysia, musim ini pula menerima anugerah 
Jurulatih Terbaik.Nagor Amir Noor Mohamed dan Mohd Sabri Mat Daud 
masing-masing dipilih selaku Pengadil dan Penolong Pengadil Terbaik.
Pada majlis itu, FAM turut memberikan anugerah khas, sebuah trofi 
kepada empat bekas setiausaha agungnya bagi mengiktiraf jasa dan 
sumbangan mereka.
Mereka terdiri daripada Datuk Seri Paul Mony Samuel yang berkhidmat 
dari tahun 1980-1999; Datuk Dell Akhbar Khan (2000-2005); Datuk Seri Dr 
Ibrahim Saad (2005-2007) dan Datuk Azzuddin Ahmad (2007-Mei 2013) yang 
kini berkhidmat selaku Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean 
(AFF).
Anugerah Bola Sepak Kebangsaan merupakan acara tahunan yang 
dianjurkan syarikat pengeluar minuman ringan, F&N Beverages (M) Sdn 
Bhd bagi mengiktiraf sumbangan pemain bola sepak dalam mengharumkan nama
 pasukan masing-masing dalam kancah bola sepak tempatan.
Keputusan anugerah berkenaan berdasarkan undian yang dijalankan para 
jurulatih dan pengurus pasukan Liga Super dan Perdana yang mengundi 
calon yang layak.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Naib Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah dan Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Sementara itu, Mohd Badhri, yang lebih dikenali sebagai Piya di 
kalangan rakan sepasukan semasa ditemui pemberita beliau tidak menyangka
 terpilih sebagai pemenang kerana berpandangan terdapat calon lain yang 
lebih layak.
"Kemenangan berganda ini memberi semangat tambahan kepada Piya untuk 
menghadapi Liga Malaysia musim depan dan hadiah ini Piya tujukan untuk 
kedua-dua ibu dan bapa, para pemain serta pengurusan pasukan Kelantan," 
katanya. 
Sumber: BERNAMA | 30 Nov. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan