Jalaluddin (kanan) ketika menghadiri sidang media di RTC Kelantan, semalam. |
KOTA BHARU: Polis Kelantan menyifatkan gejala penagihan pil kuda amat serius di negeri ini dengan beberapa siri tangkapan yang dilakukan dari 150 individu yang diperiksa 50 hingga 60 orang dikesan mengambil pil terbabit.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, penyalahgunaan dadah jenis itu adalah salah satu daripada tiga jenayah yang kerap berlaku di negeri ini, iaitu curi kenderaan dan rogol. Beliau berkata, kegiatan terbabit dikesan, kebanyakannya dilakukan golongan remaja dan belia.
“Di Kelantan ini kita menangkap tidak kurang 60 orang sehari (positif pil kuda) sejak hampir dua tahun dan enam bulan lalu. Cuba bayangkan kalau kita tangkap 150 atau 100 orang sebanyak 50 peratus tangkapan positif pil kuda.
“Ini bermakna sehari 60 orang, sebulan 2,000, setahun dah berapa,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Karnival Bersatu Menentang Jenayah di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Bandar Baharu Tunjung, di sini, semalam.
Jalaluddin berkata, pil kuda mendapat permintaan tinggi di Kelantan, selain Terengganu.
“Di negeri lain di Semenanjung, penagih lebih tertumpu kepada pil ecstasy dan ini menyebabkan pengedar dari negara jiran iaitu Thailand lebih tertumpu kepada penagih di negeri ini selain negeri jiran, Terengganu,” katanya.
Jalaluddin berkata, masyarakat terutama ibu bapa perlu melaporkan kepada polis jika anak mereka terbabit dengan penagihan pil kuda sebelum perkara terbabit menjadi semakin parah.
“Penagihan pil itu turut mendorong kepada perlakuan jenayah seperti rogol dan ia turut membabitkan pelajar berusia antara 14 hingga 15 tahun,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 1 Dis. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan