Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 1 Disember 2013

HIV di Kelantan menurun

Dr. Ahmad Razin (kanan) merasmikan pameran dengan melekat kata-kata semangat kepada pengurusan HIV di Kelantan, semalam.
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan melaporkan penurunan jumlah kes SIRIM Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (HIV) di negeri ini kepada 23.2 peratus tahun lalu berbanding 2011.

Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, biarpun HIV menunjukkan corak penurunan, tidak bermakna masyarakat harus leka kerana risiko masih tinggi yang boleh meningkatkan semula kejadian AIDS dan HIV tersebut.

“Jumlah kes HIV di Kelantan dari 1998 sehingga 2012 berjumlah 10,997 orang, yang mana pada 2012, kes HIV baharu didaftarkan ialah 274 kes dengan kadar 15.7/100,000 penduduk.

“Ini menunjukkan penurunan sebanyak 23.2 peratus berbanding tahun sebelumnya (2011) sebanyak 374 kes HIV baharu,” katanya kepada media semasa merasmikan Program Kesedaran HIV Bersama Masyarakat Sempena Hari Aids Sedunia 2013 di Peringkat Negeri, di KB Mall, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan, Dr Che Wil Awang dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Mahiran Mustafa.

Dr Ahmad Razin berkata, majoriti faktor risiko kes HIV di Kelantan adalah daripada golongan penagih dadah suntikan iaitu 61.8 peratus (2012), diikuti oleh faktor risiko hubungan seksual iaitu 31.4 peratus.

“Penurunan tersebut disebabkan beberapa faktor termasuk kerjasama masyarakat dan program serta keberkesanan pamplet yang diedarkan kepada orang ramai.

“Program tersebut melibatkan rawatan dan pencegahan HIV yang boleh diperolehi di semua klinik kesihatan di negeri ini termasuk beberapa program saringan iaitu saringan ibu mengandung, pra-perkahwinan, HIV secara sukarela, tanpa nama, di penjara dan pusat pemulihan narkotik, pesakit Tuberkulosis (TB) dan penyakit kelamin serta pemberian rawatan Anti-retroviral (ARV),” katanya.

Beliau berkata, di Kelantan, seramai 1,395 penagih dadah baru dikenal pasti pada tahun lalu, manakala sehingga September tahun ini 812 penagih dadah baru dikesan.

“Terdapat 33 klinik rawatan terapi gentian Metadhone termasuk tiga klinik swasta, sembilan hospital dan selebihnya melibatkan klinik-klinik kesihatan di negeri ini.” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 1 Dis. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan