KEHADIRAN bekas pemain kebangsaan Mesir, Mohamed Shakwy diibaratkan sebagai enjin baru The Red Warriors (TRW) setelah penghijrahan Mohd Shakir Shaari ke Johor Darul Ta’zim pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Menariknya, Mohamed Shawky akan memikul tugas yang ditinggalkan Mohd Shakir, sebelum ini beraksi selaku pemain tengah bertahan selama empat musim bersama negeri kelahirannya.
Kehebatan pemain berusia 32 tahun ini begitu dinanti-nantikan penyokong setia TRW yang sehingga kini masih kempunan untuk melihat aksi sebenar skuad kendalian jurulatih kelahiran England, Steve Darby beraksi pada aksi persahabatan di Kota Bharu.
Dengan susuk badan menarik selain mempunyai ketinggian 1.81 meter, ia jelas satu pakej lengkap buat Mohamed Shawky untuk menjana enjin tengah Kelantan dan umpanan tepatnya pasti ditunggu-tunggu Mohamed Ghaddar atau pun Francis Forkey Doe.
SERASI BERSAMA
Kehadiran Mohamed Ghaddar ke pangkuan Kelantan di samping Forkey Doe memudahkan ‘kerja rumah’ bagi pemain kelahiran Port Said, Mesir itu dalam merencana pasukannya pada musim depan.
Apa tidaknya, Mohamed Shawky sebenarnya ‘cukup masak’ dengan kemahuan Mohamed Ghaddar dan Forkey Doe memandangkan kedua-dua penyerang kebangsaan Lubnan dan Liberia itu pernah beraksi bersama dengan kelab Al-Ahly suatu ketika dahulu.
TAGIH PENGALAMAN
Pengalaman beraksi dengan Middlebrough dalam Liga Perdana Inggeris pada musim 2007 hingga 2010 jelas ditagih oleh juara Piala FA itu dalam menghadapi saingan hebat dalam pentas Liga Super musim depan.
Biar pun, tidak mengetahui langsung tentang iklim bola sepak di Malaysia, namun Mohamed Shawky menganggap itu bukan masalah besar bagi beliau untuk menyesuaikan diri dengan suasana baharu di negara ini.
KONGSI KEHEBATAN
Malah, Mohamed Shawky yang sudah pun turun berlatih sejak seminggu lalu di bawah kendalian Darby jelas tidak lokek untuk berkongsi kehebatannya dengan pemain-pemain tempatan lain di atas padang.
Apa pun, penampilan sulung Mohamed Shawky pada aksi pembuka tirai Liga-M bermula 18 Januari depan bakal menentukan adakah beliau benar-benar hebat dan mampu bersaing dengan awang import daripada pasukan lain.
Sumber: Sinar Harian | Ultras | 28 Disember 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan