Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 5 Disember 2013

Geng Susu Kangkang: Sindiket curi susu bayi tumpas di Kelantan

Saiful Bahri (kini) menunjukkan susu bayi yang berjaya dirampas daripada Geng Susu Kangkang.
GUA MUSANG: Polis berjaya menumpaskan sekumpulan sindiket mencuri susu bayi berjenama terbesar di pasar raya di Kelantan apabila menahan lima orang termasuk tiga perempuan dalam sebuah kereta yang sarat dengan muatan 84 tin dan 29 kotak susu bayi, lewat malam kelmarin.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.05 malam ketika lima suspek itu menaiki sebuah kereta dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dan memecut keretanya selepas polis meminta lesen memandu daripada seorang pemandu kereta terbabit di sekatan jalan raya di Kem Semor Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kereta dinaiki lima suspek itu dikejar sepasukan anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya itu sehingga berjaya ditahan di Kilometer 12 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dekat Bukit Lanjut.

Beliau berkata, kumpulan sindiket berumur antara 23 hingga 43 tahun  yang berasal dari Sabah itu menaiki sebuah kereta dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dipercayai untuk menjual susu bayi yang dicuri dari beberapa pasar raya sekitar Kota Bharu.

“Sepasukan anggota polis kita yang diketuai Inspektor G.Gopinath mengejar kenderaan dinaiki lima suspek itu sebelum berjaya memintas dan menahan kereta terbabit sebelum melakukan pemeriksaan secara menyeluruh di dalam kenderaan terbabit.

“Hasil siasatan menemui 84 tin dan 29 kota susu bayi berjenama bernilai RM10,000 dalam bonet kereta berkenaan yang dipercayai dicuri membabitkan beberapa pasar raya di sekitar Kota Bharu untuk dipasarkan di pasar malam sekitar Lembah Klang,” katanya kepada media di IPD Gua Musang, di sini,
semalam.

Saiful Bahri berkata, ketika soal siasat di IPD itu, kelima-lima suspek terbabit juga mengakui mereka menjalankan kegiatan itu hanya dalam masa sehari sahaja untuk mengumpulkan 84 tin dan 29 kota pelbagai jenis susu bayi berjenama dengan paling mahal RM150 bagi satu tin besar.

Beliau berkata, tugas mencuri susu bayi itu dilakukan seorang daripada tiga wanita itu terbabit yang sudah biasa dengan kerja berkenaan menggunakan tiga taktik untuk melepasi pintu pasar raya yang menjadi sasaran mereka.

“Antara taktiknya, wanita berkenaan memakai baju kurung bersaiz besar bagi memudah susu bayi itu disorok bawah kangkangnya, menggunakan beg sangkut wanita dan plastik pasar raya terbabit yang berpura-pura membeli barangan sebelum digunakan untuk tujuan itu,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati juga sindiket terbabit pernah ditahan kerana kesalahan sama di beberapa negeri lain sebelum ini dan melakukan kerja berkenaan secara berterusan termasuk sasarannya pasar raya di sekitar Kota Bharu.

“Kita sudah maklumkan kepada beberapa pasar raya yang kehilangan susu bayi berjenama itu menghubungi balai polis berhampiran bagi mengumpulkan maklumat berhubung perkara itu sebelum didakwa ke Mahkamah,” katanya,

Beliau berkata, kelima-lima suspek itu masih ditahan di IPD Gua Musang untuk siasatan lanjut dan siasatannya dilakukan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 memiliki barang-barang secara haram.

Katanya, jika disabitkan kesalahan mereka akan dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 5 Dis. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan