KOTA BHARU: Hanya 29 peratus atau 4,023 premis makanan yang beroperasi di negeri ini berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, jumlah itu adalah kecil berbanding pelbagai promosi dan kempen penerangan yang dilaksanakan pihaknya.
Beliau menegaskan, pemilik yang gagal berbuat demikian akan berdepan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang akan dikuatkuasakan 1 Januari ini.
"Menurut peraturan yang diwartakan pada 28 Februari 2009 itu, setiap premis makanan perlu didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan dan tuan punya yang gagal mematuhinya berdepan dengan hukuman denda atau penjara.
"Premis makanan bermaksud premis yang digunakan bagi atau berkaitan dengan penyediaan, pengawetan, pembungkusan, penyimpanan, pengiriman, pengedaran atau penjualan apa-apa makanan atau pelabelan semula atau pemprosesan semula atau pembaikan semula apa-apa makanan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Razin berkata, kategori premis makanan yang perlu didaftarkan adalah seperti pengilangan makanan, katering, premis yang makanan disedia, diproses, disimpan dan dihidangkan untuk jualan dan semua kenderaan menyediakan makanan untuk dijual.
Jelasnya, pendaftaran boleh dibuat di mana-mana fasiliti kesihatan seperti Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah, Pusat Perkhidmatan Keselamatan dan Kualiti Makanan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kota Bharu atau melalui laman sesawang www.fosimdomestic.moh.gov.my.
"Proses pendaftaran adalah percuma dan setiap pendaftaran premis makanan adalah sah untuk tempoh tiga tahun manakala sebarang permohonan semula hendaklah dibuat sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh tamat tempoh sah laku. "Sijil Perakuan Pendaftaran Makanan wajib dipamer di setiap premis makanan yang berdaftar," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 27 Disember 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan