Fathul Bari Mat Jahaya (dua dari kanan) memberi kata-kata perangsang kepada Ahmad Faiz Ibrahim dalam satu pertemuan di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin. |
KOTA BHARU: Penghidap cerebral palsy, Ahmad Faiz Ibrahim, 18, yang mengejutkan negara dengan keputusan cemerlang 10 Mumtaz dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016 walaupun terpaksa menjawab dengan dagu dan mulut kini hanya selangkah lagi untuk menggapai impiannya bergelar mahasiswa Universiti Islam Madinah (UIM).
Pegawai Khas Pejabat Penasihat Jabatan Perdana Menteri yang juga Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahaya berkata, hasil pertemuan antara Rektor UIM, Dr. Hateem Hasan Al-Marzuki sendiri dengan Ahmad Faiz menyaksikan orang nombor satu UIM itu sangat mengalu-alukan kemasukan pelajar itu ke universiti tersebut.
Menurutnya, perkara yang perlu diselesaikan kini adalah urusan berkaitan bapanya, Ibrahim Yunus, 48, seorang guru sekolah menengah yang perlu mendapat kebenaran memasuki negara berkenaan atas kapasiti sebagai pengiring.
“Dr. Hateem sangat mengalu-alukan Ahmad Faiz dan kagum dengan kesungguhannya biarpun berkeadaan demikian tetapi cemerlang dalam peperiksaan.
“Malah beliau secara jelas mengatakan bahawa Ahmad Faiz adalah anak angkat kepada UIM dan bersungguh-sungguh mahu membantunya ke sana.
“Kita perlu selesaikan prosedur berkaitan ayahnya sama ada masuk ke Arab Saudi sebagai pengiring sahaja atau turut bergelar pelajar menyambung pengajian bersama Ahmad Faiz,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi pertemuan tidak rasmi Ahmad Faiz dengan Hateem selepas majlis menandatangani kerjasama akademik antara kerajaan negeri dan UIM di sebuah hotel di sini, semalam.
Yang turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Muhammad Abdul Ghani.
Sementara itu, Ahmad Faiz ketika ditemui berkata, dia sangat berharap impian untuk menyambung pengajian dalam bidang hadis di UIM pada September ini akan menjadi kenyataan.
Jelasnya, dia bersama ayah dan ibunya, Zalina Mohd Kassim, 43, telah pun berpeluang melawat UIM sewaktu menunaikan umrah April lalu yang juga merupakan hadiah seorang dermawan hasil keputusan cemerlang peperiksaan.
“Saya bergantung 95 peratus kepada orang lain untuk bergerak dan menjalani urusan harian, jadi saya amat berharap ayah dapat bersama.
“Pengajian hadis di UIM sangat mencabar kerana kita perlu menghafal dan mempelajari sekurang-kurangnya 250 buah hadis sepanjang empat tahun belajar di samping menyiapkan tesis yang merangkumi 250 soalan,” katanya.
Ahmad Faiz juga berminat dalam bidang teknologi maklumat dan kini mengisi masa terluang mengambil upah membaiki komputer dan gajet rosak selain berusaha menghafal 30 juzuk al-Quran
Sumber: Utusan Malaysia | Kampus | 25 Mei 2017 | Terbitan 26 Mei 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan