Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 19 Mei 2017

Kerajaan Persekutuan sumbang RM9.6 juta kepada institusi pondok di Kelantan - Asyraf Wajdi

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan memperuntukan sebanyak RM9.6 juta kepada institusi pengajian pondok dan sekolah agama rakyat di Kelantan pada tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata sumbangan terbesar berbanding dengan negeri lain itu berdasarkan jumlah institusi pondok dan sekolah agama yang tinggi di negeri ini.

"Sebanyak 46 buah institusi pengajian pondok dan sekolah agama rakyat di negeri ini menerima sumbangan secara sekaligus hari ini dan institusi terbabit sudah berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada institusi berkenaan di sini, Jumaat.

Asyraf Wajdi berkata secara purata setiap institusi pondok dan sekolah agama rakyat itu menerima tidak kurang daripada RM200,000 iaitu jumlah terbesar disumbangkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk Kelantan.

Beliau berkata penyampaian sumbangan itu adalah susulan daripada acara simbolik yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang memperuntukkan sebanyak RM50 juta kepada institusi pengajian pondok dan sekolah agama rakyat di seluruh negara.

"Ini adalah sebahagian daripada hasrat Perdana Menteri untuk memperkasakan institusi pondok dan tahfiz selaras dengan hasrat melancarkan Dasar Tahfiz Negara," katanya.

Beliau berkata kerajaan bermatlamat untuk melahirkan ramai lagi para hafiz yang berorientasikan profesional iaitu bukan sahaja pandai menghafaz al-Quran tetapi juga profesional dalam pelbagai bidang.

"Menjelang 2050 kita menyasarkan untuk mempunyai seramai 135,000 huffaz dan institusi pondok akan jadi teras Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ianya perlulah diperkasakan serta perlu dijadikan sebagai bersifat arus perdana sebagaimana hasrat Perdana Menteri," katanya.

Beliau berharap sumbangan tersebut akan digunakan oleh institusi berkenaan bagi meningkatkan kemudahan prasarana dan aspek keselamatan terutama bagi mencegah kebakaran.

Sumber: Bernama | 19 Mei 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan