Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 10 Mei 2017

KIGSB, Celcom berkerjasama tingkat infrastruktur telekomunikasi di Kelantan

KOTA BHARU: Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd (KIGSB), anak syarikat kerajaan negeri Kelantan menjalin kerjasama dengan Celcom Axiata Bhd (Celcom) bagi menaiktaraf infrastruktur berkaitan telekomunikasi di negeri ini.

Usaha itu dimuktamadkan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak terbabit di sini, hari ini.

Pengarah KIGSB, Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail menyifatkan kerjasama strategik dengan syarikat telekomunikasi itu sebagai penting dalam usaha memastikan kemudahan itu dipertingkat serta setaraf dengan negeri-negeri lain.

"Menerusi kerjasama ini, kita akan menjalankan pelbagai usaha termasuk meningkatkan liputan serta capaian di beberapa kawasan tumpuan seperti Bazar Buluh Kubu, Pasar Siti Khadijah dan Bazar Tok Guru di sini supaya perkhidmatan sambungan jalur lebar itu menjadi lebih pantas.

"Bagi tahun pertama ini, usaha itu akan dijalankan di Kota Bharu sebelum diperluaskan ke kawasan lebih jauh," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU antara KGISB dan Celcom.

Beliau mewakili KIGSB manakala Celcom diwakili oleh Ketua Sektor Awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Mohd Hafizi Mohd Padely serta turut disaksikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri Kelantan Mohd Zaki Ibrahim.

Mengulas lanjut, Wan Zawawi berkata kerjasama itu turut membabitkan aspek pembangunan penyelesaian dan perkhidmatan e-Perbandaran.

Bagi bidang keusahawanan pula, beliau berkata kedua-dua pihak turut bersetuju untuk mempromosi serta memasarkan produk-produk Kelantan di portal beli-belah dalam talian, 11street serta inisiatif lain yang boleh menjana pendapatan menerusi platform e-dagang.

Sumber: Bernama | 9 Mei 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan