Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 17 Mei 2017

UMNO Baling bina rumah untuk anak Allahyarham ASP Mat Noor

TANAH MERAH: Biro Kebajikan UMNO Bahagian Baling, Kedah, akan membina sebuah rumah untuk keperluan lima orang anak Allahyarham ASP Mohd Noor Mat Yaub, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kampung Teluk Teduri, Baling, Kedah, 18 April lepas.

Ketua UMNO Bahagian Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pembinaan rumah empat bilik bernilai kira-kira RM50,000 di Kampung Buloh, Gual Ipoh, di sini bagi mengenang jasa Allahyarham Mohd Noor dan isterinya, Allahyarham Suriya Abdul Rahman, sepanjang mereka berkhidmat di Baling.

Dalam kejadian itu, Allahyarham Mohd Noor, 38, yang bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Baling dan Allahyarham Suriya, 37, seorang guru, terkorban dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Teluk Teduri, Baling.

Kelima-lima anak Allahyarham iaitu Irdina Aliah, 11, Insyirah Aliah, 10, Muhammad Adib Mustakim, 8, Imanina Aliah, 6, dan Muhammad Adib Mirza, 4, kini dijaga oleh bapa Suriya, Abdul Rahman Daud, 65, dan isteri Che Shapiah Che Ahmad, 60, di kampung itu.

Abdul Azeez berkata pembinaan rumah tersebut yang dijangka siap sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini, akan memudahkan anggota keluarga Allahyarham Mat Noor yang kini tinggal di Pasir Puteh untuk datang melawat dan tinggal bersama cucu-cucunya dalam tempoh tertentu selain memberi keselesaan kepada mereka.

"Kami juga memberi sumbangan kewangan RM10,000 sebagai bantuan bagi persiapan menyambut bulan Ramadan dan hari raya kepada lima orang anak Allahyarham selain melakukan Badal Haji kepada kedua-dua Allahyarham," kata Abdul Azeez kepada pemberita di sini hari ini selepas mengunjungi keluarga Allahyarham.

Sementara itu, bapa Allahyarham Mat Noor, Mat Yaub Puteh, 68, berkata pembinaan rumah itu akan memudahkan dia melawat cucu-cucunya itu dari Pasir Puteh.

"Ia akan memberi masa yang lebih kepada saya untuk bersama kelima-lima cucu saya dan mungkin membolehkan saya tinggal di sini untuk tempoh masa tertentu bagi memberi kasih sayang kepada mereka," katanya.

Abdul Rahman pula berterima kasih kepada UMNO Bahagian Baling yang prihatin dengan nasib yang menimpa cucu-cucunya itu.

"Sumbangan ini sedikit sebanyak membantu saya menguruskan kelima-lima cucu saya ini baik dari segi perubatan, pendidikan dan keperluan harian mereka," katanya.

Sumber: Bernama | 17 Mei 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan