KOTA BHARU: Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp) Malaysia menyerahkan geran berjumlah RM1.1 juta kepada tujuh usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kelantan bagi membangunkan perniagaan masing-masing tahun ini.
Pengarah Bahagian Strategik Korporat SME Corp, Mimi Razidah Abdul Razak berkata geran yang disediakan melalui Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) itu memberi peluang kepada usahawan meneroka pasaran dan pelaburan yang lebih luas.
"Ini membuktikan kerajaan sentiasa berusaha membantu usahawan PKS melalui pelbagai program berkaitan pembangunan perniagaan bagi memastikan mereka terus berdaya saing," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Minggu PKS Peringkat Negeri Kelantan 2017 yang disempurnakan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha di sini, hari ini.
Mimi Razidah berkata seramai 130 usahawan PKS di Kelantan telah menerima geran sama daripada SME Corp sejak 2009 dengan nilai keseluruhan RM11.8 juta.
Sementara itu, beliau berkata SME Corp bakal menyiarkan sebuah drama bersiri berkaitan perniagaan melalui Youtube mulai Jun ini.
Katanya drama 12 siri yang bertajuk "Chor dan Chah" terbitan Suhan Movies itu bagi memudahkan usahawan terutama golongan muda mendapatkan maklumat berhubung perniagaan dengan lebih mudah.
"Ia pendekatan baharu SME Corp dalam usaha memberi pendedahan kepada usahawan menggunakan saluran yang betul untuk memulakan perniagaan tanpa perlu menghadiri kursus atau seminar," katanya.
Minggu PKS 2017 diadakan serentak di 15 lokasi seluruh negara dengan tema 'Mula Berdikit Azam Melangit bagi membantu usahawan PKS memperkasa perniagaan masing-masing selain mewujudkan rantaian pemasaran yang lebih luas.
Dalam pada itu Makhtar berkata penyerahan geran tersebut akan menyuntik semangat usahawan terutama golongan belia untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih luas sekali gus menjana ekonomi Kelantan.
Sumber: Bernama | 20 Mei 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan