BACHOK: Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan lebih RM7 juta untuk meningkatkan taraf hidup 535 petani di jajahan Bachok dan Pasir Puteh sejak 2012 hingga kini, kata Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak, Nik Hamadi Nik Abdullah.
Beliau berkata peruntukan itu diluluskan di bawah Projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang melibatkan kawasan tanaman padi seluas 781 hektar di kedua-dua jajahan tersebut.
"Pada tahun ini, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM600,000 untuk faedah petani terbabit termasuk dalam pemberian insentif," katanya ketika berucap pada majlis perasmian dan bayaran insentif projek NKEA padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beris Kubur Besar di sini, hari ini.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Nik Hamadi berkata melalui projek itu, ada dalam kalangan petani berkenaan berjaya meningkatkan hasil padi daripada 4 metrik tan sehektar kepada 6.5 metrik tan sehektar.
Beliau berkata peningkatan hasil padi itu hasil daripada penggunaan teknologi terkini serta kemudahan infrastruktur yang disediakan dalam kawasan tanaman tersebut.
Sumber: Bernama | 7 Mei 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan