Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 25 Mei 2017

Kajian budu, pegaga 
cegah kanser perut

Ahmad Sukari Halim (kiri) beramah mesra dengan Lee Yeong Yeh (dua dari kiri) dan Gan Siew Hua (dua dari kanan) di Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
KOTA BHARU: Kajian lanjut mengenai ke­upayaan budu dan pegaga mencegah penyakit kanser perut akan dijalankan bagi membuktikan keberkesanan makanan tradisional Kelantan itu yang dipercayai menjadi punca kurangnya kes kanser perut di negeri ini.

Pakar Perunding Kanan Gastroenterologi, Hepatologi dan Perubatan Dalam, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Lee Yeong Yeh berkata, antara faktor utama penyakit kanser perut adalah kewujudan kuman Helicobacter pylori (H.pylori) namun bakteria jenis ini didapati jarang terdapat dalam kalangan penduduk khususnya orang Mela­yu di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya unsur biokimia yang terdapat dalam makanan tradisional tempatan itu merencat pertumbuhan H.pylori sekali gus me­ngurangkan risiko penyakit kanser perut go­lo­ngan yang menggemari budu dan pegaga.

“Kadar kanser perut di Kelantan adalah 1.2:100,000 berban­ding Malaysia iaitu 2.2:100,000 yang bermaksud kes berlaku di Kelantan adalah 50 peratus ku­rang daripada kadar nasional.

“Kita masih lagi dalam peringkat kajian awal namun setakat ini kita percaya pengambilan budu dan pegaga mungkin boleh mencegah H.pylori dan seterus­nya kanser perut.

“Selain daripada itu, penduduk Melayu di sini juga didapati mempunyai jenis-jenis varian gen yang melindungi mereka dari­pada kuman H.pylori,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan Syarahan Umum sempena pelantikannya sebagai Profesor bertajuk 'Perubahan Landskap Kesihatan Gastrousus di Malaysia daripada H.Pylori kepada Obesiti' di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian di sini semalam.

Selain beliau, seorang lagi profesor iaitu pensyarah Pusat Genom Manusia, PPSP USM, Prof. Dr. Gan Siew Hua menyampaikan syarahan bertajuk 'Gen dan Ubat-ubatan Serta Penyelidikan Madu'.

Yang turut hadir, Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Dr. Ahmad Sukari Halim dan Dekan PPSP USM, Prof Dr Shaiful Bahari Ismail.

Sementara itu, Dr. Ahmad Su­kari berkata, pihaknya amat menggalakkan barisan profesor dan pakar di kampus itu berkongsi ilmu mereka dengan masyarakat sama ada melalui medium syarahan ataupun penulisan artikel dalam surat khabar.

“Sehingga kini kita mempu­nyai 50 orang profesor dari kira-kira 500 kakitangan akademik yang ada di Kampus Kesihatan USM.

“Pensyarah kita paling ba­nyak menghasilkan buku dan pe­nu­lisan akademik setiap tahun ma­lah menerusi kerjasama de­ngan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kita telah menerbitkan 63 judul buku umum unwtuk tatapan masyarakat sejak 2010,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Kampus | 23 Mei 2017 | Terbitan 24 Mei 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan