PASIR PUTEH: Seorang doktor perubatan yang juga Timbalan Pengarah Hospital Machang, maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum melanggar sebatang pokok dalam kemalangan di kilometer 01 Jalan Bukit Tanah, Alor Hijau, Selising hari ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Abd Rozak Muhammad berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi ketika mangsa Dr Mohammad Faizal Mohd Rozali, 34, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Hospital Machang.
"Mangsa yang memandu sendirian kereta jenis Mitsubishi Lancer dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan menghala ke Selising dan melanggar sebatang pokok kekabu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Abd Rozak berkata kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala sebelum dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat.
Sementara itu, isteri mangsa Dr Hamimi Salihah Abdul Halim, 35, berkata beliau mengetahui mengenai kemalangan tersebut melalui laman Facebook kira-kira pukul 8 pagi ini.
"Arwah sepatutnya menunaikan umrah pada 31 Mei ini bersama ibunya. Semua persiapan ke Tanah Suci sudah dibuat, namun apakan daya Allah lebih sayangkan dia," katanya.
Dr Hamimi Salihah yang bertugas di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian berkata suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara dan keluar bekerja seperti biasa sebelum terlibat dalam kemalangan pagi tadi.
Mangsa yang meninggalkan empat anak berumur antara dua dan 10 tahun, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu.
Sumber: Bernama | 18 Mei 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan