Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 27 Mei 2017

Projek Empangan Nenggiri: Penduduk Orang Asli sedia berpindah

Kawasan penempatan Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan yang bakal tenggelam kerana pembinaan Empangan Nenggiri.
GUA MUSANG: Seramai 200 keluarga Orang Asli di Pos Tohoi di sini bersedia untuk berpindah ke kawasan penempatan baharu bagi memberi laluan kepada projek pembinaan Empangan Nenggiri.

Bagaimanapun, mereka mahu pihak kerajaan membangunkan kawasan perkampungan baharu itu seperti mana yang mereka nikmati pada masa sekarang di Pos Tohoi iaitu lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti perumahan selesa serta sekolah untuk anak-anak.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Pos Tohoi, Zainal Chali berkata, penduduk kampung sudah sepakat untuk memilih Kampung Kuala Yai sebagai penempatan mereka sekiranya projek itu dilaksanakan.

Katanya, Kuala Yai adalah sebuah kampung lama yang pernah mereka diami dahulu sebelum berpindah ke Pos Tohoi pada tahun 1983.

“Orang kampung masih lagi belum menandatangani apa-apa dokumen setakat ini. Kami berharap pihak kerajaan bersetuju dengan pilihan kita untuk tinggal di Kuala Yai.

“Jika mereka bersetuju dengan beberapa syarat yang kita mahu, kami akan berpindah dari Pos Tohoi,” katanya di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan hampir 200 keluarga masyarakat Orang Asli akan kehilangan tempat tinggal kerana kawasan tersebut terlibat dalam pembinaan projek Empangan Neng­giri.

Sementara itu seorang penduduk, Jemes Achey, 35, berkata, penduduk kampung sudah mengetahui bahawa mereka akan dipindahkan ke kawasan lain.

Katanya, penduduk kampung terpaksa berpindah walaupun mereka amat sayangkan Pos Tohoi yang mempunyai banyak sejarah apabila terdapat Gua Cha dan Gua Peraling di sini.

“Kami memang rasa berat hati nak berpindah ke tempat baharu kerana di sini banyak kawasan bersejarah, kebun, haiwan ternakan dan kemudahan sekolah.

“Kita mahu kerajaan menyediakan jalan tar atau kemudahan elektrik, sekolah dan klinik. Kemudahan itu adalah sebagai pampasan kerana kami telah berkorban untuk meninggalkan kampung,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 25 Mei 2017 | Terbitan 26 Mei 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan