Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 15 Mei 2017

Institusi pondok perlu berdaftar dengan MAIK - Asyraf Wajdi

PASIR PUTEH: Institusi pondok di Kelantan diminta berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) bagi membolehkan pusat pengajian itu mendapat bantuan sewajarnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata antara bantuan yang boleh diperoleh adalah melakukan pendawaian semula bekalan elektrik bagi mengurangkan risiko kebakaran.

"Terdapat institusi pondok di Kelantan tidak mengikut piawaian pendawaian elektrik yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan ia menjadi satu daripada punca kebakaran.

"Kemungkinan pengurusan pondok tidak mempunyai kewangan yang mencukupi, justeru mereka digesa berdaftar dengan MAIK kerana kerajaan persekutuan telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi menangani masalah berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2017 Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan di Dewan Uthmaniah, Kampung Pulai Lima di sini hari ini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak Datuk Zawawi Othman, ADUN Selising Zulkifli Ali dan Pengarah JBPM Nazili Mahmood.

Asyraf Wajdi mengulas mengenai beberapa siri kebakaran membabitkan pusat pengajian tersebut yang sering berlaku di negeri ini sejak akhir-akhir ini.

Sumber: Bernama | 15 Mei 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan