KOTA BHARU: Pemilik haiwan peliharaan terutama kucing kerap berdepan masalah untuk menguruskan haiwan kesayangan masing-masing jika terpaksa berkerja di luar kawasan atau pergi melancong dalam tempoh yang agak lama.
Untuk menyelesaikan masalah itu, ada dalam kalangan pemilik haiwan tersebut yang memilih meninggalkan sementara kucing mereka kepada saudara mara atau jiran.
Namun, pemergian mereka atas tuntutan kerja atau melancong itu pasti diiringi dengan hati yang tidak tenang kerana memikirkan haiwan kesayangan yang ditinggalkan.
Situasi tersebut menyuntik idea kepada Suhaili Muhammad, 27, untuk membuka pusat jagaan harian kucing di rumahnya di Kampung Tok Sadang, Pengkalan Chepa, sejak dua tahun yang lalu.
"Memang banyak kedai haiwan yang terdapat di mana-mana sahaja tetapi tidak banyak yang menyediakan khidmat jagaan harian. Jadi saya mengambil peluang ini untuk membantu menyelesaikan masalah pemilik kucing yang sekali gus menjadi punca pendapatan saya," katanya kepada Bernama di kampung tersebut di sini, hari ini.
Celly Cat’s House dipilih sebagai nama pusat jagaannya yang menyediakan segala keperluan si comel selain perkhidmatan 'hotel dan spa' kucing yang mampu memuatkan 30 ekor kucing dalam satu-satu masa.
"Menguruskan kucing memberi kepuasan yang sangat luar biasa bagi saya. Saya sentiasa bersemangat melakukan kerja rutin saya bermula seawal 8 pagi untuk melihat kucing bersih, terurus, sihat dan aktif," katanya.
Menurut Suhaili, antara faktor lain yang mendorong beliau memulakan perniagaan itu adalah minatnya yang mendalam pada kucing sejak kecil.
Beliau mula memelihara kucing ketika umurnya sembilan tahun lagi dan minat itu diteruskan hingga kini dengan memiliki 12 ekor kucing.
Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata sebagai peminat tegar kucing beliau menganggap kucing pelanggan seperti kucingnya sendiri dengan memberi perkhidmatan yang terbaik.
Katanya, apa yang lebih menggembirakan, apabila pemilik kucing berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan dan mula menjadi pelanggan tetapnya.
"Syukur kerana pusat jagaan harian ini mendapat sambutan menggalakkan malah ada pelanggan dari jajahan lain termasuk dari Pasir Mas dan Bachok turut mendapatkan perkhidmatan yang disediakan di sini," katanya.
Suhaili mengenakan bayaran serendah RM10 sehari untuk perkhidmatan 'hotel kucing' termasuk makanan di samping pakej dandanan seperti potong kuku, mandi, cuci telinga dan mata serta perapian bulu dengan harga antara RM25 dan RM35 seekor.
Apa yang istimewanya, beliau turut menyediakan perkhidmatan mengambil dan menghantar kucing bagi memudahkan pelanggannya dan ini menjadikannya satu kelebihan berbanding kedai haiwan peliharaan lain.
Pemilik Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) itu turut menyediakan perkhidmatan 'cat mating' (mengawan) selain memberi konsultasi percuma kepada pelanggannya.
Di samping memberi tumpuan kepada perniagaannya, ibu kepada seorang anak berusia 9 bulan itu turut menyertai pelbagai pertandingan kucing dengan memenangi lebih 10 gelaran juara setakat ini.
Katanya, sokongan keluarga terutama suaminya Mohamad Izzul Aman, 27, yang juga meminati kucing banyak mendorong beliau untuk terus mengorak langkah ke hadapan.
Suhaili yang juga pemegang Ijazah Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata beliau kini dalam perancangan membuka kedai haiwan.
Sumber: Bernama | 12 Mei 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan