PASIR MAS: Sebanyak 140 metrik tan minyak masak disediakan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan untuk dijual kepada penduduk di negeri menjelang kedatangan Ramadan tidak lama lagi.
Pengarahnya, Datuk Ab. Ghani Harun berkata, pembekalan barangan itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat mengikut jajahan.
“Kita akan bermula di Bachok esok pada pukul 10 pagi dan usaha ini mendapat sokongan penuh daripada pemborong dan pembungkus minyak masak.
“Ini merupakan salah satu bentuk inovasi bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan minyak masak tanpa terputus,” katanya selepas menghadiri Gotong-royong Sahabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Leser, Tendong di sini hari ini.
Ab. Ghani memberitahu, sepanjang program pembekalan minyak masak tersebut, pihaknya akan turun padang ke setiap jajahan dan menemui pembeli sendiri.
Selain itu katanya, pemborong dan pembungkus juga akan membawa barangan lain seperti gula dan gandum untuk dijual kepada orang ramai.
Sumber: Utusan Online | 12 Mei 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan