Mat
Yusoff Abdul Ghani (dua dari kiri) bersama Rokiah Omar (kiri) memotong riben
sebagai gimik perasmian Pusat Pendidikan Komuniti Orang Asli di Pos Gob, Gua
Musang.
|
GUA MUSANG: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama CIMB Islamic menubuhkan Pusat Pendidikan Komuniti khusus untuk kegunaan belia Orang Asli di Pos Gob, dekat sini yang tercicir dalam pelajaran.
Pengarah Pusat Transformasi Komuniti UKM, Prof. Datuk Dr. Rokiah Omar berkata, Pusat Pendidikan Komuniti atau dikenali sebagai ‘sekolah rimba’ dalam kalangan penduduk Orang Asli itu diwujudkan untuk membantu mereka mendapat pendidikan awal sebelum diserapkan ke sekolah aliran utama.
Katanya, sebelum ini pihaknya telah melakukan beberapa siri kajian sejak Jun tahun lalu dan mendapati pos penempatan Orang Asli yang terletak bersempadan negeri Perak itu amat memerlukan sebuah pusat pendidikan.
“Kita telah mengenal pasti seramai 40 orang murid yang tercicir dalam pelajaran dan lebih setahun mereka tidak ke sekolah.
“Mengikut kajian yang kita buat, murid berkenaan enggan ke sekolah kerana jaraknya yang agak jauh kira-kira lebih 100 kilometer serta sikap ibu bapa yang tidak sanggup berjauhan dengan anak yang masih kecil,” katanya.
Tambah Rokiah, mereka bukan sahaja fokus kepada pendidikan malah daripada segi kesihatan dan sosial ekonomi masyarakat Orang Asli.
“Kita akan melatih Orang Asli di kawasan ini sendiri sebagai tenaga pengajar dan menggalakkan anak-anak untuk ke sekolah.
“Kita akan menggunakan program berteraskan literasi alaf 21 yang dapat membantu komuniti mengenal huruf serta membaca dalam masa tiga bulan. Sebelum ini program itu terbukti berjaya dan kita akan menggunakan modul itu untuk penduduk di sini,” katanya program itu adalah untuk tempoh lima tahun.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Program Pelancaran Pusat Pendidikan Komuniti UKM-CIMB Islamic di Pos Gob, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Abdul Ghani, Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) negeri, Azman Ngadiron dan Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri, Anuar Mat Zain.
Sumber: Utusan Online | Kelantan | 21 Mei 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan