KOTA BHARU: Yayasan Warisan Negara berhasrat membawa hasil kajian awal berkaitan Sungai Pengkalan Datu, Pengkalan Chepa di sini, kepada Kerajaan Pusat agar kajian terperinci mengenai kawasan itu berasaskan warisan dan alam semulajadi dapat dilaksanakan.
Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Utama Rais Yatim berkata kajian awal yang dilakukan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendapati kawasan tersebut kaya dengan nilai sejarah, sekaligus mampu dijadikan sebagai pusat sosio-budaya dan pelancongan pada masa akan datang.
"Ia sekaligus akan membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Buku Jejak Warisan dan Pembangunan Lembangan Sungai Pengkalan Datu di sini, hari ini.
Lembangan Sungai Pengkalan Datu pernah menjadi pelabuhan utama pada tahun 1605 di Kelantan sehingga menjadi tumpuan pedagang dan terkenal aktiviti seni budaya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Canselor UMK Datuk Dr Mortaza Mohamed dan Prof Adjung Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) UMK yang juga penulis buku tersebut Tan Sri Abdul Latiff Abu Bakar.
Sementara itu di BACHOK, ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Buku Kluster Warisan dan Peradaban yang berjudul Perjuangan Tok Janggut Menentang Inggeris dan Warisan Cerita Rakyat Kelantan di UMK Bachok di sini, Rais berkata masyarakat Melayu perlu yakin bahawa Bahasa Melayu mampu cemerlang seperti bahasa antarabangsa lain.
"Kita perlu memartabatkan bahasa Melayu dan pada masa yang sama tidak mengetepikan bahasa lain. Bahasa adalah identiti sesuatu bangsa yang menjadi tonggak kemajuan sesebuah peradaban. Kita tidak mahu warisan bangsa ini dibunuh oleh orang Melayu sendiri," katanya.
Sementara itu Abdul Latiff berkata sumber rujukan berkaitan warisan budaya perlu diperbanyakkan bagi menyuntik kesedaran masyarakat mengenai kepentingan budaya bangsa selain memastikan ia tidak pupus.
Beliau berkata selain dapat menggalakkan masyarakat untuk terus memelihara warisan, usaha menerbitkan buku terutama buku warisan juga adalah usaha untuk menguatkan lagi jatidiri masyarakat negara ini.
Warisan Cerita Rakyat Kelantan memuatkan sebahagian kisah yang dikumpulkan oleh seramai 230 pelajar Kursus Tradisi Lisan FTKW 2016 di bawah penyeliaan Abdul Latiff.
Buku Perjuangan Tok Janggut Menentang Inggeris pula mengisahkan perjuangan tokoh patriotik Kelantan menentang pengaruh Inggeris di negeri ini.
Ia hasil pembentangan para sarjana negara dalam seminar perjuangan Tok Janggut pada 27 Sept 2015, sempena memperingati 100 tahun perjuangan Tok Janggut di Kelantan (1915-2015).
Buku Jejak Warisan dan Pembangunan Lembangan Sungai Pengkalan Datu pula adalah antara usaha Kluster Warisan dan Peradaban UMK menjalankan penyelidikan awal bagi mewarisi khazanah semulajadi dan sejarah warisan Kelantan untuk dibangunkan dan diselamatkan.
Sumber: Bernama | 22 Mei 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan