IPOH: Kerajaan negeri akan membuka lebih banyak laluan penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) apabila siap sepenuhnya Taman Tema Filem Animasi (MAPS) bulan depan.
Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata pembukaan taman tema bertaraf antarabangsa yang pertama di Asia itu mampu menarik lebih ramai pelancong antarabangsa berkunjung ke Perak sekali gus meningkatkan ekonominya.
"Kerajaan negeri sedang melakukan kajian dan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan bagi merealisasikan hasrat tersebut dan kita yakin ia dapat dilaksanakan tidak lama lagi.
"Setakat ini kita sudah melakukan proses rundingan dengan syarikat penerbangan Malindo Air dan Lion Air bagi laluan terus dari Medan,Indonesia ke Ipoh, manakala kita masih berbincang dengan syarikat agensi pelancongan sama ada mahu membuka laluan penerbangan dari Ipoh ke China," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata sebelum ini Perak pernah melaksanakan operasi penerbangan secara terus ke Medan, namun ia terpaksa dihentikan dua tahun lalu atas faktor kekurangan penumpang dari kawasan berkenaan.
"Kita mengharapkan pembukaan MAPS akan meningkatkan keyakinan pasaran pelancongan antarabangsa seterusnya mampu memberi tarikan kepada produk tempatan yang berpotensi untuk diketengahkan," kata Nolee Ashilin.
Menurutnya, Perak menunjukkan peningkatan kehadiran pelancong antarabangsa sempena Tahun Melawat Perak 2017 (TMP17) dengan pelancong dari India paling ramai berkunjung.
Terdahulu, beliau merasmikan Perlumbaan Pramusaji Antarabangsa ke-5 yang disertai 300 peserta tempatan dan antarabangsa dari Hong Kong, Vietnam, Myanmar, Bangladesh, Kemboja, Sri Lanka, Pakistan dan Jepun.
Dalam perlumbaan itu, peserta dikehendaki berjalan sejauh 1.2 kilometer sambil membawa dulang berisi dua gelas air dan sebotol air mineral.
Program anjuran Persatuan Pelancongan Perak dengan kerjasama Tourism Perak itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM17,900.
Sumber: Bernama | 14 Mei 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan