KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, menjadi pusat rujukan pertama untuk rawatan kanser di Pantai Timur apabila memiliki mesin Pemecut Linear Varian Clinac iX dan SPECT/CT.
Naib Canselor USM, Datuk Dr Asma Ismail, berkata mesin Pemecut Linear Varian iX adalah mesin pengimejan hibrid yang menggabungkan pengimejan sinar gamma, manakala mesin SPECT/CT untuk mendiagnosis penyakit.
Katanya, kedua-dua mesin itu menggunakan teknik rawatan terkini seperti Intensity Modulated Radiotherapy (IMRT) dan Variable Modulated Accelerated Therapy (VMAT) yang mampu memberi rawatan kanser dengan lebih tepat dan selamat serta dapat menggantikan pembedahan, dalam kes tertentu.
"Mesin ini dapat mengesan kanser dengan lebih cepat kerana teknik rawatan radioterapi mampu memberikan dos rawatan yang lebih tinggi untuk mematikan kesemua sel kanser.
"Selain menjimatkan masa, kesan sampingan jangka masa pendek dan panjang terhadap pesakit juga rendah," katanya pada majlis perasmian mesin pemecut linear varian clinac iX di Auditorium Jabatan Perubatan Nuklear Radioterapi dan Onkologi di sini, hari ini.
Dr Asma berkata, melalui peralatan terbaru itu, USM dapat menjana pendapatan melalui perubatan pelancongan apabila pesakit luar negeri ini datang mendapatkan rawatan.
Malah, katanya, masa rawatan juga menjadi lebih singkat, selain dapat memberi maklumat tambahan kepada pesakit mengenai kanser yang dihadapi.
"Mesin ini akan memberi kemudahan kepada pesakit yang berada di Pantai Timur kerana mereka tidak lagi perlu ke luar negeri untuk mendapatkan rawatan.
"Teknik terbaru ini juga mampu mencipta kolaborasi antara USM dan institusi pengajian lain untuk menjalankan kajian klinikal dari sudut akademik," katanya.
Sumber: Berita Harian | Timur | 14 Mei 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan