Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 19 Mei 2017

Graduan berkemahiran Giatmara penuhi kehendak industri

KOTA BHARU: GiatMara berhasrat melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran bagi memenuhi keperluan pihak industri di negara ini, kata Pengerusinya Datuk Azian Osman.

Beliau berkata setakat ini, 85 peratus daripada lepasan GiatMara berjaya menempatkan diri dalam sektor industri manakala 10 peratus menjadi usahawan dan hanya lima peratus gagal mendapat pekerjaan dalam sektor industri.

"Sektor industri negara mengutamakan graduan dari GiatMara kerana mereka lebih berkemahiran dan memenuhi kehendak industri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi GiatMara Kelantan di sini, hari ini.

Sejak pusat latihan kemahiran itu ditubuhkan 31 tahun lepas, ia telah melahirkan seramai 343,000 raduan di seluruh negara.

Azian berkata GiatMara mengaplikasikan 80 peratus praktikal manakala 20 peratus teori dalam usaha melahirkan graduan yang lebih berkemahiran.

GiatMara juga memberi pendedahan kepada pelatih untuk menambah pendapatan melalui kemahiran dalam sesuatu bidang.

Pada majlis itu, seramai 556 daripada 1,384 graduan GiatMara di seluruh Kelantan dianugerahkan Sijil Professional termasuk 22 daripadanya mendapat Anugerah Sijil Eksekutif GiatMara.

Sementara itu, Nur Ibtisam Rozman, 25, berkata beliau tidak berasa malu untuk mengikuti kursus di GiatMara Kubang Kerian selama enam bulan walaupun telah mempunyai Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Fesyen Tekstil) dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

"Walaupun saya telah mengikuti pembelajaran selama empat tahun di UMK namun minat dalam bidang jahitan mendorong saya untuk mengikuti kursus di GiatMara supaya mendapat kemahiran yang lebih mendalam," katanya.

Beliau dianugerahkan Sijil Eksekutif GiatMara dengan Purata Nilai Kompetensi GiatMara 3.72 untuk kursus Fesyen dan Pembuatan Pakaian Tahap Dua.

Sumber
: Bernama | 18 Mei 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan