KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MBKB-BRI) menjangkakan jumlah sisa pepejal di Kota Bharu akan meningkat sehingga lima kali ganda tahun ini berikutan cuti sekolah selama dua minggu pada permulaan Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata ia berikutan kebanyakan anak Kelantan yang berada di luar akan pulang untuk berpuasa pada waktu itu.
"Jumlah sisa pepejal pada setiap bulan Ramadan sebelum ini pernah meningkat sehingga 1,200 metrik tan sehari berbanding 400 metrik tan pada hari biasa.
"Tetapi tahun ini kita menjangkakan jumlah tersebut akan meningkat tiga hingga lima kali ganda daripada jumlah biasa pada bulan Ramadan sebelum ini," katanya kepada pemberita pada Program Chefmanship Akademi (CA) dan Taklimat Pengendalian Makanan Kepada Penjaja dan Peniaga Bulan Ramadan 2017 di sini, Khamis.
Turut hadir Yang Dipertua MPKB-BRI Datuk Zamri Ismail dan Pengurus Jualan Nasional Unilever Food Solutions (UFS) Malaysia Eric Chong.
Abdul Fattah bagaimanapun berkata, MPKB-BRI telah bersedia untuk berdepan cabaran tersebut dengan kekuatan kira-kira 400 kakitangannya.
Program yang dihadiri kira-kira 500 peniaga bazar Ramadan itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan memberi pendidikan tentang keselamatan dan pengurusan lebihan makanan bagi mengelakkan pembaziran.
Beliau berkata ia adalah inovasi baharu MPKB-BRI untuk membangunkan sikap peniaga yang lebih baik dalam membudayakan kebersihan, yang akan disebar luas kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di seluruh negeri ini.
"Selain kebersihan, kita minta semua peniaga mematuhi segala arahan yang dikeluarkan termasuk memulakan perniagaan pada 3 petang,” katanya.
Sementara itu, Eric Chong berkata, program CA yang dilancar pada 2013 adalah sebahagian daripada Rancangan Kehidupan Lestari UFS (Unilever Sustainable Plan) yang bertujuan meningkatkan tabiat kesihatan, kesejahteraan dan kesihatan di Malaysia.
Katanya UFS telah berganding dengan kebanyakan PBT seluruh negara membabitkan 43,000 pengendali makanan serta mewujudkan rangkaian WeChat bagi memudahkan interaksi antara pengendali makanan dan pihak pengurusan runcit.
Sumber: Bernama | 11 Mei 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan