Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 12 Mei 2017

Malaysia mampu jadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020

Idris Jala (kanan), Ali Hamsa (tengah) dan Faris Hadad-Zervos menunjukkan buku Laporan Penyelidikan dan Pengetahuan Memandu Prestasi dari Pusat: Pengalaman Malaysia dengan Pemandu oleh Kumpulan Bank Dunia di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada landasan yang betul untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 selepas mencatatkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita mencecah AS$10,570 (RM45,920) pada 2015.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Associates Sdn. Bhd., Datuk Seri Idris Jala berkata, angka tersebut hanya 15 peratus kurang daripada angka pendapatan tinggi semasa iaitu AS$12,475 (RM54,120) yang ditetapkan oleh Bank Dunia.

Beliau berkata, sebenarnya Malaysia boleh mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi pada 2015 jika ringgit kekal berada pada paras RM3.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Malah Bank Dunia telah me­ngurangkan angka PNK perkapita untuk dua tahun berturut-turut, kerana kekayaan negara berpendapatan tinggi telah menurun. Bank Dunia juga belum meletakkan pe­nanda aras pendapatan tinggi bagi tahun 2020.

“Bagaimanapun, selagi eksport Malaysia berkembang, kita masih berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran 2020 walaupun dalam keadaan ringgit yang lemah,” katanya kepada pembe­rita selepas pelancaran Laporan Penyelidikan dan Pengetahuan Memandu Prestasi dari Pusat: Pengalaman Malaysia dengan Pemandu oleh Kumpulan Bank Dunia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setia­usaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Timbalan Ketua Pengarah (Mo­dal Insan), Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Johan Mahmood Merican; Pengurus Negara Hab Penyelidikan dan Pengetahuan Global Kumpulan Bank Dunia di Malaysia Faris Hadad-Zervos dan Pakar Sektor Awam Kanan, Hab Penyelidikan dan Pengetahuan Global Kumpulan Bank Dunia di Malaysia, Jana Kunicova.

Sementara itu, laporan yang di­keluarkan Kumpulan Bank Dunia tersebut mendedahkan, pengalaman Malaysia dalam memacu pres­tasi sektor awam melalui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), telah menjadi contoh bagi negara-negara lain di seluruh dunia.

Idris berkata, laporan tersebut turut menggariskan antara keja­yaan dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh unit berkenaan dalam memacu pertumbuhan prestasi negara.

“Sejak penubuhannya pada 2009, Pemandu, sebuah unit di Jabatan Perdana Menteri telah menjadi satu daripada unit pe­nyampaian yang paling menonjol dan banyak negara ingin belajar daripada pengalaman yang di­miliki Pemandu,” katanya.

Menurut laporan itu, keberkesanan Pemandu dalam memacu prestasi berpunca daripada ciri-ciri reka bentuk dan metodologi serta bagaimana unit penyampaiannya bekerjasama dengan agensi per­khidmatan dan pihak berkepenti­ngan luar yang lain.

Sumber: Utusan Malaysia | Ekonomi | 9 Mei 2017 | Terbitan 10 Mei 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan