Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 5 Mei 2017

Majikan tidak mahu beri gaji RM3,000.00

HASIL kajian mendapati, hampir semua majikan tidak sanggup memberikan gaji permulaan RM3,000.00 seperti yang dikehendaki oleh lulusan universiti.

Sebaliknya, seseorang lulusan universiti akan lebih mudah memperoleh kerja sekiranya bersetuju menerima gaji permulaan antara RM2,000.00 hingga RM2,200.00, satu jumlah yang biasanya diberikan oleh kebanyakan majikan pada hari ini.

Menurut Pengurus Negara Jobstreet Malaysia dan Singapura, Chook Yuh Yng, hanya kira-kira dua peratus majikan di negara ini sanggup menyediakan gaji permulaan RM3,000 kepada lulusan universiti.

"Jurang gaji yang diminta oleh lulusan universiti dengan tawaran gaji yang diberikan oleh majikan begitu jauh.

"Untuk itu, kedua-dua pihak perlu menetapkan jumlah gaji permulaan bagi menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan graduan.

"Jika lulusan universiti tidak cuba mengurangkan jumlah gaji yang diminta, manakala majikan pula tidak berganjak untuk menaikkan gaji yang lebih tinggi, sudah tentu akan menyebabkan graduan berkemahiran tinggi meninggalkan negara untuk bekerja di negara asing," kata Yuh Yng seperti disiarkan dalam Oriental Daily.

Menurutnya, sekiranya majikan terus mengekalkan gaji permulaan antara RM2,000 hingga RM2,200, negara akan terus kehilangan ramai graduan kerana mereka lebih suka bekerja di negara asing untuk memperoleh gaji yang lebih tinggi.

Beliau berkata, lebih 20,000 graduan dipercayai sedang menganggur pada masa ini akibat masalah gaji permulaan yang rendah.
 
Sumber: Sinar Harian | Dari Media Cina | 5 Mei 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan