PASIR PUTEH: Laungan ‘Negaraku Malaysia’ bergema di Kelantan hari ini apabila lebih 10,000 pengunjung hadir memeriahkan program Ekspresi Negaraku yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai, di sini.
Program itu bermula pukul 7.30 pagi menerusi Larian Bendera Negaraku sejauh tiga kilometer serta senamrobik beramai-ramai diikuti upacara perasmian yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Selain aktiviti riadah, pameran dan cabutan bertuah, para pengunjung juga berpeluang bertemu beberapa ikon tempatan seperti pemenang Anugerah Puskas Fifa 2016, Mohd. Faiz Subri serta usahawan Orang Kurang Upaya (OKU), Mohd. Syukur Ibrahim.
Pada sebelah malam pula, pengunjung dihiburkan dengan persembahan bertema kebudayaan dan kerohanian oleh artis tersohor tanah air seperti Datuk Ramli Sarip, Datuk M. Nasir, Rabbani dan Lah Ahmad.
Sementara itu, Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan program tersebut berkata, menerusi Ekspresi Negaraku rakyat Malaysia diajak meraikan semangat cintakan negara, mengukuhkan pertalian sesama sendiri serta dipenuhi nilai hormat menghormati.
“Dengan semangat ‘Negaraku’ yang tersemat kukuh dalam jiwa kita semua, Malaysia sememangnya menjadi contoh kepada negara-negara lain dari segi perpaduan, kemajuan serta ikatan kukuh dalam kalangan masyarakat majmuk,” katanya.
Ekspresi Negaraku sebelum ini diadakan di Kedah, Perak dan Sabah merupakan susulan daripada Ekspresi Negaraku Peringkat Kebangsaan di Putrajaya yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mac lalu.
Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 13 Mei 2017 | Terbitan 14 Mei 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan