Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 22 Mei 2017

Dulu ‘pekan koboi’, kini Gua Musang bandar transit

Ab. Aziz Yusof bersama penduduk Orang Asli bermain alatan muzik sewang untuk menghiburkan penduduk berbilang kaum dalam Program Negaraku Sepakat Komuniti 1Malaysia di Gua Musang, Kelantan, kelmarin.
GUA MUSANG: Daerah ini telah berubah wajah menjadi sebuah bandar transit yang sekali gus mengikis gelaran ‘pekan koboi’ yang berikan sejak 40 tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusof berkata, penghijrahan penduduk ke daerah ini juga meningkat kepada hampir 100,000 orang berikutan wujud banyak peluang pekerjaan.

Katanya, perubahan ketara itu berlaku selepas kerajaan Pusat membina rangkaian jalan menghubungkan Kuala Lumpur, Ipoh, Terengganu dan Kota Bharu.

“Kedudukan bandar ini yang terletak di pertengahan laluan kenderaan perdagangan dan sekali gus membawa kemajuan ekonomi.

“Jika dulu, sebut sahaja Gua Musang ramai yang takut kerana di sini dianggap sebagai tempat buangan. Namun kini, tidak lagi apabila Gua Musang sudah maju dan ramai penduduk daripada kawasan bandar datang ke sini untuk memberikan khidmat kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penutupan Program Negaraku Se­pakat Komuniti 1Malaysia pe­ringkat daerah di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR), di sini semalam.

Program anjuran Jabatan Pe­nerangan negeri itu telah menarik lebih 1,000 penduduk berbilang kaum dalam pelbagai aktiviti yang disediakan.

Tambah Ab. Aziz, kemajuan itu menunjukkan komitmen ke­rajaan Pusat bagi membangunkan kawasan Kelantan Selatan sebagai pusat perkembangan eko­nomi baharu.

Katanya, ketika ini sebilangan besar penduduk di seluruh pelusuk negeri ini telah berhijrah ke Gua Musang untuk mencari rezeki.

“Pada era 70-an dahulu, Gua Musang amat ditakuti penduduk berikutan sejarahnya sebagai tempat komunis berselindung.

“Penduduk kini sudah hidup senang apabila mereka dapat merebut pelbagai peluang pe­kerjaan sama ada dalam bidang industri, perladangan, per­lombo­ngan atau pembinaan,” katanya.
Sumber: Utusan Online | Kelantan | 21 Mei 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan