GUA MUSANG: Seorang jururawat yang patah kaki kanan ketika bertugas di perkampungan Orang Asli Pos Bihai di sini, dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) dengan penerbangan ihsan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM berpangkalan di Subang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki berkata Aminah Mohamad, 24, patah kaki kanan selepas terjatuh di sebuah rumah penduduk Orang Asli di Pos Bihai pada pukul 1.50 tengah hari semalam.
"Ketika kejadian mangsa sedang melakukan program rawatan kesihatan bersama lima rakannya yang lain di sebuah rumah penduduk di perkampungan tersebut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Aminah bersama rakan jururawat lain yang bertugas di Hospital Orang Asli Gombak mengadakan program terbabit sejak tiga hari lepas di perkampungan berkenaan.
Mohd Farhan berkata penerbangan ihsan menggunakan pesawat AW139 itu berlepas dari Pangkalan JBPM Subang pukul 10.45 pagi dan tiba di Pos Bihai 11.40 pagi.
Helikopter yang membawa pesakit itu mendarat dengan selamat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 12.30 tengah hari dan mangsa terus dibawa ke HGM.
Beliau berkata pihaknya menerima permohonan penerbangan ihsan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli di Gombak pada pukul 6 petang semalam dan penerbangan itu terpaksa diadakan pagi ini.
Penerbangan ihsan itu diketuai juruterbang Kapten Leong Cheong Meng dan dibantu Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Muizz Md Pisar.
Sumber: Bernama | 18 Mei 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan