KOTA BHARU: Walaupun tewas satu gol di halaman sendiri kepada Serian FA pada perlawanan akhir pertama Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2016/2017 di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi, ia tidak memberikan tekanan kepada Gua Musang FA untuk bertandang ke Stadium Negeri, Sarawak pada 21 Mei ini bagi menghadapi perlawanan akhir kedua.
Ketua Jurulatih Gua Musang FA, Ruhaled Ab Hamid berkata pasukannya masih tidak mahu menyerah kalah walaupun keputusan malam tadi jelas memihak kepada Serian FA yang memperoleh kelebihan jaringan di tempat lawan.
"Kita masih mempunyai masa seminggu lagi sebelum kita bertandang di tempat lawan bagi mencipta sesuatu di sana," katanya kepada pemberita.
Ruhaled berkata beliau akan menggunakan tempoh masa dua minggu tersebut untuk memperbaiki beberapa kelemahan pasukanya.
"Saya yakin anak buah saya mampu bangkit bermain di tempat lawan kerana rekod bermain di tempat lawan pada saingan peringkat kumpulan sebelum ini, pemain saya bermain dengan cemerlang," katanya.
Gua Musang FA memerlukan kemenangan 2-0 bagi melayakkan mereka merangkul trofi kejuaraan.
Gol kemenangan Serian FA malam tadi dijaringkan penyerang Mahadi Razak pada minit ke- 48.
Sementara itu ketua jurulatih Serian FA, Rozaini Romainor berkata kelebihan jaringan satu gol tidak memberi jaminan untuk pasukannya menang mudah dalam perlawanan akan datang.
"Pemain perlu terus meningkatkan prestasi dan semangat untuk menang. Pemain tidak boleh fikir pasukan sudah menang, kerana jaringan satu gol itu belum selamat dan tidak mencukupi kepada pasukan," katanya.
Sumber: Bernama | 14 Mei 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan