Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 30 April 2014

Pameran Sejarah Raja Jembal di Muzim Kelantan sehingga 5 Mei

KOTA BHARU: Orang ramai dijemput menyaksikan Pameran Sejarah Raja Jembal yang berlangsung di Muzium Negeri, di sini bermula hari ini hingga 5 Mei ini.

Pameran selama sembilan hari tersebut dianjurkan oleh Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJK) dengan kerjasama Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK).

Yang Dipertua PKRJK, Nik Yusuf NIk Muhamad berkata, pameran itu bertujuan berkongsi kisah kewujudan Raja Jembal yang menjadi sebahagian daripada sejarah awal Kesultanan Kelantan.

Raja Jembal merupakan sebuah institusi beraja yang memerintah Kelantan pada abad ke-17 dan ke-18 dengan pusat pentadbirannya terletak di Kota Jembal yang turut dikenali sebagai Kedai Lalat.

“Kerajaan Jembal berakhir pada 1725 apabila Raja Kechil Sulong menye­rahkan takhta kerajaan kepada Long Bahar atau Tuan Besar dari Patani yang berkahwin dengan kakaknya, Raja Pah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri perasmian pameran itu yang disempurnakan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Muzium Negeri, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Md. Anizam Abd. Rahman.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz yang juga berketurunan Raja Jembal menyifatkan pameran tersebut menjadi platform terbaik untuk rakyat, khususnya generasi muda mempelajari sejarah Raja Jembal dan keistimewaan keturunannya.

“Antara keistimewaan keturunan Raja Jembal, kita amat menitikberatkan perkara berkaitan keturunan. Jika ada yang melakukan zina, mereka akan terputus hubu­ngan keluarga. “Jadi keturunan Raja Jembal yang ada pada hari ini adalah bersih dari zina," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 29 April 2014 | Terbitan 30 April 2014 

KOTA JEMBAL | KEDAI LALAT | JALAN RAJA SAKTI | JALAN RAJA BAHAR | JALAN RAJA OMAR | JALAN LONG SULAIMAN | LORONG PEJABAT PENGGAWA | LORONG PASAR KOTA JEMBAL | SK KOTA JEMBAL | SK RAJA BAHAR | SMK RAJA SAKTI | RAJA LOYOR | PEJABAT PENGGAWA DAERAH SERING 

Kesesakan lalu lintas di HRPZ II

KOTA BHARU: Masalah kekurangan tempat letak kenderaan di Hospital Raja Perem­puan Zainab II (HRPZ II), di sini bukanlah satu perkara yang luar biasa bagi pengunjng hospital itu di negeri ini.

Walaupun sudah sekian lama masalah ini berlarutan, namun ia masih belum menemui jalan penyelesaian sehingga menyebabkan kesesakan yang teruk. 

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar HRPZ II baru-baru ini mendapati terdapat banyak kenderaan yang diletakkan di bahu jalan berikutan masalah tempat letak kereta yang terhad.

Tindakan pemandu yang meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan sekali gus turut menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu pagi dan petang.

Selain itu, mereka juga terpaksa mengambil risiko kemungkinan kereta mereka dilanggar serta terpaksa berhadapan dengan saman daripada pihak berkuasa.

Seorang suri rumah, Zohra Kadim Hussin, 43, berkata, ketiadaan tempat letak kereta adalah masalah utama yang sering berlaku setiap kali dia ke hospital ter­sebut.

"Setiap kali menghantar anak saya untuk mendapatkan rawatan di HRPZ II, saya terpaksa meletak kenderaan di luar kawasan hospital dan perlu berjalan jauh.

"Kadang kala, saya juga terpaksa mengambil masa yang lama semata-mata untuk mencari tempat meletak kereta sehingga terlewat untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Zohra berkata, dia turut mengharapkan su­paya pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dapat memberi pertimbangan atas situasi ini dan mencari jalan untuk mengatasi masalah tempat letak kereta.

Seorang lagi suri rumah, Siti Minah Deraman, 74, berkata, masalah tersebut amat memberi kesan kepadanya apabila terpaksa berjalan jauh dari kawasan tempat letak ke­reta dengan usia yang semakin tua. 

Katanya, dia sering berulang alik ke hospital itu sejak beberapa tahun lalu untuk mendapatkan rawatan ke­rana masalah kesihatan yang dihada­pinya. 

"Saya berharap ma­­salah ini dapat diberi perhatian bagi memberi kemudahan yang lebih selesa kepada orang ramai yang berkunjung ke hospital berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pre­siden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohammad berkata, masalah kekurangan tempat letak kereta di HRPZ II perlu diteliti bagi memberi keselesaan kepada orang ramai.

"Sekiranya masalah ini tidak diselesaikan dengan kadar segera, ia mungkin akan bertambah rumit memandangkan pesakit-pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital ini semakin bertambah.

"Justeru, pihak-pihak yang terlibat diminta untuk mencari kaedah yang sesuai bagi menyelesaikan masalah tempat letak kereta yang terhad dengan lebih sistematik," katanya. 

Beliau mencadangkan supaya pihak MPKB-BRI menyediakan ruang letak kereta yang lebih luas serta mewujudkan satu pasukan trafik untuk memudahkan aliran trafik di kawasan hospital.

"Selain itu, saya juga ingin mencadangkan supaya tempat letak kereta bertingkat dapat diwujudkan bagi menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

Tambahnya, selain mewujudkan tempat letak kereta bertingkat, hospital baharu khusus untuk penduduk sekitar Kota Bharu juga perlu dibina bagi menangani masalah kekurangan katil untuk pesakit-pesakit di HRPZ II yang turut menjadi tumpuan seluruh rakyat di negeri ini.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 28 April 2014 | Terbitan 29 April 2014

Kesesakan lalu lintas di HRPZ II boleh dielakkan jika bekerjasama

Orang ramai meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan sekali gus turut menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas di HRPZ II, Kota Bharu, Kelantan terutamanya pada waktu pagi dan petang.
KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyifatkan masalah kesesakan lalu lintas akibat kekurangan tempat meletak kereta di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini tidak akan berlaku sekiranya mendapat kerjasama daripada semua pihak.

Setiausahanya, Rosnazli Amin berkata, masalah tempat meletak kereta berlaku di semua hospital utama di negara ini dan ia bukan suatu yang luar biasa

Beliau berkata, sekiranya semua pihak mempunyai kesedaran yang tinggi dan bertimbang rasa kesesakan disebabkan kekurangan tempat meletak kereta dapat di­elakkan

"Masalah tempat meletak kereta terhad ini berlaku kerana sikap pe­ngunjung yang lebih suka meletakkan kenderaan mereka dalam kawasan hospital walaupun mereka tahu tempat letak kereta yang disediakan tidak mencukupi.

"Selain itu, pelawat juga suka meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya dan boleh menghalang laluan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Rosnazli berkata, ruang yang lebih luas untuk meletakkan kende­raan sebenarnya telah disediakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

"Kita sebenarnya mempunyai banyak ruangan tempat letak kereta di kawasan sekitar stadium yang boleh digunakan untuk pelawat-pelawat memandangkan ia terletak berhampiran dengan hospital.

"Orang ramai yang menggunakan ruangan tempat meletak kereta itu hanya perlu berjalan dengan jarak yang dekat untuk melawat saudara mara mahupun mendapatkan rawatan di HRPZ II," katanya.

Tambah beliau, MPKB-BRI juga telah berusaha melaksanakan tempat letak kenderaan bermeter di kawasan hospital bagi mengelak berlaku kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu melawat.

"Dengan adanya tempat letak kereta bermeter, kenderaan yang diletakkan di kawasan tersebut akan lebih tersusun dan tidak akan menghalang lalu lintas.

"Selain itu, kita juga telah me­ngenakan caj minimum sebanyak 40 sen bagi setengah jam pertama supaya pengguna dapat merancang tempoh meletakkan kenderaan mereka dan tidak menggunakan untuk kepentingan diri sahaja," katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak hospital juga telah mewujudkan sejumlah lebih 200 ruang tempat letak kereta untuk pegawai perubatan serta kakitangan lain di bangunan baharu.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 28 April 2014 | Terbitan 29 April 2014

Malaysia atasi Singapura dari segi kekuatan tentera, dakwa laporan kajian


Anggota tentera sentiasa bersiap sedia menjaga keamanan negara. Malaysia menduduki tempat ke-38 daripada 106 negara dari segi kekuatan tentera menurut laporan yang diterbitkan oleh Global Firepower (GFP).
PETALING JAYA: Malaysia menduduki tempat ke-38 daripada 106 negara dari segi kekuatan tentera menurut laporan yang diterbitkan oleh Global Firepower (GFP).

Kedudukan Malaysia meletakkannya lima tempat di hadapan dari negara jiran Singapura yang berada pada kedudukan ke-44.

Menurut kaji selidik itu, Malaysia juga mengatasi Norway (39), Ethiopia (40) dan Afrika Selatan (41). Di Asean, selain Singapura, Malaysia juga mengalahkan Kemboja (82) dan Laos (102), tetapi tewas kepada Vietnam, Thailand dan Filipina, yang masing-masing berada pada kedudukan ke-23, 24 dan 37.

Kajian GFP 2014 menyimpulkan bahawa lima negara teratas dari segi kekuatan tentera adalah Amerika Syarikat, Rusia, China, India dan United Kingdom.

GFP menjelaskan bahawa terdapat lebih 50 faktor, melangkaui teknologi dan senjata negara, telah dipertimbangkan dalam menentukan kedudukan yang muktamad.

Antara faktor itu adalah tenaga manusia yang ada dan tenaga manusia yang berupaya dalam perkhidmatan, serta pengeluaran minyak, penggunaan minyak dan simpanan minyak negara, yang dikira dalam beberapa tong sehari.

Sumber: mStar Online | 29 April 2014

Ahad, 27 April 2014

Obama lawat Masjid Negara

Barack Obama (dua, kiri) mendengar penerangan daripada Pegawai Perhubungan Awam Masjid Negara, Abdul Rasyid Mohd Isa (kiri) ketika melawat Masjid Negara di Kuala Lumpur pada Ahad, sempena lawatan ke Malaysia selama tiga hari bermula Sabtu. Turut sama Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad (dua, kanan). Foto: Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memberi penghormatan di Makam Pahlawan, tanah perkuburan beberapa ahli politik Malaysia termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein dan pemimpin lain di kawasan Masjid Negara pada Ahad.
Pemimpin Amerika Syarikat itu tiba pada pukul 9.40 pagi dan disambut oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.
Berpakaian sut gelap dan tali leher biru, Obama juga mengambil sedikit masa untuk melawat ruang solat utama Masjid Negara.
Turut hadir adalah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan wakil khas Amerika Syarikat ke Pertubuhan Persidangan Islam, Rashad Hussain.
Beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya sebelum merasmikan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya.
Presiden Amerika Syarikat juga akan mengadakan sesi pertemuan dengan pemimpin-pemimpin muda dari Asia Tenggara.
Lawatan ke masjid yang dibina pada 1922 di atas tapak gereja itu begitu dialu-alukan, dengan ulama Islam di sini berkata, ia akan terus menekankan komitmen presiden untuk mendekati dunia Islam.
Reka bentuk moden Masjid Negara yang unik merangkumi kontemporari kaligrafi seni dan hiasan tradisional Islam.
Malaysia merupakan lawatan ketiga Obama ke empat negara di Asia, dan beliau akan mengakhiri lawatan itu ke Filipina pada Isnin.
Lawatan Obama ke Malaysia adalah yang pertama bagi Presiden Amerika Syarikat sejak Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.
Sumber: mStar Online | 27 April 2014

Sabtu, 26 April 2014

Dua premis karaoke di pusat bandar raya Kota Bharu diserbu

Salah seorang anggota polis memeriksa pelanggan yang mengunjungi pusat karaoke dalam serbuan, pagi semalam.
KOTA BHARU: Walaupun sudah beberapa kali diserbu dan pernah didakwa di mahkamah, dua pemilik pusat karaoke haram di sini tetap meneruskan operasi perniagaan masing-masing bagi meraih keuntungan mudah.

Bagi mengelak kegiatan dikesan, mereka kerap menukar pengurusan perniagaan untuk membolehkan aktiviti itu berlanjutan dengan sasarannya adalah pelanggan tetap sekitar Kelantan.

Pegawai Turus Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, Asisten Superintendan Nik Rosdi Nik Yahya berkata, dalam operasi berakhir jam 1 pagi semalam, pihaknya menyerbu dua premis di Jalan Zainal Abidin dan Jalan Pos Office Lama, di sini.

Operasi dijalankan secara bersepadu membabitkan dua pegawai dan empat anggota D7 termasuk anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Katanya, ketika serbuan dilakukan, premis mempunyai pelanggan dan pasukan bertindak merampas set karaoke bersama pembesar suara dan mikrofon selain perkakas pusat termasuk kerusi serta beberapa minuman keras, semuanya dianggarkan bernilai RM40,000.

“Siasatan turut mendapati premis pertama di Jalan Zainal Abidin sudah hampir lapan kali diserbu dan pernah dihadapkan ke mahkamah, tetapi tetap ingkar dan masih meneruskan operasi.

Begitu juga dengan premis kedua yang lebih dari tiga ke empat kali diserbu hingga kini beroperasi dan mereka bertindak menukar pengurusan setiap kali diambil tindakan,” katanya.

Pusat karaoke itu dikatakan menjadi pusat hiburan untuk pelanggan tetapnya saja dan berselindung di sebalik pintu kaca yang sudah digelapkan.

Nik Rosdi berkata, pihaknya menahan pengurus kedua-dua pengurus pusat berkenaan masing-masing berusia 28 dan 41 tahun bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah seksyen 6 Enakmen Hiburan Negeri Kelantan kerana menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 April 2014

Lihat kain bertimbun beri idea buka syarikat lipat kain

KUALA LUMPUR: Melihat kain bertimbun yang tidak sempat dilipat kerana sibuk bekerja, seorang jurujual kini menjadi usahawan dengan menubuhkan sebuah syarikat Guru Niaga Enterprise yang menawarkan perkhidmatan melipat kain.
Mohd Noorrizan Mohamed Shafiee, 31, berkata perkhidmatan yang dikenali sebagai Servis Lipat Kain (SLK) cuma mengenakan bayaran serendah RM2 sekilogram.
Katanya idea mewujudkan SLK timbul apabila beliau melihat isterinya Yushana Yusoff, 31, sering pulang lewat dan tidak sempat melipat kain baju. Beliau yakin situasi ini turut dialami orang lain.
"Malah pada awalnya, kami pula yang perlu menjawab pertanyaan daripada orang ramai yang bertanyakan sama ada servis ini serius. Mungkin mereka juga sukar percaya lipat kain boleh jadi peluang berniaga," katanya.
Beliau berkata syarikatnya menitikberatkan profesionalisme dalam kalangan pekerja dan ejen-ejennya seperti mereka diwajibkan berpakaian kemas iaitu berkemeja semasa bertugas.
Selain itu, kain yang telah dilipat diikat rapi bagi memastikan kekemasannya. "Selain berniaga, kami mahu membantu orang. Pernah kami menerima tempahan 49 kilogram kain daripada seorang pelanggan. Pernah juga peniaga pasar malam menghantar kain menggunakan Toyota Hilux kerana tidak sempat melipat kain, ditambah pula empat anaknya lelaki," katanya.
Perniagaan melipat kain itu beroperasi di rumahnya dan rumah-rumah ejen yang dilantik, dan setakat ini, purata kain yang diterima setiap hari mencecah sehingga 100 kilogram.
"Pada awalnya ada juga pelanggan yang berasa malu menggunakan perkhidmatan kami, selain ada yang meminta supaya kain itu diambil di tempat kerja atau kawasan tempat letak kereta, namun lama-kelamaan perasaan itu hilang dan kami kini pergi rumah ke rumah untuk mengambil dan menghantar kain baju pelanggan," katanya.
Anak jati Kuala Kangsar, Perak itu berkata beliau menggunakan pengalaman selama 10 tahun sebagai pengedar pakaian dan aksesori, selain sebagai jurujual alat pembelajaran untuk memulakan SLK.
"Kami tidak bermula tanpa persediaan, sebaliknya buat tinjauan dahulu dan hasilnya didapati mereka yang bekerja khususnya dalam sektor profesional dan berusia antara 26 ke 39 tahun, akan menggunakan servis ini," katanya.
Lulusan Teknologi Maklumat itu berkata sejak dimulakan tiga bulan lalu, sambutan amat menggalakkan dan sehingga kini SLK mempunyai 30 ejen sah di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Melaka.
Bapa kepada sepasang cahaya mata berusia lima dan tiga tahun itu kini merancang untuk melantik ejen di Kedah, Terengganu dan Kelantan menjelang Mei ini.
"Pemilihan ejen juga dilakukan dengan berhati-hati. Kami mahu ejen yang jika tidak dapat memenuhi permintaan, harus jujur dan serahkan tempahan itu kepada rakan lain yang terdekat," katanya yang menggunakan laman sosial sebagai medium pengiklanan.
Sementara itu ejen SLK bagi kawasan Bangi dan Kajang, Muhamad Zahir Zainuddin, 36, berkata kain yang diterima akan dilipat secepat mungkin atau paling lewat perlu dipastikan diterima kembali pelanggan dalam tempoh 48 jam.
"Jika saya tak menang tangan kerana tempahan terlalu banyak, saya akan menggaji beberapa suri rumah yang berminat mencari wang tambahan, kerana mereka hanya perlu bekerja dari rumah.
"Secara tak langsung, kami dan pelanggan 'membantu' golongan suri rumah yang berniat menolong suami...dan akhirnya semua pihak gembira, termasuk pelanggan yang dapat melihat almari tersusun rapi," katanya.
Sumber: mStar Online | 23 April 2014

Jumaat, 25 April 2014

Projek Lebuh Raya Pasir Puteh - Tok Bali terbengkalai

Jambatan merentangi sebatang sungaidi jalan Alor Pasir - Tok Bali belum siap sepenuhnya.
TOK BALI: Penduduk meminta kerajaan memandang serius projek jalan ‘sakit’ yang menghubungkan Alor Pasir di bandar Pasir Puteh dan Tok Bali yang belum siap sejak 12 tahun dilaksanakan.

Ketiadaan jalan sempurna menyebabkan pembangunan Tok Bali sebagai bandar baharu terbantut dan dalam masa sama menyebabkan syarikat pelabur tidak berani melaksanakan projek di kawasan tersebut.

Aktivis masyarakat, Fauzwi Ismail berkata, masalah jalan sedia ada dari Kampung Tebing Tinggi ke Tok Bali mengalami kerosakan serius akibat aktiviti pemunggahan bijih besi masih tiada penyelesaian.

Katanya, penduduk mengharapkan jalan baharu disiapkan segera kerana ia menjadi laluan penting serta menjimatkan masa penduduk Tok Bali ke bandar Pasir Puteh.

“Kita dapat lihat bagaimana tanah lot dan tanah komersil tidak dapat dibangunkan kerana faktor ketiadaan kemudahan jalan yang baik. Perkembangan ini amat mengecewakan.

“Sekiranya pembangunan jalan baharu konsisten, ia mungkin hanya mengambil masa setahun untuk disiapkan tapi malangnya sehingga kini ia tidak menjadi kenyataan," katanya.

Penduduk, Mohd Amar Abdul Razak, 59 berkata, kebelakangan ini kelihatan pekerja melaksanakan tugas di tapak projek jalan tersebut dan dia berharap pembinaannya tidak lagi terhenti.

“Kami sebagai penduduk tidak mengetahui punca sebenar projek jalan ini bermasalah. Apa yang kami tahu, ia sudah beberapa kali dihentikan. Jambatan yang dibina merentangi sungai buatan di Gong Kulim juga belum siap.

"Kami tunggu dari setahun ke setahun untuk melihat jalan ini siap dan boleh digunakan kerana dengan adanya jalan ini, ia bukan sahaja mempercepatkan pembangunan Tok Bali, malah memberi keselesaan kepada penduduk," katanya.

Menurutnya, Tok Bali memerlukan infrastruktur yang baik untuk berkembang maju sebagai bandar baharu atau kawasan industri perikanan.

Katanya, penduduk menyambut baik hasrat kerajaan membangunkan Tok Bali kerana ia memberi banyak manfaat, namun malangnya projek jalan baharu bermasalah menyebabkan perancangan pembangunan kawasan itu semakin kabur.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 25 April 2014

Khamis, 24 April 2014

Kerajaan tidak tolak hudud - Najib

ALOR SETAR: Kerajaan tidak pernah menolak hudud sebagai hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT tetapi banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum ia dapat dilaksanakan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diselesaikan dan diperhalusi sebelum hukum hudud ini dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum yang sebenar.

"Terdapat perbezaan yang cukup ketara antara menolak hukum hudud dengan tidak melaksanakannya kerana kekangan dan kesulitan yang pelbagai.

"Sebab itulah kita memerlukan ulama dalam kalangan mujtahid untuk memperhalusi dan melakukan ijtihad baharu dalam menentukan pelaksanaan hukum hudud supaya keadilan yang menjadi matlamat mampu ditegakkan," katanya ketika merasmikan majlis penutupan Ijtimak Pondok Malaysia 2014 di sini Khamis.

Katanya kerajaan menyokong niat baik pihak mana sekalipun untuk melaksanakan hukum hudud tetapi ia perlu mengambil kira hal-hal lain yang menuju ke arah Islam yang sejati.

Najib berkata sebelum melaksanakan hudud, pastikan masyarakat Islam bersedia untuk melaksanakannya baik dari segi pemahaman, penghayatan, mental mahupun pemikiran.

"Begitu juga dengan masyarakat bukan Islam, perlu diberi kefahaman yang betul dan menyeluruh tentang hukum-hakam Islam supaya tidak wujud pandangan yang salah terhadap ajaran Islam yang suci ini," katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan istiqomah memartabatkan syiar dan syariat Islam dan mengamalkan pendekatan wasatiyyah yang bercirikan keadilan, kecemerlangan dan keseimbangan.

"Kerajaan juga komited melaksanakan Maqasid Syariah dalam sistem pentadbiran negara (menjaga dan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta).

"Sebagai ajaran agama samawi, syariat dan akidah bergandingan menjadi teras dalam Islam. Dalam syariat, inilah intipati teras daripada Allah SWT untuk membimbing manusia dalam mengharungi kehidupan bersosial, berpolitik dan menjalankan misi khalifah di atas muka bumi. Ini termasuklah hukum hudud yang kembali hangat diperbincangkan," katanya.

Sumber: Bernama | 24 April 2014

Perbankan Islam berkembang selepas dirintis Kelantan

Majlis penyerahan van jenazah kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad di pekarangan Masjid Tok Guru di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu.
KOTA BHARU: “Pada masa itu seramai 13 pengurus dan pegawai bank datang menemui saya setelah kerajaan negeri membuat keputusan memindahkan wang ke Bank Islam.

“Biar pun mereka merayu, namun saya tetap juga memindahkan wang kerajaan negeri ke akaun yang selaras dengan syariat.

“Seingat saya selepas itu perbankan Islam mulai berkembang di Malaysia. Ada bank pada peringkat awal hanya membuka kaunter perbankan Islam,” kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis penyerahan van jenazah kepada pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI,) kelmarin.

Van tersebut disumbang Bank Muamalat Malaysia Berhad bagi kegunaan masyarakat yang tinggal di sekitar Kota Bharu.

Ia diserah oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid kepada Yang Dipertua MPKB-BRI, Adnan Hussin.

Turut hadir pada program yang diadakan di pekarangan Masjid Tok Guru di Pulau Melaka, anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood, ahli-ahli Majlis dan pegawai MPKB-BRI serta pegawai Bank Muamalat.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, selepas usaha dirintis kerajaan Kelantan pada awal 1990-an, perbankan Islam berkembang pesat di negara ini.

“Kerajaan negeri mengambil langkah itu sebagai titik tolak kepada perubahan ke arah Islamik dalam pentadbiran kerajaan.

“Bermula dari situ orang ramai beransur-ansur menerima amalan Islam di dalam setiap aspek kehidupan mereka,” tambahnya.

Sumber: Harakah Daily | 24 April 2014

MH192: Kecekapan juruterbang dikagumi orang ramai

KUALA LUMPUR: Adik pembantu juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH192, Prasanna Kumar, melahirkan rasa bangga apabila abangnya menjadi 'hero' selepas berjaya melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Menerusi tweet yang dimuat dalam akaun twitter "Syabas abangku F.O Prakash Kumar kerana berjaya melakukan pendaratan bersama-sama kapten #MH192.

"Beliau juga berterima kasih dengan setiap pujian yang disampaikan orang ramai terhadap abangnya. "Amat berbesar hati melihat semua komen berkaitan abang saya F.O Prakash Kumar. Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua. #MH192," katanya.

Turut berkongsi perasaan bangga dengan kejayaan Prakash ialah adik perempuannya, Priya Kumar. "Amat bangga dengan abangku pegawai pertama #MH192. Syabas juga kepada semua kru selain kapten!," katanya dalam akaun Twitter 'Kapten Nor Adam Azmi Abdul Razak juruterbang pesawat MH192 dan pembantu juruterbang Prakash Kumar harus diberi pujian atas kecekapan mereka'.

Pesawat MH192 yang membawa 159 penumpang dan tujuh anak kapal itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 10.09 malam Isnin ke Bangalore, India.

Ia kemudian mengesan gear mendarat sebelah kanannya tidak berfungsi, menyebabkan ia berpatah balik untuk melakukan pendaratan kecemasan di KLIA pada 1.56 pagi Selasa.

Sumber: mStar Online | 23 April 2014

Lawatan Obama: Kawalan keselamatan di KL diperketat

Barack Obama.
KUALA LUMPUR: Bersedialah dengan kawalan keselamatan peringkat tertinggi menjelang ketibaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama di ibu negara pada Sabtu ini.

Menjadi tradisi apabila pemimpin tertinggi AS itu berada di luar negara, tahap keselamatan sama ada di jalan raya mahupun ruang udara sering dititik-beratkan.

Selain kehadiran polis, beberapa jalan utama di ibu negara akan ditutup dengan 'zon larangan terbang' dikuatkuasakan menjelang ketibaan Obama di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, petang Sabtu.

Setiap orang mengunci mulut mengenai setiap pergerakan Obama di sini. Seorang pegawai Kedutaan AS memberikan respons dengan berkata: 'Untuk memberitahu anda, saya perlu membunuh anda."

Perkhidmatan Rahsia AS telah berada di negara ini sejak beberapa bulan lalu, bagi 'melindungi' laluan, hotel dan lokasi yang akan ditujui Obama.

Pesawat kargo tentera AS telah mula menghantar peralatan logistik untuk lawatan Obama termasuk kenderaan sokongan dan trak sarat dengan kepingan kaca kalis peluru untuk melindungi cermin hotel yang menempatkan presiden itu.

Lawatan Obama ke Malaysia merupakan yang pertama dilakukan Presiden AS dalam tempoh 48 tahun lalu selepas kunjungan terakhir oleh Lyndon B. Jonhson pada 1966.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan langkah keselamatan di ruang utama akan diperketatkan.

Beliau berkata, jabatan itu sudah berada dalam keadaan sedia. "Saya tidak boleh beritahu anda lebih banyak mengenainya kerana ia akan melanggar etika," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh  berkata, polis sudah bersedia sepenuhnya dalam aspek keselamatan.

"Kami mempunyai pasukan yang mencukupi dan akan bekerjasama dengan agensi lain bagi memastikan segalanya berjalan lancar," katanya.

Presiden AS ke-44 itu akan dibawa menggunakan kereta berperisai, Cadillac One yang dilengkapi dengan semua ciri-ciri keselamatan.

Suasana sepanjang kunjungan Obama di Malaysia pernah dirasai di Tokyo, dimana kira-kira 16,000 anggota polis dikerahkan untuk mengawal keselamatan Obama yang berkunjung ke negara matahari terbit itu hampir dua dekad lalu.

Obama kini berada di Jepun dan akan berangkat ke Seoul sebelum memulakan lawatan ke Malaysia, Sabtu ini.

Media tempatan melaporkan, satu pertiga anggota polis ditugaskan semasa lawatan dua hari Obama ke Jepun yang bermula pada Rabu.
 
Sumber: mStar Online | 23 April 2014

Pasport Malaysia kesembilan terbaik di dunia

Pasport Malaysia tersenarai dalam kelompok 10 terbaik di dunia.
PETALING JAYA: Pasport Malaysia terus diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia di mana rakyatnya dibenarkan menggembara ke 163 negara tanpa menggunakan visa.

Sebuah ranking global yang dikenali sebagai Indeks Sekatan Visa Henley & Partners menyenaraikan Malaysia di tempat kesembilan terbaik, berkongsi kedudukan dengan Malta daripada 219 negara.


Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan tersebut sejak 2013.
Selain Malaysia, Singapura antara negara di Asia Tenggara yang turut tersenarai dalam kelompok 10 terbaik - kekal di tempat keenam dengan rakyatnya dibenarkan memasuki 167 negara tanpa menggunakan visa.

Negara-negara Asia lain termasuk Jepun dan Korea Selatan masing-masing menduduki tempat keempat dan ketujuh.


Sementara itu, negara Eropah seperti Finland, Sweden dan United Kingdom tersenarai di kedudukan pertama di mana setiap warganegaranya dibenarkan masuk ke 173 negara tanpa menggunakan visa.


Amerika Syarikat pula menduduki tempat kedua.
Negara yang berada di tempat tercorot adalah Pakistan dan Somalia (91), Iraq (92) dan Afghanistan (93).

Sumber: mStar Online | 23 April 2014

Insentif perkahwinan diteruskan

Abdul Fattah menyampaikan insentif Gerbang Az-Ziwaj kepada seorang penerima pada majlis penyampaian di Tanah Merah, semalam.
TANAH MERAH: Kerajaan negeri berhasrat menjadikan penetapan harga wang hantaran kahwin tidak melebihi RM1,000 sebagai budaya rakyat negeri ini menerusi pelaksanaan skim bantuan perkahwinan, Gerbang Az-Ziwaj.

Adun Bukit Panau, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, harapan tersebut selaras dengan hasrat kerajaan negeri supaya RM1,000 yang diberikan di bawah skim itu dijadikan wang hantaran apabila meluluskan insentif berkenaan pada 2011.

“Kita masih meneruskan pemberian RM1,000 kepada pengantin yang pertama kali berkahwin dan berharap bantuan ini digunakan sebaik mungkin termasuk sebagai wang hantaran.

“Hasrat kerajaan negeri untuk membudayakan wang hantaran tidak melebihi RM1,000 terutama dalam keadaan trend semasa apabila wang hantaran mencecah ribuan ringgit sehingga membebankan bakal pengantin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan skim Gerbang Az-Ziwaj kali kedua tahun ini kepada seramai 10 penerima di pekarangan Pejabat Dun Bukit Panau, semalam.

Insentif Gerbang Az-Ziwaj bagi membantu rakyat miskin berkahwin kali pertama ke arah mengurangkan gejala sosial seperti khalwat itu diluluskan kerajaan negeri pada pembentangan Bajet 2011.

Pada majlis sama, Abdul Fattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan turut menyampaikan pampasan Takaful Kifalah kepada seramai 58 penerima.

Menurut Abdul Fattah, seperti saranan bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menetapkan RM1,000 sudah cukup sebagai wang hantaran, beliau berharap budaya itu dapat dikembangkan.

“Sekarang ini, RM1,000 sebagai wang hantaran masih belum jadi satu budaya, namun kita berdoa supaya suatu hari nanti, masyarakat terutama remaja dan belia dapat menerima kaedah atau budaya ini,” katanya.

Mengulas pampasan Takaful Kifalah, Abdul Fattah memaklumkan, bayaran itu diharap dapat mengurangkan beban waris peserta skim yang meninggal dunia untuk meneruskan kehidupan.

“Kita masih teruskan pemberian RM1,500 kepada waris peserta skim sejak diperkenalkan pada 2007 hingga sekarang sebagai salah satu usaha kerajaan negeri untuk meraikan golongan warga emas.

“Selain meringankan beban, bantuan juga diharap dapat memberi sedikit kegembiraan kepada penerima atas kesedihan kerana kehilangan ahli keluarga,” katanya.

Skim perlindungan insurans diperkenalkan pada 2007 untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas itu melayakkan peserta yang meninggal dunia menerima pampasan sebanyak  RM1,500 termasuk RM500 pada hari kematian.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 23 April 2014

Program antarabangsa Kelantan - UMK di Mata Dunia

Sebahagian peserta Program Kelantan-UMK Di Mata Dunia ketika membuat lawatan ke Pasar Besar Siti Khadijah di Kota Bharu, baru-baru ini.
BACHOK: Layanan mesra penduduk dan kehebatan seni budaya warisan Melayu di negeri ini yang pernah menjadi tempat bersemayam ratu tersohor, Cik Siti Wan Kembang sememangnya menjadi tarikan banyak pihak.

Faktor itu membuatkan pelawat, termasuk dari luar negara datang ke Kelantan untuk menyelami sendiri gaya hidup tradisional penduduk tempatan yang belum dihakis arus pemodenan.

Justeru, tidak hairanlah inisiatif Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan negeri menganjurkan program ‘Kelantan - UMK Di Mata Dunia’ baru-baru ini yang dilihat berjaya mencapai matlamatnya.

Program bermula dari 22 Februari hingga 11 Mac itu merupakan edisi kedua susulan kejayaan daripada edisi pertama tahun lalu dan kali ini.

Kali ini, sekali lagi berjaya mengundang kehadiran pelajar asing dari Oita Prefectural College of Arts and Culture (OPCAC), Jepun.

Menurut Pengarah Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah UMK, Prof. Dr. Farok Zakaria, pihaknya berbesar hati apabila OPCAC masih berminat menghantar pelajar mereka menyertai lawatan sambil belajar ke negeri ini.

Jelasnya, selain interaksi lebih dekat antara pelajar UMK dengan OPCAC, program berkonsep perkongsian budaya itu juga memberi peluang kepada masyarakat setempat mengenali dengan lebih dekat adat resam orang Jepun.


Peserta Program Kelantan - UMK di Mata Dunia ketika melawat rumah seorang pembuat wau di Kota Bharu.
Pada program sama tahun lalu, kita meluangkan masa bersama penduduk yang tinggal di kawasan lembangan pulau di sekitar Sungai Kelantan iaitu Pulau Teluk Renjuna dan Pulau Pantai Suri, Tumpat.

“Kali ini pelajar Jepun diberi kesempatan pula tinggal bersama keluarga angkat di rumah inap desa, Min House Camp di Kubang Kerian dan Kampung Kubang Telaga di Bachok yang berlatar belakangkan sawah padi," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Farok berkata, dalam program tersebut, lima pelajar OPCAC telah menyertai pelbagai aktiviti seperti mempelajari bahasa Melayu, tarian dan muzik tradisional, selain menyelami kehidupan masyarakat kampung.


Katanya, para peserta turut berpeluang mengikuti lawatan ke Pasar Besar Siti Khadijah yang merupakan ikon bandar Kota Bharu, mengunjungi kilang perusahaan batik dan songket terkenal serta menikmati pemandangan kelip-kelip dan mempelajari industri ternakan lebah kelulut.

Sementara itu, salah seorang peserta, Shiori Nakasu, 19, berkata, dia tidak mengetahui sepatah pun perkataan bahasa Melayu, namun perkara itu ternyata bukan masalah untuknya berinteraksi kerana keramahan dan layanan mesra penduduk setempat.

“Dalam masa singkat, saya sudah dapat menghafal beberapa perkataan Melayu termasuk nombor satu sehingga 10 dengan bantuan rakan-rakan dari UMK.

“Dalam masa sama, saya juga berkongsi dengan mereka petua untuk memahami dan mengingati perkataan Jepun dengan mudah," katanya.

Menurut Shiori, Kelantan dan Jepun mempunyai beberapa persamaan termasuk suasana sawah menghijau. “Saya sudah biasa dengan kawasan sawah padi dan kehijauan yang dilihat di sini sama seperti di kampung datuk saya. Cuma saya lihat orang Kelantan mempunyai cara berbeza dalam aspek menjaga haiwan peliharaan.

Di Jepun, kami mengurung ternakan dalam kandang, di sini orang kampung membiarkan haiwan mereka berkeliaran. Mungkin ini cara orang Malaysia dan kebaikan yang saya nampak, haiwan berkenaan boleh bergerak bebas tanpa kongkongan," katanya.

Seorang lagi peserta, Masako Ohara pula sangat istimewa kerana menjadi pelajar paling 'veteran' yang menyertai program tersebut.Masako, 69, merupakan pelajar separuh masa di OPCAC.

Dia yang aktif dalam kerja kemasyarakatan adalah seorang pakar pemakanan sebelum bersara berkata, dia sudah acap kali melancong ke negara-negara Asia Tenggara, namun belum pernah menjejakkan kaki ke Malaysia.

“Saya sudah pernah melawat Thailand, Singapura dan Indonesia, namun ini kali pertama saya datang ke Malaysia, khususnya Kelantan.

“Barang-barang di sini seperti pakaian sangat murah dan saya teruja membeli cenderamata untuk dibawa pulang.

“Bagaimanapun, saya berasa sedikit sedih kerana bila sampai di Jepun nanti, saya tidak dapat mengulangi keghairahan sama semasa membeli-belah di Kelantan," katanya.

Sementara itu, pensyarah Bahasa Jepun UMK, Toshiharu Shinohara berkata, pelajar OPCAC yang menyertai program itu berpuas hati dengan layanan yang diberikan dan menyimpan hasrat untuk kembali ke Kelantan.

“Mereka juga tidak ketinggalan berkongsi kebudayaan Jepun apabila mengajar anak-anak kampung cara melipat ‘origami’ iaitu kesenian tangan paling popular di negara kami," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 23 April 2014 | Terbitan 24 April 2014

Rabu, 23 April 2014

Kerajaan Pusat sedia ambil alih pengurusan sisa pepejal di seluruh Kelantan

Makhtar Mustapha hadir pada Majlis Pelancaran Program Rakan Alam Sekitar Peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT) sempena sambutan Hari Bumi 2014 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa, semalam. Turut hadir Muhibbah Selamat (dua, kiri) dan Prof. Madya Abdul Aziz Ab. Latif (kiri).
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan bersedia untuk mengambil alih pengurusan sisa pepejal di negeri ini yang kini diurus Kerajaan Pas Kelantan bagi meningkatkan kecekapan operasi agar menjadi lebih sistematik.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak telah diadakan namun sehingga kini masih belum mencapai keputusan rasmi.

"Kerajaan Persekutuan sentiasa terbuka dan mahu membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat Kelantan termasuk perihal berkaitan pengurusan sisa pepejal.

"Namun keputusan pengambilalihan pengurusan tersebut bergantung kepada perbincangan antara kedua-dua pihak," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Program Rakan Alam Sekitar Peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT) sempena sambutan Hari Bumi 2014 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan, Muhibbah Selamat dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Abdul Aziz Ab. Latif.

Makhtar memberitahu, Kerajaan Persekutuan menyalur peruntukan kira-kira RM21 juta setahun kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Tambah beliau, walaupun peruntukan terbabit diberikan kepada PBT namun pembelian peralatan diurus oleh kerajaan Persekutuan.

"Peruntukan itu bagaimanapun berbeza-beza bagi setiap daerah kerana bergantung kepada keperluan dan keluasan kawasan.

"Secara umum, bantuan asas telah diberikan kepada PBT untuk mencantik dan menghias landskap di Kelantan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Makhtar memberitahu, JAS Kelantan telah menubuhkan Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) di setiap kawasan Parlimen di negeri ini yang terdiri daripada komuniti setempat.

Kata beliau, kira-kira 15 orang Jawatankuasa Kemajuan dan Kese-lamatan Kampung (JKKK), komuniti keagamaan dan belia di setiap parlimen terlibat.
 
"Mereka ini akan memain peranan untuk menjadi ‘mata dan telinga’ kepada JAS untuk melapor kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang.

"Sehubungan itu, diharap lebih ramai penduduk setempat akan menjadi Rakan Alam Sekitar untuk membantu JAS membanteras kegiatan-kegiatan yang merosak dan mencemar alam sekitar," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 22 April 2014 | Terbitan 23 April 2014

Anjing liar ganggu penduduk sekitar Taman Desa Kemumin

Sekumpulan anjing liar yang sering berkeliaran di sekitar Taman Desa Kemumin sejak dua bulan lalu telah mengganggu kehidupan penduduk di kawasan tersebut.
KOTA BHARU: Kehadiran sekumpulan anjing liar yang berkeliaran di sekitar Taman Desa Kemumin di sini sejak dua bulan lalu mengganggu kehidupan seharian penduduk.

Selain bimbang diserang dan dicederakan, penduduk mendakwa haiwan berkenaan sering kali menyelongkar tong sampah menyebabkan sampah-sarap bertaburan.

Sehubungan itu, mereka menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Seorang penduduk, Othman Yusoff, 58, berkata, apa yang lebih membimbangkan penduduk adalah anjing-anjing tersebut berada dalam kumpulan yang besar iaitu kira-kira 50 ekor.

"Kumpulan anjing berkenaan tetap kembali mencari makanan di sekitar perumahan kami walaupun sudah beberapa kali dihalau.

"Pada waktu malam, mereka akan mula datang dan seolah-olah menjadikan kawasan perumahan ini sebagai habitat mereka," katanya ketika ditemui hari ini.

Seorang lagi penduduk, Siti Norwani Othman, 30, berkata, dia bimbang anjing-anjing tersebut mengancam keselamatan diri dan keluarga terutama anak-anaknya yang masih kecil.

"Anak sulung saya pernah mengalami pengalaman yang menakutkan apabila dikejar sekumpulan anjing liar baru-baru ini.

"Walaupun berjaya melarikan diri, dia masih lagi trauma sehingga takut lagi untuk keluar rumah bersendirian," katanya. Siti Norwani berharap masalah tersebut dapat diatasi pihak berkuasa secepat mungkin.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 22 April 2014 | Terbitan 23 April 2014

Penyakit tibi di Kelantan menurun

Ahmad Jazlan Yaakob melakukan cop tangan sebagai gimik perasmian sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat negeri Kelantan di Kampung Laklok, Machang, semalam. Turut kelihatan Ahmad Razin Ahmad Mahir (belakang).
MACHANG: Kes penyakit tibi di Kelantan mencatatkan penurunan sebanyak 34 kes pada tahun ini berbanding pada 2012.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, pada 2012 sebanyak 1,436 kes dicatatkan dan jumlah tersebut menurun kepada 1,402 tahun ini.

Beliau berkata, daripada jumlah kedua-dua tahun tersebut, sebanyak 94 kes melibatkan kematian dicatatkan.

"Daerah Kota Bharu mencatat­kan peningkatan kes tibi paling tinggi iaitu 432 kes, Pasir Mas (199), Tumpat (172) manakala Machang sebanyak 76 kes.

"Tibi merupakan penyakit berjangkit yang wajar diberi perhatian serius. Tibi boleh dirawat hingga sembuh tetapi memerlukan jangka masa lama," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat negeri Kelantan di Kampung Laklok, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Wan Mansor Hamzah dan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.

Tambah Ahmad Razin, bagi memastikan penyakit tibi dapat dikawal, orang ramai perlu menjalankan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

"Tibi boleh dicegah melalui pengesanan dan melalui jadual rawa­tan yang ditetapkan iaitu kaedah pengambilan ubatan selama enam bulan. Justeru, kita berharap agar orang ramai dapat membuat pengesanan awal penyakit ini," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 19 April 2014 | Terbitan 20 April 2014

IKBAR lindungi rakyat tidak merokok

KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan akan melaksanakan satu gerak kerja dikenali sebagai Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR) bagi melindungi tiga perempat rakyat di negeri ini yang tidak merokok.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob (gambar) berkata, menerusi IKBAR, setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah mewujudkan beberapa kawasan bebas asap rokok di kawasan pentadbiran masing-masing.

'Inisiatif ini pada awalnya dilaksanakan di peringkat Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

'Bagaimanapun selepas melihat perkembangannya, kita optimis untuk memperluaskan IKBAR ke seluruh ne-geri dengan penglibatan semua PBT,' katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darulnaim di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood serta Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir.

Menurut Ahmad, sebagai permulaan, IKBAR dilaksanakan di kawasan pentadbiran MPKB-BRI melibatkan dua zon iaitu Dataran Ilmu dan lokasi merangkumi Stesen Bas Kota Bharu hingga ke Tambatan Diraja.

'Kita berharap ketua-ketua jabatan agensi kerajaan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyokong usaha ini dengan memastikan kawasan masing-masing bebas daripada asap rokok.

'Selain itu, kita minta pemimpin setempat termasuk imam-imam serta ketua rumah ibadat lain menguar-uarkan perkara ini kepada orang ramai dari semasa ke semasa,' katanya.

Sementara itu, Abdul Fattah memberitahu, peringkat awal pelaksanaan IKBAR memberi tumpuan kepada usaha memberi kesedaran orang ramai tentang zon bebas asap rokok, bukan menghukum perokok.

Katanya, kawasan yang diwartakan sebagai zon bebas asap rokok boleh dikenal pasti dengan mudah oleh orang ramai menerusi pemasangan papan tanda khas.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 18 April 2014 | Terbitan 19 April 2014