Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 31 Oktober 2016

KPDNKK Kelantan sita kilang pembungkusan minyak masak di Pengkalan Kubor

TUMPAT: Sebuah kilang pembungkusan minyak masak di Pengkalan Kubor di sini, disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan selepas disyaki menjual barangan bersubsidi itu kepada pihak tertentu di negara jiran.

Pengarah KPDNKK Kelantan Datuk Ab Ghani Harun berkata pihaknya melakukan serbuan itu pada pukul 12.30 tengah hari tadi selepas menerima maklumat dan risikan mengenai kegiatan penjualan minyak masak ke negara jiran.

"Sebanyak 765 kilogram (kg) bungkusan minyak serta 20,650 kg yang disimpan di dalam tangki dengan anggaran nilai sebanyak RM52,000 dirampas.

Kami terpaksa menyita kilang tersebut dan sebuah mesin pembungkusan bernilai RM80,000 serta merampas minyak yang sudah siap dibungkus," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Ab Ghani berkata kegiatan itu pada masa yang sama menyebabkan berlakunya ketirisan dan kesukaran penduduk tempatan memperoleh minyak masak.

Beliau berkata kes berkenaan akan disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya KPDNKK akan terus melakukan pemantauan khususnya di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini bagi mengelak wujudnya kegiatan seperti itu yang menyebabkan kerugian kepada negara.

Sumber: Bernama | 31 Oktober 2016

Jangan hampiri kawasan pantai ketika musim tengkujuh

KUALA NERUS: Orang ramai yang berkunjung ke pantai Kampung Tanjung Gelam, di sini untuk melihat fenomena rumpai laut merah dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mengabaikan keselamatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supt Suffian Sulaiman berkata ia berikutan kedudukan penemuan rumpai tersebut yang berhampiran dengan laut, boleh mengundang pelbagai kemungkinan terutama dalam kalangan kanak-kanak.

"Jangan terlalu ghairah dengan mengunjungi lokasi seperti itu apatah lagi dengan keadaan ombak besar dan hujan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sejak Jumaat lepas, kawasan tersebut dikunjungi orang ramai untuk melihat hampir 300 meter pantai dilimpahi rumpai laut merah.

Sementara itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang membuat kajian ke atas rumpai itu hari ini mengesahkan ia tidak beracun namun menasihatkan orang ramai supaya tidak memegangnya terutama bagi mereka yang mempunyai masalah kulit.

Sumber: Bernama | 31 Oktober 2016

Penduduk dakwa bau busuk ketika lalui jalan tempat empat mayat ditemui

BACHOK: Penduduk Kampung Tanjung Hilir dan Kampung Padang Bual, Bekelam yang kerap menggunakan jalan menghubungkan kedua-dua kampung di tempat empat mayat lelaki ditemui petang semalam, mengakui pernah menghidu bau busuk ketika melalui jalan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) Mukim Tanjung Pauh, Azman Mohamad bagaimanapun berkata penduduk menyangka bau busuk itu adalah bangkai haiwan dan tidak mengesyaki empat mayat dihumban di dalam semak-samun di jalan berkenaan.

"Selepas kejadian itu, masing-masing memberitahu takut untuk melalui jalan tersebut yang dipenuhi semak-samun dan agak gelap pada waktu malam kerana hanya ada sebatang tiang lampu jalan di situ.

"Apatah lagi ia bukan membabitkan satu mayat tetapi empat mayat ditemui sekali gus di tempat yang sama," katanya ketika ditemui Bernama di sini, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 6.35 petang semalam, penduduk Kampung Hilir Tanjung, Bekelam di sini, digemparkan dengan penemuan empat mayat yang dicampak ke dalam semak berhampiran jalan kampung itu.

Kesemua mangsa dalam lingkungan umur 20 hingga 30 tahun itu dipercayai telah meninggal dunia sekurang-kurangnya tiga hari lalu.

Sementara itu, Imam Masjid Kampung Tualang Salak, Zulkifli Abdullah, 41, berkata beliau bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada seorang rakannya Hisyamuddin Wan Mohamad, 45, pada 6.30 petang yang merupakan saksi pertama kejadian.

"Sampai di tempat kejadian, saya melihat semua badan mangsa yang lengkap berpakaian sudah menggelembung, pecah perut dan muka tidak dapat dikenali.

"Hisyamuddin memberitahu, dia bersama tiga lagi rakannya menemui mayat tersebut kira-kira 6.15 petang selepas melakukan kerja menuai padi. Ketika dalam perjalanan pulang mereka menghidu bau busuk sebelum menemui empat mayat itu," katanya.

Sumber: Bernama | 31 Oktober 2016

Polis Kelantan tangkap tujuh suspek kes rompakan stesen minyak

KOTA BHARU: Polis Kelantan menangkap tujuh suspek termasuk seorang wanita dipercayai anggota 'Geng Minyak' yang sebelum ini aktif melakukan aktiviti merompak stesen minyak di sekitar Bachok dan Kota Bharu sejak September lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata kesemua suspek berusia antara 18 dan 50 tahun itu ditahan dalam tujuh serbuan berbeza di Bachok dan Kota Bharu sejak Selasa hingga Khamis lepas.

"Serbuan pertama yang dilakukan di Bachok menemui dua lelaki dalam keadaan tergesa-gesa ke sebuah kereta di Kampung Tengah, Perupok pada pukul 4.30 petang dan hasil soal siasat membawa kepada penahanan lima suspek lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Din Ahmad di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rahman berkata pihaknya turut merampas 34 barangan seperti sepucuk pistol jenis Walther P99 dan satu magazin Walther P99 berisi 10 butir peluru hidup 9mm, sepucuk pistol jenis Walther CP88, silinder magazin yang mempunyai lapan lubang, sepasang gari, enam bilah pedang serta pelbagai peralatan pecah rumah.

Beliau berkata siasatan awal mendapati jumlah kerugian yang dialami oleh beberapa stesen minyak berkenaan mencecah RM300,000 dan kesemua suspek direman sejak tarikh ditangkap sehingga Khamis ini di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan.

Katanya pihaknya akan memburu saki-baki anggota kumpulan berkenaan menerusi satu pasukan khas yang ditubuhkan sejak September lepas bagi menyiasat kes rompakan terhadap stesen minyak di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Ab Rahman berkata pihaknya menahan tiga lelaki dalam satu serbuan pada Jumaat lepas di sebuah rumah di Taman Uda di sini, kerana menjalankan perjudian dalam talian.

Ab Rahman berkata dalam serbuan kira-kira 11 malam itu pihaknya turut merampas satu set komputer, satu modem, tiga buah meja dan tiga buah kerusi yang digunakan suspek bagi menjalankan aktiviti haram itu.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek ditahan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka dan kesemua suspek direman selama lima hari bermula Jumaat lepas hingga esok.

Sumber: Bernama | 31 Oktober 2016

Confirmed: East Coast Rail Link project to be built, funded by China

BEIJING: The East Coast Rail Link (ECRL), a 620km high-impact project under the 11th Malaysia Plan, will be built and funded by China, Treasury secretary-general Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah confirmed today. 

Speaking to Malaysian media upon arrival here as part of Prime Minister Datuk Seri Najib Razak’s delegation, he said the engineering, procurement, construction and commissioning (EPC) contract and a financing framework were among the agreements that he would sign during the visit. 

The EPC contract will be awarded to China Communication Construction Company Ltd (CCCC) while the financing agreement will be with Export-Import Bank of China (EXIM). 

“The Chinese investment in Malaysia will open up smaller towns like Mentakab, Dungun, and going up to Tumpat,” Mohd Irwan said. 

He said when completed, the ECRL will make products from the East Coast more competitive due to cheaper transport costs, and raise the income of industries and businesses located along the rail link route. 

Mohd Irwan said the decision to seek financing from China was due to the favourable terms offered. “If you borrow in the international market you will not get the low interest rate that we will get. We haven’t finalised (the details) but we will get very competitive (rate) and the repayment period we expect to be 20 years,” he added. 

Mohd Irwan said the government hopes to finalise the ECRL by end of this year so that construction on the project can start in early 2017.

Source: New Straits Times Online | 31 October 2016

Ahad, 30 Oktober 2016

UMNO Kelantan tingkat usaha dekati pengundi - Annuar

KOTA BHARU: UMNO Kelantan akan memperhebat usaha mendekati pengundi terutama yang digolongkan sebagai 'pengundi bermastautin' supaya mereka bersama-sama kerajaan Barisan Nasional (BN) membawa kemajuan di negeri ini.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata pengundi bermastautin itu termasuk penduduk kampung, mahasiswa dan pegawai kerajaan yang tinggal di Kelantan.

"Dalam mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan hari ini, kita ada membincangkan apa yang perlu kita lakukan terutama dalam usaha mendekati pengundi terutama pengundi yang bermastautin di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kacau Bubur Mastura 100 Kawah di Dataran KADA Kok Lanas di sini.

Anggota Parlimen Ketereh itu berkata hubungan rapat dengan pengundi amat penting supaya mereka dapat bersama kerajaan BN dalam usaha memajukan Kelantan.

"Kita tahu kerajaan pusat mempunyai rancangan besar untuk Kelantan termasuk membina rangkaian kereta api baharu bagi Pantai Timur; menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa; menyambung pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur hingga ke Kelantan; dan membina dua jambatan baharu di sempadan antara Kelantan dan Thailand," katanya.

Beliau berkata rancangan memajukan negeri itu perlu mengikut arus perdana supaya ia memberi faedah terutama kepada golongan muda selain meningkatkan kemasukan pelaburan dan menyediakan peluang pekerjaan.

Sumber: Bernama | 29 Oktober 2016

Orang Asli HSK Balah dakwa sukar dapat bekalan makanan, jual hasil tanaman

GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli di sekitar Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, di sini mendakwa mereka sukar mendapatkan keperluan harian berikutan larangan orang luar memasuki HSK tanpa permit oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK).

Selain itu, mereka mendakwa sukar untuk menjual hasil tanaman seperti pisang dan getah selepas penguatkuasaan larangan berkenaan sejak dua minggu lepas.

Wakil penduduk, Mustafa Along, 29, berkata masalah bermula setelah JPNK membuat pemeriksaan terhadap setiap individu yang ingin masuk ke kawasan itu.

"Ia menyukarkan kami untuk mendapatkan bekalan makanan kerana sebelum ini, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu akan ada peruncit (peniaga) yang datang untuk menjual barangan keperluan harian," katanya kepada pemberita di sekatan pembalakan Orang Asli di Kampung Petei, Pos Bering di sini.

Mustafa berkata penduduk terpaksa mencatu bekalan makanan kerana tidak ramai daripada mereka yang mempunyai motosikal untuk keluar dari kawasan itu bagi membeli keperluan harian.

"Nak keluar ke bandar Gua Musang juga jauh, sekurang-kurangnya tiga jam menunggang motosikal. Itupun jika cuaca baik, jika hari hujan pula, kami perlu ambil masa lima jam.

Kami tak mempunyai kenderaan pacuan empat roda untuk keluar beli bekalan harian dan terpaksa bergantung kepada motosikal. Tak banyak yang boleh dibeli jika guna motosikal," katanya.

Justeru, Mustafa berharap JPNK memberi kelonggaran kepada peniaga yang ingin memasuki HSK Balah bagi memudahkan seramai 787 penduduk mendapat bekalan makanan.

Pada 3 Oktober lepas, Kerajaan Negeri Kelantan mengeluarkan arahan menangguhkan aktiviti pembalakan HSK Balah selepas lebih 200 penduduk Orang Asli membuat sekatan menghalang laluan keluar masuk lori balak di Kampung Petei sejak 26 Sept lepas.

Kumpulan berkenaan menggesa semua aktiviti pembalakan di HSK Balah berhampiran kawasan penempatan mereka dihentikan kerana mereka mendakwa aktiviti itu merosakkan alam sekitar dan kepupusan hutan hingga menjejaskan mata pencarian mereka.

Sebelum ini, Pengarah JPNK Zahari Ibrahim dilaporkan berkata penduduk Orang Asli yang tinggal di kawasan itu bebas untuk memasuki kawasan HSK Balah bagi menghormati mereka sebagai orang asal di situ tetapi individu lain wajib memohon permit untuk masuk ke HSK itu.

Sumber: Bernama | 30 Oktober 2016

Vida Beauty tangguh taja Kelantan musim depan

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan penaja utama pasukan Kelantan, Vida Beauty Sdn Bhd bersetuju menangguhkan sementara penajaan pada saingan Liga Malaysia musim depan.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata keputusan itu dicapai dalam pertemuan pihaknya dengan pemilik syarikat itu, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman baru-baru ini.

"Datuk Seri Vida (Hasmiza) yang mahu menangguhkan sementara penajaan tersebut dan bukan membatalkannya," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Annuar berkata sekiranya syarikat itu mahu menyambung kembali tajaannya pada Liga Malaysia 2018, segala perjanjian dalam kontrak penajaan tersebut masih terpakai.

"KAFA amat berterima kasih kepada syarikat tersebut di atas tajaan yang diberikan sepanjang tahun ini walaupun persatuan terpaksa mencari kaedah lain dalam menampung beberapa kos selepas ini," katanya.

Katanya KAFA sentiasa menjaga hubungan baik dengan pihak penaja dan cuba mengelak daripada berlakunya konflik kerana ia tidak menguntungkan.

Beliau berkata KAFA kini sedang berunding dengan beberapa penaja untuk menaja pasukan Kelantan pada musim akan datang.

Akhbar sebelum ini melaporkan Syarikat Vida Beauty berhasrat untuk tidak menaja pasukan Kelantan pada Liga Malaysia musim depan.

Mengikut perjanjian asal, syarikat itu masih mempunyai kontrak penajaan setahun lagi dengan pasukan berkenaan.

Sumber: Bernama | 29 Oktober 2016

Penduduk DUN Selising dapat faedah naik taraf Jalan Bukit Abal - Alor Hijau

PASIR PUTEH: Lebih 20,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising di sini, mendapat faedah daripada projek menaik taraf jalan kampung yang menghubungkan Bukit Abal ke Alor Hijau di sini.

Anggota DUN Selising, Zulkifli Ali berkata kerja menaik taraf jalan sepanjang 10 kilometer itu menerusi peruntukan kerajaan Persekutuan membabitkan kos RM5.7 juta, telah siap sepenuhnya pada Jun lepas.

Penduduk terbabit dari Kampung Bukit Abal, Kampung Atas Bukit Abal, Kampung Banggol, Kampung Berangan dan Kampung Alor Hijau, katanya kepada pemberita selepas melancarkan pasar tani di Kampung Alor Hijau di sini, hari ini.

Turut hadir Penyelaras Pasar Tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan, Mohd Yusuf Sulaiman.

Zulkifli berkata jalan itu kini menjadi nadi kepada penduduk terutamanya bagi mengeluarkan hasil pertanian untuk dipasarkan di pekan Selising dan bandar Pasir Puteh.

Sementara itu, Mohd Yusuf berkata sehingga kini, sebanyak 28 pasar tani diwujudkan di seluruh negeri ini bagi memberi peluang kepada 1,057 petani memasarkan sendiri hasil pertanian mereka.

Katanya pada tahun depan, Fama bercadang mewujudkan dua lagi pasar tani masing-masing di Kota Bharu dan Pasir Mas.

Sumber: Bernama | 28 Oktober 2016

JPJ Kelantan rampas 64 kenderaan klon sejak Januari hingga September 2016

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyita 64 pelbagai kenderaan klon sepanjang Januari hingga September tahun ini, dengan majoriti pemiliknya adalah penjawat awam.

Pengarah JPJ Kelantan Mahasan Mustapa berkata daripada jumlah kes tersebut, sebanyak 24 kes didakwa di mahkamah dan pemiliknya dikenakan denda berjumlah RM258,700 manakala 40 kes lagi dalam perbicaraan.

"Kenderaan yang ditahan majoritinya dimiliki penjawat awam. Mereka berminat terhadap kenderaan mewah kerana ditawarkan dengan harga yang jauh lebih murah terutama kenderaan pelbagai guna (MPV) termasuk Toyota Vellfire dan Toyota Estima.

"Penjual berkenaan menawarkan harga RM20,000 hingga RM30,000 untuk sebuah kereta berbanding harga sebenar mencecah RM200,000 dan keadaan itu mendorong ramai penjawat awam membelinya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lima Unit MPV Ford Ranger dan Motosikal Kawasaki di JPJ Kelantan di sini, hari ini.

Penyerahan kenderaan tersebut bagi memudahkan tugas rondaan anggota JPJ termasuk di pejabatnya di Kuala Balah, Jeli; Bukit Jawa di Pasir Puteh; Labok di Machang; Laloh di Kuala Krai; dan Panji, Kota Bharu.

Mahasan berkata penjawat awam yang ditahan kebanyakannya memberikan alasan tidak mengetahui memiliki kenderaan klon adalah satu kesalahan bagi mengelak dikenakan tindakan.

"Sepatutnya pelanggan perlu bertindak bijak sebelum membuat keputusan untuk membeli kenderaan di pasaran.

"Mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat dengan datang terus ke JPJ jika menghadapi situasi seperti itu. Ini kerana jika kereta ditahan, pemilik akan mengalami kerugian berlipat kali ganda," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati jika mahu membeli kereta mewah yang dijual secara langsung dengan harga murah.

Sumber: Bernama | 27 Oktober 2016

AKSEM tahan tiga warga tempatan, enam pati dalam cubaan bolos sempadan Kelantan-Thailand

KOTA BHARU: Tiga lelaki tempatan dan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan dalam satu operasi di Kampung Tersang, Rantau Panjang hari ini.

Komander AKSEM Kelantan Mohd Asri Yahya berkata tangkapan dilakukan sepasukan unit risik kira-kira 7 pagi tadi ketika kenderaan yang dinaiki sembilan individu itu dalam perjalanan dari Wakaf Che Yeh menghala ke Rantau Panjang, dalam usaha membolosi sempadan negara memasuki Thailand.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati enam PATI warga Myanmar termasuk seorang wanita, berumur antara 20 dan 40 tahun berada dalam kenderaan itu," katanya kepada pemberita di pejabat Aksem Kelantan di sini, hari ini.

Mohd Asri berkata kesemua PATI berkenaan dipercayai cuba dibawa ke pangkalan haram di Bukit Lata, Rantau Panjang sebelum membolosi sempadan Kelantan-Thailand untuk pulang ke Myanmar.

Beliau berkata kesemua PATI dan tiga warga tempatan itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen Kelantan untuk tindakan lanjut.

"Kita tidak menolak aktiviti tersebut didalangi sindiket yang lebih besar bagi mengaut keuntungan daripada bayaran yang dikenakan kepada PATI yang boleh mencecah sehingga RM500 seorang untuk laluan darat sahaja," katanya.

Katanya sindiket tersebut mengupah anggotanya atau tekong darat mengangkut PATI daripada beberapa lokasi sekitar Kota Bharu dengan upah sebanyak RM50 bagi seorang PATI sebelum diuruskan oleh tekong laut sebagai modus operandinya.

Mohd Asri berkata kes tersebut adalah kes keempat Aksem Kelantan melalui Op Cantas yang mula dilaksanakan sejak 20 Okt lepas.

Katanya melalui Op Cantas, Aksem juga berjaya merampas satu juta batang rokok seludup dengan nilai keseluruhan RM689,000 dalam operasinya pada 22 Okt lepas.

"Pada hari sama Aksem turut merampas beras seludup dan sebuah kereta bernilai RM5,200," katanya.

Sementara itu, katanya AKSEM akan mempergiat usaha mengekang penyeludupan minyak masak bersubsidi ke sempadan tersebut berikutan laporan wujudnya bekalan barangan terkawal itu di Thailand.

Sumber: Bernama | 27 Oktober 2016

Kerajaan Kelantan diminta wujudkan industri hiliran berkaitan pengeluaran emas

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan diminta mewujudkan industri hiliran berkaitan perlombongan emas di negeri itu bagi meningkatkan pendapatan dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk.

Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) berkata potensi itu boleh ditingkatkan memandangkan Kelantan kini menjadi antara negeri pengeluar emas terbesar di negara ini.

"Sepatutnya emas yang dikeluarkan oleh lombong emas di beberapa daerah (termasuk Tanah Merah dan Gua Musang) perlu diproses dahulu sebelum dijual ke negara luar.

"Saya dimaklumkan, kita hanya memproses sebanyak 30 peratus daripada pengeluaran emas dan selebihnya dijual ke negara luar dan ia tidak menguntungkan kerana Kelantan menjual emas mentah," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini, hari ini.

Terdahulu pada sesi soal jawab lisan, Md Alwi mengemukakan soalan tambahan berhubung jumlah emas yang dikeluarkan di Kelantan dan justifikasi aktiviti hiliran emas perlu dibuat di negeri itu untuk mengoptimumkan pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob ketika menjawab soalan asal dari Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) berhubung isu sama berkata Kelantan merekodkan peningkatan pengeluaran emas dari 2010 hingga 2015.

Jumlah pengeluaran emas bagi lima tahun tersebut adalah 3.68 juta gram iaitu 99,000 gram (pada 2010); 228,000 gram (2011); 334,000 gram (2012); 677,000 gram (2013); 929,000 gram (2014) dan 1.3 juta gram (2015), katanya.

Ahmad berkata daripada jumlah itu kerajaan negeri melalui Kelantan Gold Trade Sdn Bhd membeli sebanyak 30 peratus daripada jumlah pengeluaran itu untuk diproses di negeri ini.

Sumber: Bernama | 27 Oktober 2016

Kelantan terima layanan istimewa Kerajaan Persekutuan - Mustapa

KOTA BHARU: Kelantan terus menerima layanan istimewa daripada Kerajaan Persekutuan berbanding negeri lain menerusi pelbagai projek fizikal yang dilaksanakan di negeri ini.

Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Ayer Lanas) berkata tiada mana-mana perdana menteri seperti Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi begitu banyak peruntukan kepada Kelantan terutama di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

"Dalam 'rolling plan' kedua yang baru diluluskan, ada beberapa projek untuk Kelantan seperti Projek Kampung Warisan di Kampung Laut, Tumpat.

"Kita bukan nak dera atau anak tiri (Kelantan) tapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita kena lihat kepada peruntukan kewangan (semasa kerajaan Persekutuan)," katanya ketika membahaskan Bajet 2017 Kelantan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.

Pada 9 Okt lepas, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam satu sidang media dipetik sebagai berkata kerajaan Persekutuan membelanjakan RM2.705 bilion untuk membangunkan pelbagai infrastruktur di Kelantan sejak 2015.

Mustapa dilaporkan berkata RM1.1 bilion diperuntukkan bagi membaiki pelbagai infrastruktur seperti hospital, balai polis, jambatan dan kereta api yang rosak dalam banjir besar melanda negeri ini pada 2014.

Sementara baki RM1.605 bilion pula digunakan untuk lima projek di negeri ini seperti pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa (RM430 juta), projek tebatan banjir (RM550 juta), pembinaan bangunan gunasama di Bandar Baharu Tunjong (RM530 juta), Projek Warisan di Kampung Laut, Tumpat (RM55 juta) serta projek pembesaran jalan raya (RM55 juta).

Dalam pada itu, Mustapa turut membangkitkan hal berkaitan alam sekitar di Kelantan dengan meminta kerajaan negeri mengemukakan maklumat yang jelas berhubung aktiviti penerokaan tanah untuk mendapatkan hasil balak dan galian.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri untuk merangka dasar perhutanan yang lebih lestari agar pemuliharaan hutan dapat dilakukan dengan lebih mampan pada masa akan datang.

"Kita amalkan tegur-menegur dalam semangat musyawarah kerana isu-isu ini akan hangat dibicarakan dan relevan pada masa akan datang," katanya.

Sumber: Bernama | 26 Oktober 2016

Kerajaan negeri puji usaha MITI bawa masuk pelaburan ke Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan hari ini memuji usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membawa masuk pelaburan menerusi beberapa projek mega ke negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Datuk Anuar Tan Abdullah berkata projek mega tersebut merangkumi pembinaan kilang kedua Rohm-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd bernilai RM320 juta di Pengkalan Chepa.

"Selain itu, pembukaan syarikat Sawit Jaya Oil dengan pelaburan sebanyak RM226 juta, pembinaan kilang Ain Medicare di sini, dan kelulusan lesen bagi membina kilang simen di Gua Musang.

"Kita beri pujian kepada MITI untuk projek mega ini," katanya semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) yang ingin tahu usaha kerajaan negeri dalam menggalakkan ekonomi Kelantan pada 2017.

Anuar Tan (PAS-Kota Lama) berkata projek mega tersebut diharap akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika ditemui di luar dewan berkata, sebuah jawatankuasa bersama ditubuhkan dua tahun lepas untuk memudahkan permohonan mana-mana pihak yang ingin melabur di Kelantan.

Ia diwujudkan selepas arahan beliau kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan supaya menubuhkan jawatankuasa bersama untuk menggalakkan pelaburan, katanya.

"Saya sendiri pantau dan juga bertanggungjawab (dalam jawatankuasa bersama itu) jadi saya ucap terima kasih kepada kerajaan negeri yang mengiktiraf peranan kita," katanya.

Sumber: Bernama | 26 Oktober 2016

ADUN Guchil dakwa masih ada aktiviti pelacuran di Kota Bharu

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini 'panas' apabila seorang anggotanya mendakwa aktiviti pelacuran masih berlaku di bandar ini walaupun setelah lebih 20 tahun PAS memerintah Kelantan dengan dasar 'Membangun Bersama Islam'.

Mohd Roslan Puteh (PKR-Guchil) mendakwa aktiviti itu masih berlaku di Jalan Hamzah di sini selepas beliau ditawarkan khidmat seks apabila kenderaan yang dinaikinya didekati sekumpulan wanita.

Beliau berkata wanita berkenaan, yang menaiki sebuah kereta, berbuat demikian sejurus beliau membayar bil telefon bimbitnya menggunakan mesin layan diri pada 12.45 tengah malam tadi.

"Masih ada wanita tawar perkhidmatan tak sepatutnya walaupun dah lebih 20 tahun (PAS memerintah Kelantan). Ada empat wanita (yang tawar khidmat seks).

"Saya terserempak (dengan mereka) selepas bayar bil telefon," katanya ketika sesi perbahasan Bajet 2017 Kelantan pada persidangan dewan itu di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Hassan Mohamood (PAS-Tawang) bangun mencelah perbahasan itu dengan mengatakan dakwaan dikemukakan Mohd Roslan tidak mempunyai bukti kukuh dan mencurigakan.

Beliau berkata sudah tidak ada lagi sarang pelacuran di negeri ini selepas ia dibanteras agensi berkaitan.

Namun, Mohd Roslan tetap mempertahankan dakwaannya itu dengan berkata perkara itu sangat mencurigakan kerana seorang wanita selalunya berada di rumah dan tidak berpeleseran lebih daripada 12 tengah malam.

"Mereka (wanita) sepatutnya berada di rumah tapi kalau berpeleseran di bawah pokok di satu kawasan yang sejak 40 tahun dahulu (terkenal dengan aktiviti pelacuran), sebagai umat Islam bagi saya keadaan itu mencurigakan.

"Saya boleh jadi pemandu kepada Exco berkaitan untuk tinjau tempat tersebut," katanya.

Sumber: Bernama | 26 Oktober 2016

Kelantan pertahan Piala Presiden untuk musim kedua

KUALA TERENGGANU: Kelantan berjaya mempertahankan kejohanan bola sepak Piala Presiden untuk musim kedua berturut-turut selepas mengalahkan T-Team 2-0 pada final kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam ini.

Kemenangan itu memastikan Kelantan yang dikendalikan bekas pemainnya, Hashim Mustapha, menang dengan agregat 3-1 selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 pada final pertama di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Selasa lepas.

Pada aksi malam ini, Kelantan berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-40 menerusi jaringan Muhamad Raihan Mohd Huzaiz di dalam kotak penalti.

Sebaik sahaja aksi separuh kedua dimulakan, kedua-dua pasukan sering berbalas serangan tetapi Muhammad Danial Ashraf Abdullah mengesahkan kejuaraan Kelantan menerusi rembatan kencang pada minit ke-81.

Exco Sukan negeri, Datuk Rozi Mamat menyampaikan Piala Presiden serta wang tunai berjumlah RM150,000 kepada kapten Kelantan, Muhamad Faris Shah Mohd Rosli manakala T-Team meraih RM100,000 selaku naib juara.

Sumber: Bernama | 25 Oktober 2016

Polis selongkar rumah memproses dadah di Pasir Puteh

KOTA BHARU: Polis berjaya membongkar kegiatan memproses dadah jenis heroin selepas menahan tiga lelaki dan seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Gong Kulim, Pasir Puteh 18 Okt lepas. 

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Din Ahmad berkata dalam serbuan pada 3.30 petang itu, polis turut merampas satu guni bahan serbuk putih seberat 26 kilogram yang dipercayai bahan untuk diproses menjadi dadah jenis heroin serta beberapa alat memproses dadah

"Siasatan mendapati sekiranya bahan mentah itu berjaya diproses, ia mampu menghasilkan 26 kilogram heroin yang setiap kilogram mampu mencecah nilai sehingga RM35,000," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Din berkata ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek yang berusia antara 31 dan 57 tahun itu adalah positif dadah jenis Amphetamine. 

Beliau berkata ini adalah kali pertama polis Kelantan berjaya membongkar kegiatan memproses dadah di negeri ini dan pengedar mungkin cuba mengaut keuntungan apabila terdapat permintaan yang tinggi terhadap heroin

"Kemungkinan pihak yang memproses dadah ini belajar cara membuatnya daripada sumber internet dan kita tidak dapat pastikan mutu dadah yang diproses sama ada ia bermutu tinggi ataupun tidak, dan kumpulan ini boleh dikategorikan sebagai 'semi-pro' dalam kegiatan itu," katanya. 

Beliau berkata kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan . 

Sementara itu, Din berkata dalam tempoh seminggu bermula 17 Oktober lepas, operasi membanteras dadah di negeri ini berjaya manahan 457 individu yang disyaki terbabit dengan pelbagai kesalahan dadah termasuk membekal, memiliki, menagih dan mereka yang di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas

Katanya antara dadah yang berjaya dirampas ialah heroin, ganja, syabu, pil kuda, Erimin 5, ubat batuk, daun ketum yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM96,804 serta menyita harta bernilai RM166,000.

Sumber: Bernama | 25 Oktober 2016

Selasa, 25 Oktober 2016

MPKB perkemas perkhidmatan perbandaran

Zamri Ismail (duduk empat dari kiri) beramah mesra dengan mereka yang terlibat dengan dialog pada Majlis Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Kota Bharu 2016 (Penggantian), di Dewan Jubli Perak, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.
KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) akan memperkemaskan perkhidmatannya untuk kemudahan rakyat khususnya di daerah ini.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Zamri Ismail berkata, sebanyak enam perkhidmatan di bawah majlis terebut akan dinaiktaraf selari de­ngan perkembangan pesat di Kota Bharu.

Jelas beliau, pihaknya akan meningkatkan sistem perparitan, mengemaskini kelicinan aliran trafik dalam bandar, sistem percukaian, tingkatkan lokasi pelancong­an dan penggunaan tanah.

“Untuk permulaan kita menyediakan peruntukan kira-kira RM750,000 setahun bagi menaiktaraf sistem perparitan terutama di lokasi padat penduduk seperti kawasan bandar, Jalan Bayam, Berek 12 dan Kubang Kerian,” katanya di sini baru-baru ini.

Sementara itu katanya, MPKB-BRI berjaya memungut RM25 juta hasil kutipan cukai pintu melibatkan 70,000 premis.

Dalam pada itu, katanya, MPKB-BRI akan mengkaji semula beberapa aspek perundangan Islam untuk tujuan membudayakan cara hidup Islam di daerah ini.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 24 Oktober 2016 | Terbitan 25 Oktober 2016

Majlis Daerah Tumpat terima aduan melalui aplikasi WhatsApp

Rosnazli Amin
TUMPAT: Majlis Daerah Tumpat (MDT) menjadikan aplikasi WhatsApp sebagai medium untuk orang ramai mengemukakan sebarang aduan atau pertanyaan kepada pihak berkuasa tersebut.

Yang Dipertuanya, Rosnaz­li Amin berkata, pendekatan tersebut merupakan salah satu penambaikkan yang diperkenalkan pihaknya dalam usaha memperkasakan lagi sistem pengu­rusan dan pentadbiran MDT.

“Menerusi WhatsApp penduduk hanya perlu menyatakan nama penuh, nombor kad pe­ngenalan, alamat, lokasi, perkara serta gambar yang berkaitan de­ngan aduan.

“Penduduk tidak perlu bimbang kerana maklumat mereka akan kita rahsiakan dan perkara tersebut menjadi keutamaan MDT,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Rosnazli memberitahu, segala bentuk aduan dan pertanyaan boleh disalurkan terus ke nombor talian 019-9343224 dan pihak­nya akan memberi maklum balas secepat mungkin.

Katanya, jika maklumat yang disalurkan itu diluar bidang, MDT akan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak berkaitan.

“Aplikasi WhatsApps ini akan dipantau sepenuhnya oleh kakitangan yang telah dilantik bagi memastikan setiap aduan diberikan maklum balas segera.

“Kita pilih WhatsApps kerana teknologi ini digunakan oleh semua lapisan masyarakat sekaligus memudahkan proses penyam­paian maklumat,” ujarnya.

Rosnazli berkata, pihaknya juga akan mempopularkan lagi kemudahan ini bagi membolehkan rakyat menyalurkan aduan atau perta­nyaan secara terus kepada MDT.

Katanya, selain itu, laman sosial facebook turut digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada penduduk di jajahan Tumpat.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 17 Oktober 2016 | Terbitan 18 Oktober 2016

Isnin, 24 Oktober 2016

Kerajaan Kelantan didesak rombak pengurusan AKSB

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan didesak supaya merombak pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk mengatasi masalah bekalan air yang berlarutan di negeri itu.

Datuk Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) mencadangkan supaya tiga pegawai kanan AKSB ditukar kerana mereka disyaki menjadi punca kepada masalah dalaman syarikat itu.

"Maklumat mengenai ketiga-tiga pegawai itu diperoleh daripada 'orang dalam' syarikat itu," katanya ketika mengemukakan soalan tambahan berkaitan masalah bekalan air yang berlarutan di negeri itu, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri, Datuk Hanifa Ahmad (PAS-Pengkalan Pasir) ketika menjawab soalan berkenaan meminta Abdul Aziz mengemukakan nama tiga pegawai kanan berkenaan untuk siasatan lanjut.

"Saya sedia menyiasat dakwaan yang dikemukakan ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) Kuala Balah dan nama pegawai berkenaan boleh didedahkan di dalam dewan atau diserahkan kepada Speaker untuk tindakan lanjut," katanya.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob (PAS-Pasir Pekan), turut mencelah dengan meminta nama berkenaan diserahkan kepadanya untuk tindakan lanjut.

Hanifa mengakui Kelantan berhadapan masalah bekalan air, namun hampir keseluruhan masalah tersebut akan dapat diselesaikan seawal akhir 2019 atau awal 2020.

"Punca utama masalah dihadapi kerana kerajaan negeri kekurangan wang, berikutan Kerajaan Pusat hanya meluluskan RM604 juta pada 2011, berbanding permintaan kita sebanyak RM2 bilion," katanya.

Abdul Aziz ketika ditemui pemberita selepas persidangan ditangguhkan berkata tiga nama tersebut telah diserahkan kepada menteri besar.

Sidang dewan bersambung esok.

Sumber: Bernama | 24 Oktober 2016

DUN Kelantan sembah tahniah pemilihan Sultan Kelantan sebagai Agong

Sultan Muhammad V (gambar fail)
KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini meluluskan usul sembah tahniah dan junjung kasih atas pemilihan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 13 Disember ini.

Usul berkenaan yang diluluskan sebulat suara oleh anggota dewan, dicadangkan oleh Azami Md Nor (PAS-Kadok) pada persidangan yang berlangsung di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Beberapa anggota dewan termasuk Datuk Hassan Mohamood (PAS-Tawang), Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) dan Datuk Husam Musa (Amanah-Salor) mengambil bahagian berucap menyokong usul berkenaan.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 14 Okt lepas, telah memilih Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 13 Dis ini, bagi menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Md Alwi dalam ucapannya berkata rakyat Kelantan bersyukur dan berbangga atas pemilihan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat Kelantan bersatu hati untuk bersama-sama baginda terutamanya bagi mempertahankan Islam yang sedang menghadapi pelbagai cabaran.

Husam pula berkata pemilihan Sultan Kelantan itu, akan membawa lebih banyak pembangunan di Kelantan termasuk pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, Pelabuhan Tok Bali di Pasir puteh, dan projek tebatan banjir.

Sementara itu, pada sesi penggulungan, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata seluruh rakyat mempersembahkan setinggi tahniah dan junjung kasih atas pemilihan Sultan Kelantan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata seluruh rakyat Kelantan bersyukur dan berbangga dengan pemilihan tersebut dan dengan bertahtanya Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong maka besar harapan rakyat kepada baginda untuk menaungi negara ini dengan jayanya dan berpandukan syariat Allah SWT.

Beliau berharap segala hak negeri Kelantan dapat dinikmati oleh semua rakyat dengan adilnya.

"Semoga sistem federalisme yang kita amalkan antara kerajaan negeri dan persekutuan dapat berjalan dengan lancar tanpa diskriminasi dan dipenuhi hak masing-masing atas kesaksamaan dan keadilan," katanya.

Sumber
: Bernama | 24 Oktober 2016

Ahad, 23 Oktober 2016

Syarikat didakwa kendalikan sistem pembetungan tanpa lesen di Pantai Bisikan Bayu

KOTA BHARU: Sebuah syarikat hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengendalikan sistem pembetungan persendirian tanpa Lesen Kelas (Pekhidmatan) di sebuah resort di Tok Bali, Pasir Puteh.

Syarikat itu yang diwakili Pengurus Besarnya Hizam Shari Omar mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus.

Hotel Sentral Management Sdn Bhd didakwa melakukan kesalahan itu di satu alamat di Pantai Bisikan Bayu, Semerak, Pasir Puteh pada 24 Okt 2012. Ia didakwa mengikut Seksyen 20 (1)(b) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang membawa hukuman denda maksimum RM200,000 atau penjara tidak lebih dua bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Syarikat itu diwakili peguam Nik Noor Nazri Nik Soh manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Mohd Helmy Razelan.

Mahkamah menetapkan 28 Nov untuk sebutan semula kes.

Sumber: Bernama | 23 Oktober 2016

Sabtu, 22 Oktober 2016

RM12 juta baik pulih permukaan jalan beralun LPT2

KEMAMAN: Sebanyak RM12 juta diperuntuk bagi menyelenggara Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Kedua (LPT2) dengan tumpuan kepada membaiki permukaan jalan beralun di beberapa tempat.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Teknologi Hijau negeri Ir Rosli Othman berkata hasil perbincangan dengan pemegang konsesi lebuh raya itu, kerajaan negeri Terengganu dimaklumkan bahawa proses penyelenggaraan permukaan jalan itu mampu disiapkan sebelum akhir tahun ini.

"Setiap bulan, memang ada mesyuarat khas bersama PLUS... yang terbaharu pada dua minggu lepas, saya dimaklumkan proses penyelenggaraan permukaan jalan telah pun bermula pada Ogos lepas.

"LPT2 memang perlu dibaik pulih terutamanya laluan Kuala Terengganu ke Bukit Besi memandangkan laluan itu sudah siap sejak 10 tahun lepas.

"Kerja-kerja penyelenggaraan ini diharap mampu menyediakan perjalanan selesa dan lancar buat pengguna terutama menjelangnya Tahun Melawat Terengganu 2017," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar peringkat Terengganu di Mini Stadium Kerteh di sini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Muhibbah Selamat dan duta JAS Terengganu Muhamed Kareef Daniel Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mat Dan.

Mengulas lanjut, Ir Rosli berkata setakat ini, PLUS juga dapat menyelesaikan masalah haiwan ternakan yang berkeliaran di lebuh raya dengan membaiki kerosakan pagar di sepanjang LPT2. 

"Kita harap tiada lagi masalah vandalisme yang berlaku kerana komitmen PLUS ialah memastikan LPT2 selamat digunakan dan menepati kehendak semua pihak," katanya. 

Selain itu, beliau berkata pengguna yang enggan membayar tol juga mempunyai alternatif untuk menggunakan laluan pantai yang dinaik taraf kepada empat lorong dari Kemaman ke Kuala Terengganu. 

Sumber: Bernama | 22 Oktober 2016

ECRL bakal lonjak ekonomi Pantai Timur

BENTONG: Pelaksanaan projek rel baharu East Coast Rail Line (ECRL), yang menghubungkan Lembah Klang ke Pantai Timur sepanjang 600 kilometer, bakal melonjakkan lagi ekonomi di tiga negeri wilayah berkenaan termasuk bandar-bandar kluster sepanjang landasan itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Ting Lai berkata projek itu bakal menjadi melengkapkan kerancakan ekonomi di Pantai Timur ketika ini khususnya di Pahang.

"Pasa masa ini, kita mempunyai banyak aktiviti ekonomi yang giat membangun termasuk Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Kuantan dan projek pendalam Pelabuhan Kuantan untuk menjadikannya sebagai antara pelabuhan utama di negara ini tahun depan.

"Projek ECRL beri peluang kepada Pelabuhan Kuantan untuk berkembang lebih pesat apabila kontena dari Pantai Timur mudah dibawa ke Pelabuhan Klang, Selangor dan begitu juga sebaliknya.

"Ini bakal menjadikan ECRL antara nadi utama kepada lonjakan dan pertumbuhan ekonomi Pantai Timur pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Bentong sempena Deepavali.

Dalam pembentangan Bajet 2017 semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan projek itu secara berfasa dengan melibatkan laluan dari Pelabuhan Klang, ITT Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan berakhir di Tumpat.

Pembinaan ECRL berkenaan dijangka bermula pada tahun depan dan siap pada 2022 dengan anggaran kasar kos sebanyak RM55 bilion seperti yang diumumkan Najib.

Liow juga menyambut baik langkah kerajaan memperkenal Skim PERKESO kepada pemandu teksi individu yang berpendapatan sehingga RM3,000 sebulan dengan geran pelancaran RM60 juta.

"Ini jelas membuktikan keprihatinan kerajaan dan ia bakal memberi manfaat serta perlindungan kepada ramai pemandu teksi selama ini terdedah dengan risiko kemalangan jalan raya," katanya.

Beliau berkata galakan kerajaan kepada golongan B40 untuk menjadi pemandu 'ride-sharing' seperti pemandu UBER juga mampu melengkapkan lagi sistem pengangkutan di negara ini selain dapat meningkatkan pendapatan mereka.

Dalam pada itu, Liow berkata beliau akan mengiringi perdana menteri mengadakan lawatan kerja ke China bagi mengintai teknologi dan kepakaran yang boleh digunakan untuk pelaksanaan projek berkenaan.

"Kita harap China dapat berkongsi teknologi dengan kita dalam usaha untuk mengurang kos pembinaan. Kos sebenar yang terlibat serta maklumat yang lain hanya akan dapat diumumkan selepas lawatan itu," katanya.

Sementara itu, katanya kempen keselamatan jalan raya terutamanya sepanjang musim perayaan besar seperti Aidilfitri, Aidiladha, Tahun Baharu Cina dan Deepavali akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memberi kesedaran terhadap pengguna jalan raya.

"Setiap kali musim perayaan, kerajaan akan mengadakan pelbagai kempen untuk menyedar dan menyelamatkan nyawa kerana lebih 496,000 pengguna jalan raya terlibat dalam kemalangan setahun.

"Lebih 6,706 lagi terlibat dalam kemalangan maut dengan lebih 60 peratus daripadanya merupakan penunggang motosikal. Sehubungan itu, saya telah mengarahkan semua agensi yang berkenaan mengadakan kempen khusus untuk gologan ini termasuk menggalakkan mereka supaya sentiasa mengutamakan keselamatan," katanya.

Sumber: Bernama | 22 Oktober 2016