Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 21 Ogos 2013

Kelantan sasar kedatangan 5 juta pelancong tahun ini

Md. Anizam Abdul Rahman (kiri) dan Zainuddin Ibrahim (tengah) menanam sebahagian daripada 100 anak pokok beremban di Min House Camp, Kampung Pulau, Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU, 20 Ogos: Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran seramai lima juta pelancong tempatan dan antarabangsa ke Kelantan sepanjang tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Md. Anizam Abdul Rahman berkata, seramai 2.3 juta pelancong telah direkodkan masuk ke negeri itu bermula Januari sehingga Jun tahun ini.

"Sasaran lima juta pelancong hingga penghujung tahun ini boleh dicapai berdasarkan rekod tahun lalu yang menyaksikan sebanyak lima juta pelancong berkunjung ke negeri ini," katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis penanaman pokok bagi mewujudkan taman kelip-kelip di Min House Camp, Kampung Pulau, Kubang Kerian di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim. Pada majlis tersebut, sebanyak 100 batang anak pokok beremban dan pokok baru-baru ditanam di tepi pulau berkenaan bagi meningkatkan populasi kelip-kelip di kawasan itu.

Md. Anizam berkata, penanaman pokok beremban dan pokok baru-baru ini adalah salah satu inisiatif kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan mahupun luar negara untuk menikmati sendiri keindahan kelip-kelip.

"Pokok ini merupakan habitat semula jadi kelip-kelip dan kewujudan taman ini harus dimanfaatkan sebaik-baiknya kerana ia turut memberi nilai tambah kepada penduduk setempat," katanya. Katanya, kawasan itu harus dibangunkan sebagai produk pelancongan memandangkan ini adalah satu-satunya lokasi hinggapan kelip-kelip di negeri ini dan sebelum ini hanya diketahui kewujudannya di Selangor, Pahang dan Johor. 

Beliau berkata, setakat ini pelbagai usaha sedang dilakukan bagi mencapai sasaran serta meningkatkan kehadiran jumlah pelancong ke sini. "Selain taman kelip-kelip, Kolam Air Panas Rengas, Labok juga sedang dibaik pulih dengan kos peruntukan sebanyak RM100,000.

"Kerja-kerja pemulihan kawasan kolam air panas ini melibatkan penyediaan segala kelengkapan bagi memberi keselesaan kepada pelancong untuk berkunjung ke sana," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 21 Ogos 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan