Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 22 Ogos 2013

Lapangan Terbang Kota Bharu kendali 0.7 juta penumpang dari Jan – Jun 2013




Lapangan Terbang Kota Bharu kekal sebagai lapangan terbang tersibuk di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)
PADA suku kedua tahun 2013 ini, Lapangan Terbang Kota Bharu (LTKB) telah mengendalikan seramai 403,155 orang penumpang, iaitu peningkatan sebanyak 80,946 orang penumpang atau 25.12% berbanding pada sukuan yang sama pada tahun lepas. Ia merupakan rekod pengendalian penumpang tertinggi setakat ini berdasarkan sukuan.

Dalam masa yang sama, LTKB mengendalikan 709,019 orang penumpang pada separuh tahun pertama tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 105,160 orang penumpang atau 17.41% berbanding separuh tahun pertama pada tahun lepas. Bagi Lapangan Terbang Kuala Terengganu dan Lapangan Terbang Kuantan pula masing-masing mengendalikan seramai 312,691 dan 151,192 orang penumpang pada separuh tahun pertama tahun ini. Peningkatan ketara jumlah pengendalian penumpang  di LTKB bagi separuh tahun pertama tahun ini dipacu oleh beberapa faktor, antaranya:- 


  • Peningkatan permintaan oleh penumpang terutamanya bagi sektor Kuala Lumpur – Kota Bharu, Subang – Kota Bharu, dan Pulau Pinang – Kota Bharu. 
  • Peningkatan penawaran oleh syarikat-syarikat penerbangan terutamanya Firefly dan Malindo Air sebagai respons terhadap peningkatan permintaan bagi beberapa laluan penerbangan.
  • Kempen promosi tambang murah yang berjaya memikat lebih ramai penumpang menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara terutamanya oleh Firefly dan AirAsia. 
  • Kemasukan Malindo Air ke pasaran Kelantan mulai 3 Jun 2013 telah melonjakkan persaingan dan perang harga yang menguntungkan pengguna. Pengguna mendapat harga tiket penerbangan yang lebih rendah sekali gus menggalakkan mereka menggunakan perkhidmatan penerbangan.
  • Penerbangan tambahan yang ditawarkan pada musim perayaan (Tahun Baharu Cina), cuti sekolah, dan Pilihan Raya Umum Ke-13 pada awal Mei 2013.
Pada sukuan ketiga 2013, LTKB dijangka terus mengekalkan momentum pertumbuhannya dengan mengendalikan lebih 400,000 orang penumpang, manakala pada sukuan keempat 2013 akan berlaku sedikit penurunan berdasarkan aliran (trend) pada tahun-tahun sebelumnya dan dijangka akan mengendalikan kira-kira 350,000 orang penumpang. Secara keseluruhanya pada tahun ini, LTKB dijangka akan mengendalikan kira-kira 1.45 juta penumpang.

Setakat ini, LTKB masih kekal sebagai lapangan terbang tersibuk di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan masih menjadi pilihan utama para pelancong untuk ke selatan Thailand dan Pulau Perhentian. LTKB menawarkan perkhidmatan penerbangan terus ke atau dari Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang, dan Johor Bahru (gerbang selatan ke Singapura).

Nota: Statistik diperoleh daripada Malaysia Airports Holdings Berhad dan untuk maklumat lanjut tentang LTKB, sila layari laman sesawang www.kotabharuairport.blogspot.com.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan