MAKHTAR Mustapha (kiri) beramah mesra dengan pengusaha dan kaunselor yang menyertai Program Tunas Mekar di Jabatan Pembangunan Persekutuan, Kota Bharu, baru-baru ini. |
KOTA BHARU 2 Ogos: Pembukaan laluan kedua Jambatan Sultan Yahya Petra terpaksa ditangguhkan sehingga selepas Hari Raya Aidiladha kerana jentera menyambung konkrit yang digunakan dalam projek itu kini berada di luar negeri.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha menjelaskan, perkembangan tersebut mengakibatkan pembukaan laluan dari Kota Bharu ke Wakaf Bharu itu yang sebelum ini dijadual sebelum Hari Raya Aidilfitri ini tertangguh kira-kira dua bulan lagi.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, kelewatan tersebut tidak menyebabkan sebarang pertambahan kos kepada pembinaan jambatan itu yang pembukaan laluan Wakaf Bharu-Kota Bharu sebelum ini, telah berjaya mengatasi kesesakan di kawasan tersebut.
Pembinaan jambatan yang menelan belanja sebanyak RM188 juta itu sebelum ini dijadual siap sepenuhnya Julai ini. "Kelewatan ini tidak dapat dielakkan kerana jentera berkenaan berada di luar Kelantan dan difahamkan hanya terdapat tiga jentera terbabit yang beroperasi di negara ini," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Beliau ditemui selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada pengusaha dan kaunselor Projek Tunas Mekar Siri 4, 2013 di sini. Yang turut hadir Timbalan Pengarah Kampus Hal Ehwal Akademik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan, Prof. Madya Zulkarnain Yusoff.
Projek Tunas mekar diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan dilaksanakan secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri dengan UiTM dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan muda bumiputera.
Di Kelantan, seramai 34 peserta mengikuti projek tersebut membabitkan tiga kluster perniagaan iaitu sektor perkhidmatan, peruncitan dan pemborongan membabitkan peruntukan sebanyak RM300,000 setahun.
Dalam pada itu, Makhtar menyifatkan masalah yang berlaku di Jejambat Pasir Hor - Kubang Kerian yang cuba digembar-gemburkan oleh akhbar pembangkang Harakah, adalah tidak serius dan pihak kontraktor telah diarahkan supaya mengatasinya.
"Masalah dikatakan berlaku akibat mendapan pada kepala jambatan yang tidak serius dan pihak kontraktor telah diminta mengambil perhatian serius membaiki masalah tersebut," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur| Terbitan 3 Ogos 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan