![]()  | 
| Beginilah keadaan pusara P.Ramlee yang roboh akibat dihempap pokok pada Mac lalu. Gambar: Utusan Malaysia | 
PETALING JAYA, 27 Ogos: Pusara Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. 
Ramlee dan isterinya Puan Seri Saloma yang bakal dibaik-pulih dengan kos
 mencecah RM25,000 adalah haram hukumnya di sisi agama Islam. Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, Islam 
mengharamkan sesebuah pusara itu dihias secara berlebih-lebihan apatah 
lagi pengubahsuaian itu dilakukan di atas sebuah tanah wakaf.
“Kos RM25,000 itu sangat tinggi untuk menghias sesebuah pusara dan saya percaya ia pasti menggunakan batu marmar yang mahal. "Malah dalam Islam sendiri sudah jelas memberitahu haram jika pusara 
dihias secara berlebih-lebihan  di tanah wakaf melainkan ia adalah tanah
 persendirian,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
![]()  | 
| Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid | 
Pada 21 Ogos lalu sebuah akhbar melaporkan Perbadanan Kemajuan Filem 
Nasional (Finas) akan melakukan pengubahsuaian terhadap pusara P.Ramlee 
dan Saloma selepas ia roboh akibat dihempap pokok pada Mac lalu.
Ketua Pengarah agensi itu, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah dalam 
laporan berkenaan berkata, kerja-kerja pengubahsuaian tersebut mengambil
 sedikit masa memandangkan bahan binaan pusara berkenaan diimport dari 
luar negara yang turut mencecah RM25,000. Pusara berkenaan terletak di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang dekat sini. 
Dalam pada itu Mohd Tamyes berkata, setiap pusara di tanah wakaf 
hanya boleh dihias tidak melebihi setengah kaki selain dilarang sama 
sekali membina makam atau bangunan pusara berbentuk kekal kerana ia 
mungkin akan diguna semula pada masa akan datang jika tanah sudah penuh.
Tambah beliau, walaupun matlamat pihak yang mahu menghias sebuah 
pusara itu sebagai ingin mencantikkan tempat berkenaan tetapi biarlah 
hiasan pusara  dapat memberi manfaat  seperti menanam pokok-pokok renek 
yang akan mendoakan si mati  agar mengurangkan dosa-dosa kecil mereka 
semasa di dunia.
"Senang cerita, kewajipan manusia pada jenazah hanya empat iaitu 
memandikan, mengapankan, sembahyangkan dan mengebumikannya. Ini yang 
wajib dan menghias bukanlah dalam perkara wajib," tegasnya yang turut 
menyifatkan kos pembinaan itu adalah satu pembaziran.
Sementara itu, pendakwah dan pembimbing jemaah Haji,  Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar pula
 berkata pihak Finas perlu mendapatkan nasihat dan pandangan daripada 
pihak berkuasa agama Islam sebelum meneruskan perancangan membaik pulih 
pusara berkenaan.
![]()  | 
| Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar | 
"Memanglah P.Ramlee milik masyarakat dan Allahyarham disayangi ramai. "Tetapi untuk membaik pulih pusara dengan kos seperti itu, lebih baik
 mereka berbincang dahulu bagi mendapatkan nasihat yang sepatutnya oleh 
pihak berkuasa Agama Islam ataupun mufti-mufti,” katanya.
Tambah beliau, jika pembinaan pusara itu dibuat secara keterlaluan, 
ditakuti wujudnya unsur-unsur syirik dengan aktiviti pemujaan untuk 
generasi akan datang sehingga menjadi tempat penyebaran ajaran sesat. “Adalah lebih baik wang itu digunakan untuk membuka maahad tahfiz 
P.Ramlee kerana ia akan mendatangkan lebih manfaat kepada umat Islam dan
 juga si mati sendiri,” katanya.
Ditanya siapakah yang berdosa jika projek berkenaan diteruskan Mohd 
Hasnil berkata, pihak yang terlibat membinanya akan menanggung dosa itu 
dan bukannya si mati.
Sumber: MStar Online | Hiburan | 27 Ogos 2013 | 



Tiada ulasan:
Catat Ulasan