Bangunan Hotel & Pusat Konvensyen TH Terengganu (THHT) di Jalan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. |
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos: Tabung Haji (TH)
Hotel & Convention Centre Terengganu (THHT) yang terletak
berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini buat pertama
kalinya akan mengendalikan urusan kira-kira 1,200 jemaah haji dari
Pantai Timur September ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah memberitahu,
dijangkakan sebanyak enam penerbangan dijadual berlepas dari LTSM
bermula 17 September depan. "Segala urusan yang berkaitan seperti lapor diri dan sebagainya akan
dibuat di kompleks THHT," ujarnya kepada media baru-baru ini.
Menurut beliau, THHT Terengganu yang bertaraf tiga bintang itu yang
mula beroperasi bulan lalu dijangka dirasmikan sebelum pelepasan jemaah
haji yang pertama di kompleks terbabit. THHT yang dibangunkan dengan reka bentuk kontemporari bermotif Islam
itu menjadi salah satu aset bagi negeri yang dijadikan hab haji dan juga
pelancongan.
Ia turut direka khas bagi kegunaan pada musim haji dengan mempunyai
dewan ketibaan jemaah yang boleh menampung kira-kira 3,000 orang, tempat
mendaftar dan imigresen, tempat pemeriksaan bagasi serta dewan
berlepas.
Kewujudannya yang tersergam di atas tanah seluas 3.2 hektar itu dapat
memberi kemudahan kepada para jemaah berkumpul setiap kali tiba musim
haji khususnya dan memberi pilihan penyediaan hotel berkonsepkan
pematuhan syariah kepada umat Islam amnya.
Jemaah haji dari Pantai Timur tidak akan lagi terpaksa bersesak-sesak
di lapangan terbang bagi menyelesaikan pelbagai urusan termasuk
kesihatan dan keselamatan, dengan persekitaran lapangan terbang sesak
dipenuhi ahli keluarga para jemaah.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | Terbitan 13 Ogos 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan