Sebahagian daripada penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) didedahkan dengan pelbagai aktiviti supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih aktif. |
KOTA BHARU, 21 Ogos: Setiap insan sudah pasti
inginkan kehidupan yang dipenuhi kasih sayang daripada seorang isteri
atau suami dan anak-anak. Namun, tiada apa yang dapat menghalang sekiranya sudah ditakdirkan hidup sendirian tanpa mereka.
Justeru, rumah kebajikan orang tua seperti Rumah Seri Kenangan (RSK)
Taman Kemumin, Pengkalan Chepa adalah satu-satunya pilihan untuk
golongan tidak bernasib baik seperti ini mendapatkan pembelaan bagi
meneruskan kehidupan.
Rumah kebajikan orang tua yang dikendalikan Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) dengan fasiliti seluas 12 hektar ini merupakan
satu-satunya RSK yang beroperasi di Pantai Timur sejak tahun 1952 lagi. Institusi yang terletak kira-kira 11 kilometer dari bandar ini
berfungsi menempatkan warga tua yang berumur 60 tahun ke atas dari tiga
buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Mereka dihantar ke institusi ini berpandukan Kaedah-Kaedah Pengurusan
Rumah Orang-Orang Tua 1983, selain mempunyai penghuni yang dimasukkan
di bawah Akta Orang Papa 1977. Penguasa RSK Taman Kemumin, Wira Mahmood berkata, rumah
kebajikan tersebut merupakan sebuah institusi bertindak sebagai tempat
perlindungan kepada warga emas yang kurang bernasib baik.
Menurutnya, terdapat 129 penghuni terdiri daripada 68 lelaki dan 61
perempuan iaitu 88 penghuni berketurunan Melayu, 32 (Cina), lapan
(India) dan seorang Orang Asli. "Mereka akan dibantu oleh 70 kakitangan RSK yang bertugas 24 jam
mengikut syif bagi memantau penghuni di situ yang terdiri daripada
pegawai perubatan, jururawat masyarakat, atendan, jurupulih anggota,
jurupulih cara kerja, tukang masak dan lain-lain.
"Perlindungan yang diberikan oleh RSK ini bukan hanya meliputi
penjagaan serta rawatan, malah turut merangkumi aktiviti-aktiviti
kerohanian demi menjamin kesejahteraan hidup mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Wira berkata, pemantauan yang berterusan amat penting memandangkan
penghuni-penghuni di sini terdiri daripada warga emas yang mempunyai
tahap kesihatan berbeza dan memerlukan penjagaan rapi. "Mengurus penghuni-penghuni di sini amat mencabar kerana dalam
kalangan mereka ada yang uzur fizikal dan tidak kurang juga mengalami
uzur mental seperti nyanyuk dan kemurungan yang harus diurus dengan cara
berbeza.
"Salah satu cabaran yang terpaksa dihadapi terutamanya melibatkan
penghuni yang mengalami masalah emosi yang mana mereka mula merindui
kampung halaman serta keluarga yang tidak mahu menerima mereka,"
katanya.
Beliau berkata, selain bantuan kakitangan yang bertugas, RSK turut
mempunyai kemudahan klinik pergigian yang mana seorang doktor gigi serta
dua jururawat akan datang setiap minggu ketiga untuk memberikan rawatan
kepada penghuni-penghuni di sini.
"Apa yang lebih istimewa ialah mereka turut mendapat perhatian
seorang sukarelawan iaitu Dr. Lee Yan Hui yang lebih dikenali sebagai
Dr. Lee yang datang memberi rawatan serta ubat-ubatan secara percuma. "Dr. Lee adalah satu-satunya sukarelawan yang banyak membantu
penghuni di sini sejak 10 tahun lalu kerana setiap bulan beliau tidak
pernah lupa datang memberi rawatan dan ubat percuma.
Beliau berkata, sebanyak RM2.5 juta setiap tahun diperuntukkan kepada
institusi tersebut termasuk pengurusan makanan, pakaian serta
penambahbaikan untuk keselesaan penghuni di situ. "Kira-kira RM8 sehari diperuntukkan untuk setiap penghuni yang mana
pihak RSK akan menyediakan makanan kepada mereka sebanyak enam kali
sehari," jelasnya
Tambah beliau, masa lapang penghuni di situ dipenuhi dengan pelbagai
aktiviti seperti berkebun, mengikuti ceramah atau kelas agama, beriadah,
memelihara binatang ternakan serta menghasilkan kraftangan. "Aktiviti-aktiviti ini bertujuan memberikan galakan kepada mereka untuk lebih aktif walaupun pada usia lanjut.
"Melalui aktiviti ini juga, RSK turut memberikan elaun penghuni
sebagai inisiatif serta penghargaan terhadap kegigihan mereka dalam
melaksanakan kerja-kerja," katanya. Menurutnya lagi, hanya 13 penghuni direkodkan mempunyai anak manakala
purata 12 penghuni RSK Taman Kemumin meninggal dunia setiap tahun.
Sementara itu, seorang penghuni, Che Rahimah Awang Su, 68, berkata, dia sudah sebati dengan kehidupan di RSK setelah berada di situ enam tahun lalu. "Saya cukup gembira dengan kehidupan di sini yang lebih terurus
memandangkan saya sebatang kara setelah kehilangan ibu bapa sejak kecil
lagi," katanya.
Che Rahimah yang berasal dari Kampung Ulu Mahligai, Melor dekat sini
berkata, dia telah dijaga oleh jirannya sejak kecil sebelum dicadangkan
oleh pegawai JKM untuk tinggal di RSK. "Segala keperluan harian terjaga dan saya sudah selesa berada di sini
bersama rakan-rakan seusia yang sama-sama menjalani kehidupan di rumah
ini," katanya yang buta kedua-dua belah mata sejak lahir.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 22 Ogos 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan