Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 16 Ogos 2013

Kerajaan rugi kira-kira RM2.5 juta sebulan akibat penyeludupan minyak di Kelantan

KOTA BHARU, 15 Ogos: Kerajaan mengalami kerugian kira-kira RM2.5 juta sebulan akibat kegiatan penyeludupan minyak petrol dan diesel dari negeri ini ke negara jiran. Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Datuk Azis Yacub berkata, kerugian itu melibatkan jumlah subsidi minyak yang mengalir keluar dan cukai yang gagal dikutip.

Kegiatan penyeludupan diesel dan petrol di kawasan Tumpat sahaja telah menyebabkan kerajaan mengalami kerugian kira-kira RM98,000 dalam masa sehari, katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Azis berkata aktiviti penyeludupan itu berlaku melalui Sungai Golok yang menjadi sempadan Kelantan dan Thailand, bermula dari Pengkalan Kubor di Tumpat hingga ke Jeli. Beliau berkata kegiatan itu berleluasa sejak kenaikan harga runcit minyak di Thailand lima tahun lepas.

"Perbezaan yang ketara dari segi harga bahan bakar itu bagi kedua-dua negara menyebabkan kegiatan penyeludupan ini semakin berleluasa," katanya. Azis berkata melalui Ops Lautan Biru siri I selama 11 hari bermula 17 Jun lepas dan siri 2 selama tujuh hari bermula 28 Julai, sebanyak 280 kenderaan dikenal pasti terlibat dalam kegiatan penyeludupan itu.

"Sebanyak 180 kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero, 30 lori dan 70 kereta terlibat dalam kegiatan penyeludupan itu yang dipercayai dilakukan penduduk tempatan," katanya.  Beliau berkata semasa mereka mengisi minyak, pihak berkuasa tidak dapat mengesyaki apa-apa memandangkan kenderaan itu tidak diubahsuai dan mempunyai cukai jalan yang sah, ia tidak menyalahi undang-undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata modus operandi penyeludup ialah mereka mengisi petrol atau diesel di stesen minyak sebelum kenderaan itu dipandu ke stor atau pangkalan haram di tepi sungai berkenaan untuk minyak dipindahkan ke dalam tong plastik dan tong berisi minyak itu dibawa ke seberang menggunakan bot enjin galah.

Katanya, kegiatan penyeludupan itu menjejaskan hak yang sepatutnya dinikmati rakyat tempatan melalui subsidi yang ditanggung kerajaan sebanyak RM0.53 seliter bagi petrol jenis RON95 dan RM0.69 seliter untuk diesel.

Azis berkata, kegiatan penyeludupan turut melibatkan komoditi lain seperti beras, tepung gandum, pakaian, mercun dan bunga api. Beliau berkata, kerjasama secara bersepadu melibatkan semua jabatan dan agensi kerajaan berkaitan serta penduduk amat diperlukan untuk membanteras kegiatan itu.

Ops Lautan Biru siri 1 dan 2 itu, melibatkan 12 jabatan dan agensi penguatkuasa membabitkan kawasan operasi sepanjang sungai Golok dan jalan-jalan 'tikus' sepanjang laluan keluar-masuk sempadan. 
 
Sumber: BERNAMA | 15 Ogos 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan