![]()  | 
| Muara Kuala Besut yang akan didalamkan bagi mengatasi masalah cetek di sungai Kuala Besut. | 
BESUT, 19 Ogos: Muara cetek dengan laluan sempit dan hadangan beting 
pasir merupakan fenomena alam yang berterusan menjadi masalah kepada bot
 nelayan dan pelancong berpangkalan di Kuala Besut sejak sekian lama.
Langkah sementara untuk mengatasinya melalui kerja mendalamkannya 
dengan kos yang juga besar sentiasa dibatasi kerana masalah itu akan 
tetap kembali beberapa tahun kemudian dan keluhan serta sungutan akan 
berulang didengar.
Dianggarkan lebih 300 bot nelayan beroperasi di daerah ini dan 
daripada jumlah itu hanya kira-kira 45 peratus menggunakan pendaratan 
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Besut apabila banyak yang
 tertumpu di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.
Segala pergerakan bot keluar masuk akan bergantung ketibaan air 
pasang dan keadaan itu jelas mengganggu bot nelayan dan pelancong ke 
Pulau Perhentian yang merupakan salah sebuah pulau terindah di dunia. Hampir setiap tahun terdapat bot yang karam atau tenggelam di muara 
Sungai Kuala Besut kerana terlanggar beting pasir atau kerana muara yang
 cetek.
Sehubungan itu pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri 
Muhyiddin Yassin menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri 
(DUN) Kuala Besut pada bulan lalu mengenai projek pemulihan muara Sungai
 Besut disambut oleh golongan nelayan dengan perasaan cukup lega dan 
menggembirakan mereka.
Kesediaan Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan begitu besar berjumlah
 RM250 juta bukan sahaja menyemarakkan perkembangan industri perikanan 
malah bakal menjadikan Kuala Besut sebagai nadi pelancongan.
Projek yang turut melibatkan pembinaan benteng pemecah ombak 
sepanjang satu kilometer, yang setiap satu memagari laluan masuk itu 
sekali gus bakal merubah wajah kawasan sekitar pesisirnya melalui 
limpahan pembangunan lebih pesat seperti yang dirancang.
Sewaktu mengumumkan kelulusan projek itu, Timbalan Perdana Menteri 
berkata, sebuah syarikat akan melakukan kajian awal yang memakan masa 
enam bulan bagi menyediakan pelan untuk melaksanakan projek berkenaan.
Pengerusi Persatuan Nelayan Besut, Che Busu Ismail menganggap projek 
itu sebagai satu rahmat yang dinanti oleh setiap nelayan sejak puluhan 
tahun lalu kerana bukan mudah projek yang menelan kos begitu besar untuk
 diluluskan.
Sambil mengucapkan terima kasih, katanya, projek pemilihan itu pasti 
akan dapat membantu menambah hasil nelayan yang agak terjejas dan 
kebanyakan pendaratan ikan terpaksa dilakukan di Tok Bali. Pemborong dan peraih ikan dari Kelantan dan Pahang berasa terganggu 
kerana bot yang mendaratkan ikan di Kompleks Ikan LKIM di Kuala Besut 
terpaksa menunggu hingga air pasang untuk melalui muara.
Lalu mereka beralih ke Tok Bali bagi mendapatkan bekalan kerana bot 
boleh mendaratkan ikan lebih awal disebabkan tidak berdepan dengan 
masalah muara cetek. Setakat ini hanya bot kecil boleh memasuki muara Kuala Besut 
sepanjang masa tetapi kebanyakannya tidak membawa sama tangkapan yang 
banyak sebagaimana diperlukan," ujarnya.
Seorang nelayan, Azmi Daud, 46, berkata, sebelum ini pernah berlaku 
insiden mengakibatkan kematian berikutan keadaan muaranya yang cetek. Bot akan melekat apabila muara terlalu cetek. Kebetulan pada masa 
itu ombak besar, ketika itulah berlakunya kemalangan jiwa, ombak 
membadai bot berkenaan lalu terbaik," ujarnya.
Bagi Ibrahim Hamat, 63, pula, langkah kerajaan melalui pelaksanaan 
projek kekal itu akan mengakhiri keluhan sekian lama golongan nelayan di
 sini. Katanya, selain boleh keluar masuk pada bila-bila masa, nelayan tidak
 akan berdepan dengan risiko bot tersadai, terbalik dan rosak.
Menurut beliau, tindakan tersebut memberi impak besar bukan sahaja 
melancarkan aktiviti nelayan tetapi kepada sektor pelancongan negeri. Muara ini juga menjadi laluan bot pelancong yang hendak ke Pulau 
Perhentian. Kalau muara cetek kadang-kadang turut menyukarkan perjalanan
 bot membawa pelancong.
Mereka terpaksa menunggu lama dan menyebabkan mereka beralih ke jeti
 di Kelantan. Jadi khidmat pengusaha bot di sini turut terjejas," 
ujarnya. Seorang lagi nelayan yang ditemui, Zamri Mohd. Noor, 38, berkata, 
dengan pelaksanaan projek tersebut nanti secara tidak langsung membuka 
peluang ekonomi yang lebih mantap terutama kepada kaum nelayan di daerah
 ini.
Apabila muara dalam, maka bot ini tidak menghadapi masalah untuk 
keluar masuk, dengan itu kerja nelayan boleh berjalan lancar. Lebih 
banyak kegiatan boleh dilakukan di sini," katanya. Mat Min Awang, 52, pula memberitahu, akibat masalah kecetekan itu, kegiatan penurunan ikan di Kuala Besut turut berkurangan.
Nelayan terpaksa turunkan ikan di pangkalan pendaratan ikan di Tok Bali sedangkan mereka berdaftar di Kuala Besut. Jadi apabila muara didalamkan, sudah semestinya pangkalan ini akan 
kembali maju dan berkembang. Kami amat berterima kasih kepada kerajaan 
yang memberi perhatian besar terhadap pembangunan nelayan," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 20 Ogos 2013 | 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan